Imej Penampilan Ikon Perniagaan Start-Up

Imej atau penampilan menggambarkan keperibadian diri seseorang. Bagi individu terkenal dan berjaya, imej atau penampilan yang menarik perlu ditikberatkan kerana ia menjadi daya tarikan dan ikutan masyarakat. Walaupun bunyinya remeh, namun inilah antara faktor kejayaan mereka. Bak kata pepatah barat, ‘First impression is very important’.

Tidak semestinya seseorang itu harus mengenakan kot atau tali leher sepanjang masa bagi tampak lebih yakin, cukup hanya menepati syarat slogan ‘Dress for Success’ sudah memadai. Namun, harus diingat! Berpakaian haruslah mengikut situasi dan keadaan.

Kami menemu ramah beberapa usahawan muda tempatan yang merupakan pengasas beberapa perniagaan start-up bagi meninjau gaya pakaian yang dikenakan seharian sewaktu bekerja supaya dapat memberi ilham kepada anda.

 

Faeez Fadhlillah, Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif Tripfez

“Saya gemar gaya pakaian yang bersahaja seperti seluar jean, baju kemeja dan blazer namun tetap memberi penekanan kepada kekemasan. Kadang kala, saya akan menggayakan kemeja-T syarikat sekiranya perlu ke mana-mana acara untuk mempromosikan jenama kami. Syarikat tidak mewajibkan kod pakaian formal namun harus kemas.”

 

Dato’ Chevy Beh, Pengasas Bersama BookDoc

“Ini pakaian separa formal saya. Berbanding dahulu, perniagaan saya menuntut untuk sentiasa bertali leher dan bersut. Namun, kini, saya mempunyai sebuah syarikat start-up teknologi yang lebih santai, jadi saya tidak perlukan lagi tali leher. Akan tetapi, pakaian pilihan saya bergantung juga pada orang yang akan saya temui.”

 

Irwan Ibrahim, Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Operasi Katsana

“Pilihan pemakaian saya lebih tertumpu kepada keseimbangan antara ringkas dan formal. Walaupun syarikat kami secara asasnya sebuah start-up, kami masih perlu berjumpa dengan rakan perniagaan yang terdiri daripada syarikat-syarikat korporat gergasi dan start-up yang lain.”

 

Syed Ahmad Fuqaha Sd. Agil, Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif Katsana

“Saya gemar ke mana-mana sahaja dengan memakai kemeja-T syarikat kerana ia sebahagian besar daripada identiti diri dan saya berbangga dengannya. Kemeja-T syarikat kami agak kasual, jadi memudahkan urusan seharian di pejabat. Ia juga lebih selesa dan kemas.”

 

Nabil Feisal Bamadhaj, Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Dego Ride

“Pada saya, apa yang penting, saya mesti selesa dengan cuaca di Kuala Lumpur kerana budaya kerja yang menuntut saya untuk keluar masuk bilik mesyuarat.Kerana itulah saya memilih untuk kekal kemas, kasual dan santai. Jadilah diri anda yang sebenarnya dan ringkaskan apa yang boleh.”

 

Shairazi Sulastry, Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Pemasaran Dego Ride

“Gaya saya kasual dan selesa. Pakaian harian saya terdiri daripada kemeja formal yang digandingkan dengan jean kegemaran dan kasut sneakers. Saya juga sentiasa akan bersedia dengan sehelai jaket khaki yang boleh dipakai ke mesyuarat dan acara lain. Disebabkan saya mempunyai latar belakang dalam reka bentuk fesyen lelaki, saya sentiasa meneliti kualiti dan buatan pakaian. Walaupun pekerjaan saya tidak menuntut untuk berpakaian formal, saya gemar bersut, bergantung kepada jadual harian. Rasanya, boleh dikatakan bahawa gaya saya ringkas namun teliti.”

 

Tengku Ahmad Syamil Tengku Ibrahim, Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif SkolaFund

“Saya sering mengenakan kemeja berwarna biru kelasi dan hitam serta seluar kasual untuk bekerja seharian. Pada hari yang dijadualkan untuk bermesyuarat, saya akan memakai kemeja formal atau kemeja-T syarikat. Pada hari-hari lain, saya akan memakai pakaian santai sahaja. Sama juga halnya dengan pengasas yang lain; mereka memakai pakaian yang senang dan selesa bagi mereka. Kami hanya mempunyai kod pakaian untuk acara-acara penting. Kami mahu mengoptimumkan tenaga mental—yang kami perlukan sepanjang hari untuk membuat keputusan perniagaan dan teknologi—dan menghapuskan stres yang remeh seperti perasaan bimbang disebabkan tidak tahu mahu memakai apa untuk ke tempat kerja.”

 

Itulah dia. Rata-rata ramai di kalangan usahawan muda ini  gemar berkemeja-T dan berseluar jean bagi pemakaian harian ketika waktu bekerja, Kekemasan dan keselesaan ialah dua ciri pakaian yang paling diutamakan. Ada juga yang membenarkan selipar dipakai di pejabat! Biar apa pun halnya, yang penting, pemakaian kita sopandan buat yang beragama Islam, pakaian kita perlu menutup aurat. Jadi, adakah anda akan menggubal kod pakaian baharu bagi pejabat anda mulai hari ini?

 

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *