Beras Juara Mahu Tawan Selera Masyarakat

Juara Selera Sdn Bhd – Rakan Usahawan PUNB

Sebagai rakyat Malaysia, nasi adalah antara makanan ruji yang menjadi pilihan ketika menjamu selera. Malah ada antara kita yang tidak boleh ‘berpisah’ dengan nasi. Walau ke mana kaki melangkah, bekal nasi pasti tersisip kemas sebagai bekalan perjalanan. Pendek kata, kalau sehari tak menjamah nasi, lembik lutut dibuatnya!

Kalau mahu menambah selera keluarga, pastikan anda memilih Beras Juara yang dipasarkan syarikat Juara Selera Sdn Bhd. Manakan tidak, beras yang dipasarkan oleh syarikat ini telah berjaya ‘mencuri hati’ rakyat negara ini sejak 15 tahun lalu. Ini dibuktikan dengan perkembangan syarikat dan permintaan pasaran yang dilihat semakin meningkat daripada tahun ke tahun sebelumnya.

Zulkifli bersama para pekerjanya menyusun kampit beras yang telah siap diproses.

Perniagaan warisan keluarga

Menurut Haji Jamaldin Zakaria, perniagaan beras ini dimulakan bersama adik-beradiknya sejak 1985 melalui sebuah syarikat yang dikenali sebagai Syarikat Perniagaan Zakaria Dan Anak-Anak. Pada masa itu, syarikat ini menghasilkan Beras Cap Langsat sebagai produk mereka yang mana ia meraih populariti yang tinggi di utara tanah air.

Pada 2001, Haji Jamaldin menubuhkan syarikat Juara Selera Sdn Bhd bagi menstruktur semula strategi pemasaran Beras Cap Langsat di mana ia menumpukan aktiviti pemasaran di negeri bahagian tengah Semenanjung Malaysia iaitu Perak, Selangor, Negeri Sembilan dan Melaka manakala sebuah syarikat lagi iaitu Zakaria Dan Anak-Anak Sdn Bhd menumpukan kawasan pengedaran di utara Semenanjung Malaysia. Namun, bermula pada 2013, Juara Selera telah menukar jenama beras keluarannya kepada Beras Juara yang dikenali sehingga hari ini.

“Juara Selera ditubuhkan bertujuan untuk memasuki pasaran borong di mana produk keluaran syarikat perlu memenuhi kriteria untuk dipasarkan di pasar raya kecil dan besar.

“Strategi ini mampu menstabilkan jualan dan memberikan keuntungan yang konsisten jika dilaksanakan secara bersungguh-sungguh,” kata Haji Jamaldin.

Juara Selera kini diterajui sepenuhnya oleh anak sulung Haji Jamaldin, Zulkifli Haji Jamaldin. Menurut Zulkifli, meskipun syarikat Juara Selera adalah milik bapanya, ia bukan tiket untuk beliau bersenang-lenang.

Menyifatkan bapanya seorang yang tegas dan mengutamakan disiplin bukan sahaja dalam perniagaan malah kehidupan, Zulkifli berkata, ayahnya masih aktif sebagai penasihat syarikat dan sentiasa berada di kilang yang terletak di Parit Buntar, Perak.

“Sebaik menamatkan pengajian di peringkat diploma dalam jurusan perniagaan, saya terus melibatkan diri dalam perniagaan ini.

“Semua peringkat kerja yang ada dalam Juara Selera telah saya lalui secara amali. Bermula sebagai jurujual merangkap pemandu, penyelia pengeluaran, pentadbiran sehinggalah ke bahagian kewangan,” ujar Zulkifli.

Mahu tambat hati, selera masyarakat

Lebih kurang 10 jenis beras termasuk beras tempatan dan import dipasarkan di bawah jenama Juara Selera. Juara Kuning 5% iaitu beras tempatan merupakan produk yang paling mendapat sambutan.

Sebagai usaha menambat hati dan selera masyarakat, Juara Selera kini giat mempromosikan beras jenis Basmathi India (Pussa 1121) di bawah produk Beras Juara Haryana.

“Beras ini diimport terus dari India menerusi BERNAS. Meskipun wujud persaingan daripada jenama-jenama lain seperti Faiza dan Jasmine, ia mendapat sambutan yang menggalakkan daripada pelanggan,” kata Zulkifli lagi.

Kalau nak bertambah selera, pilihlah Beras Juara.. Pasti tambah nasi dua kali!

Kini, kilang pemprosesan beras milik syarikat ini yang terletak di Kampung Bakau, Parit Buntar, telah dilengkapi dengan mesin-mesin berteknologi tinggi. Boleh dikatakan 90 peratus daripada kitaran memproses beras sehinggalah siap dikampitkan dilaksanakan secara automatik kecuali penyusunan kampit beras di atas palet papan.

Kapasiti maksimum pengeluaran berdasarkan kepada keupayaan mesin boleh mencapai 100 metrik tan sehari. Ketika ini, jumlah kakitangan Juara Selera adalah seramai 94 orang termasuk pekerja di Rawang, salah satu cawangannya yang telah beroperasi sejak 2013.

Juara Selera jadi usahawan contoh

Kualiti beras yang diproses menjadi keutamaan Zulkifli bagi mengekalkan kualiti produknya.

Hasil kejayaan Juara Selera ini boleh dibanggakan dan mampu dijadikan contoh kepada usahawan Bumiputera. Jelas Zulkifli, seseorang usahawan harus bersikap realistik dalam menilai kemampuan diri.

“Melangkah lebih jauh dalam dunia perniagaan adalah matlamat setiap usahawan, namun jika sistem pengurusan dan pengeluaran tidak mampu memenuhi permintaan pasaran maka ia akan memberikan persepsi negatif daripada pelanggan dan juga pasaran.

“Tiada jalan pintas untuk hidup senang dan selesa. Berusaha semaksima mungkin dan panjatlah tangga kejayaan sebelum tiba ke puncak,” katanya lagi.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *