Dari Atlet Negara Menjadi Usahawan Berjaya

ATF SPORT SDN BHD – Rakan Usahawan PUNB

Siapa sangka graduan dari University of Canterbury, New Zealand ini merupakan seorang usahawan berjaya kepada sebuah perniagaan menjual pita kinesiologi olahraga, iaitu pelekat kesihatan yang memberi sokongan dan kestabilan pada bahagian otot dan sendi.

Kata Mohd Azmir bin Zainul Abidin, pemilik ATF Sport Taping, sebelum menceburkan diri dalam bidang perniagaan, beliau pernah menyandang jawatan sebagai Jurutera Projek di Malakoff. Selain itu, beliau juga pernah mewakili Negara dalam sukan ragbi 7 sepasukan di Singapura pada 2015.

Bergelar usahawan
Azmir sudah lama menyimpan angan-angan untuk menceburi bidang perniagaan kerana suka melihat bapanya yang juga merupakan seorang usahawan. “Bapa menjadi inspirasi buat saya. Berpegang kepada semangat yang sama, saya mula menjalankan perniagaan secara sampingan dengan menjual kuih raya dan membuka Mini Bazar Ramadhan untuk mengisi masa cuti semester ketika masih menuntut di luar Negara,” jelasnya.

Azmir nekad mencari pengalaman sebanyak mungkin dengan memberi fokus pada bidang perniagaan sukan dan kecergasan pada 2015. Beliau mula berjinak-jinak memperkenalkan produk pita sukan yang mampu menyediakan sokongan & kestabilan bagi otot dan sendi tanpa mengehadkan pergerakan untuk mengelakkan kecederaan di kalangan pemain ragbi sebelum berjaya mempromosikannya ke sukan lain.

Pelbagai reka bentuk pita sokongan ATF Premium Kinesio.

Cabaran yang dihadapi
Cabaran yang paling sukar dihadapi oleh syarikatnya sepanjang menjalankan perniagaan ini adalah ketika awal penubuhan syarikat di mana beliau telah melaburkan kesemua wang simpanan. Tetapi hasilnya kurang memberangsangkan.

“Saya sentiasa bersikap positif dalam berhadapan dengan pelbagai masalah yang datang. Saya turut berhadapan dengan keadaan di mana pengedaran produk syarikat hampir terhenti kerana ia tidak memenuhi kehendak pasaran setempat,” jelasnya.

Tetapi Azmir mampu mengharunginya dan berjaya menguruskan perniagaan sehingga ke peringkat ini dengan bantuan isteri, Aida Munirah Azmi dan sahabat baiknya, Khairul.

Kejayaan
Setelah hampir 5 tahun berhempas-pulas mengukuhkan jenama, Azmir menegaskan, pada awal operasi perniagaan, agak sukar baginya untuk mendapatkan kepercayaan daripada pengguna. Namun, dengan perancangan strategik, syarikat berjaya memasarkan produk dengan baik.

“Sebagai pengasas, kita harus turun padang bagi mempromosikan produk, sekali gus dapat berinteraksi secara langsung dengan pelanggan. Ia penting untuk pelanggan mengenali siapa anda di sebalik produk yang dikeluarkan,” katanya.

Kini jenama ATF Sport Taping setanding dengan jenama antarabangsa apabila berjaya menembusi pasaran luar seperti di Indonesia, Sri Lanka, Hong Kong dan Brunei. Malah produknya turut menjadi pilihan kelab dan persatan sukan tempatan seperti Institut Sukan Negara, FA Selangor, Felda United FC, Persatuan Bolasepak Negeri Sembilan dan banyak lagi.

Pita sukan kinesiologi menjadi pilihan.

Nasihat kepada usahawan
Menurut Azmir, untuk berjaya bukanlah perkara yang mudah. Walaupun perjalanan beliau dalam dunia keusahawanan masih jauh, Azmir percaya bahawa usahawan yang berjaya harus memiliki lima sikap ini iaitu merendah diri, konsisten dalam melakukan sesuatu, tidak malu mencuba sesuatu yang baharu, bekerja keras dan tidak mudah berputus asa.

“Tiada alasan untuk tidak berjaya. Kelebihan yang ada haruslah digunakan untuk membantu orang lain. Selalu letakkan diri kita sebagai pengguna agar lebih mudah untuk kita menjual produk kita,” bicara Azmir mengakhiri perbualan.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *