Ke Mana Hala Tuju Malaysia Selepas TPPA Dibatalkan?

Umum sedar bahawa Amerika Syarikat (A.S.) telah menarik diri daripada Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik atau Trans-Pacific Partnership (TPPA) pada 23 Januari 2017 sebaik sahaja Donald Trump, presiden ke-45 negara itu, memperoleh tampuk pemerintahan.

Penyertaan asal negara Uncle Sam yang dipelopori oleh Mantan Presiden Barack Obama itu sungguh signifikan, kerana tanpanya, TPPA tidak boleh berkuat kuasa. Hal ini demikian kerana mengikut syarat minimum perjanjian ini, sekurang-kurangnya 6 negara yang mewakili 85% jumlah ekonomi semua negara yang terlibat perlu bersetuju.

Penyertaan A.S. yang mewakili 62% daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK) dalam negara anggota adalah wajib untuk merealisasikan pakatan ini. Malangnya, calon presiden kedua-dua parti Republikan dan Demokrat telah berkempen menentang perjanjian ini.

Dari perspektif kita sebagai rakyat Malaysia yang berniaga dan berkepentingan, pernahkah anda terfikir, apakah impaknya sekiranya TPPA diteruskan? Dan apakah pula rancangan negara kita setelah TPPA ini tergendala?

 

Apakah TPPA? 

Bagi yang kurang mengetahui, TPPA merupakan perjanjian perdagangan bebas komprehensif yang melibatkan 12 negara iaitu Amerika Syarikat, Australia, Brunei, Chile, Jepun, Kanada, Mexico, New Zealand, Peru, Singapura, Vietnam dan Malaysia. Sebahagian besar dari negara-negara ini merupakan rakan dagangan utama Malaysia.

Gabungan 12 negara ini menghasilkan 40% KDNK dunia, berjumlah ASD 30 trilion. KDNK Malaysia sahaja menyumbang lebih ASD53.6 bilion (RM328 bilion) kepada jumlah besar tersebut.

Berbalik kepada TPPA; ia adalah pakatan perdagangan yang bermatlamat menggalakkan penyepaduan ekonomi bagi meliberalisasikan perdagangan dan pelaburan, selain merangsang pertumbuhan ekonomi serta manfaat sosial dalam kalangan negara anggotanya. Dalam erti kata lain, setiap negara yang menyertai TPPA akan bebas berniaga di mana-mana pasaran negara ahli secara terbuka.

Antara isi kandungan perjanjian ini termasuklah perolehan kerajaan, peraturan baharu berkaitan internet dan ekonomi digital, pengurangan dan penghapusan tarif ke atas dagangan barangan dan perkhidmatan, perlindungan hak harta intelek, undang-undang berkaitan pekerjaan dan syarikat-syarikat milik kerajaan. Perjanjian ini juga akan meningkatkan usaha pemuliharaan alam sekitar dan memanjangkan tempoh paten barangan farmaseutikal serta meningkatkan perlindungan hak asasi manusia.

Kesan Menyertai TPPA

Terdapat beberapa kelebihan dan kekurangan menyertai TPPA ini terhadap Malaysia dan negara-negara lain yang terlibat. Antaranya adalah:

Kelebihan

  • Peningkatan eksport serta pertumbuhan ekonomi. TPPA bakal mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan kepada 12 negara yang terlibat. Ia dijangka akan menambah jumlah eksport negara anggota kepada ASD 305 bilion setahun menjelang 2025 (Sumber: The Balance).
  • Perlindungan alam sekitar yang lebih mapan:
    • Negara anggota TPPA bersetuju untuk membanteras penyeludupan hidupan liar terutamanya yang terkawal atau hampir pupus. Negara yang tidak mematuhi arahan ini akan dikenakan hukuman.
  • Peningkatan ekonomi dan pendapatan pekerja:
    • TPPA dijangka akan menaikkan pendapatan pekerja di negara yang terlibat sebanyak ASD 223 bilion setahun menjelang 2025 secara keseluruhan (Sumber: The Balance).
  • Akses kepada pasaran negara ahli yang belum mempunyai FTA dengan Malaysia seperti A.S., Kanada, Mexico dan Peru. Ini akan memudahkan para peniaga tempatan terutamanya perusahaan kecil dan sederhana (PKS) untuk meneroka pasaran peringkat antarabangsa.

Kekurangan

  • Ketaksamaan pendapatan negara yang terlibat. Majoriti pendapatan akan dinikmati oleh pekerja yang berpendapatan sederhana dan tinggi (Lebih ASD 88,000 setahun). Barangan keluaran negara lain yang murah pula lebih mudah untuk memasuki pasaran negara yang lebih maju.
  • Lebih mudah bagi syarikat luar untuk menyaman Malaysia serta negara anggota lain melalui Mekanisme Penyelesaian Pertikaian Pelabur-Negara (Investor-State Dispute Settlement Mechanism atau ISDS). Sebarang perselisihan antara negara yang terlibat dengan mana-mana syarikat multinasional akan dibawa ke ISDS.
  • Beberapa negara peserta perlu menukar sebahagian daripada undang-undang mereka, terutamanya dalam perkara yang berkaitan dengan TPPA. Contohnya, Malaysia, Singapura dan Vietnam perlu akur dan meminda beberapa undang-undang berkaitan syarikat milik kerajaan bagi melayakkan negara-negara ini untuk menandatangani perjanjian. Syarikat milik kerajaan perlu bersaing secara adil bukan sahaja dengan syarikat swasta dalam negara tetapi juga dengan syarikat dari negara lain.
  • Harga beberapa jenis ubat-ubatan akan naik sekiranya TPPA dilaksanakan. Hal ini kerana perjanjian ini memberikan perlindungan hak cipta intelektual selama 8 tahun terhadap barangan berkenaan dan ia melarang penghasilan ubatan generik. Negara yang kecil dan yang mempunyai kadar tukaran wang yang secara relatifnya rendah seperti Malaysia, Indonesia dan Myanmar akan terkesan dengan isu ini (Sumber: The Star).

RCEP: Pengganti TPPA?

Lantaran penggantungan TPPA yang sudah dijangkakan oleh banyak pihak, Malaysia kini hanya mempunyai perjanjian Kerjasama Ekonomi Komprehensif Serantau atau dalam bahasa inggeris Regional Comprehensive Economic Partnership (RCEP) sebagai alternatif bersama negara-negara lain. RCEP merupakan sebuah FTA yang dicadangkan sejak 2011 lagi.

RCEP melibatkan 10 negara ASEAN iaitu Brunei, Filipina, Indonesia, Kemboja, Laos, Malaysia, Myanmar, Singapura, Thailand dan Vietnam serta 6 negara lain iaitu Australia, China, India, Jepun, Korea Selatan dan New Zealand.

Jika dibandingkan dengan TPPA, RCEP yang ditunjangi China ini lebih besar dan luas dari segenap segi. KDNK anggotanya ialah ASD 21.4 trilion, iaitu 24% daripada jumlah KDNK dunia. Populasi negara yang terlibat juga mencecah 3.4 bilion, iaitu 46% daripada jumlah populasi sejagat.

Sepertimana TPPA, antara skop yang diliputi oleh RCEP termasuklah perdagangan barangan serta perkhidmatan, pelaburan, kerjasama dari segi ekonomi dan teknikal, hak milik intelektual, penyelesaian pertikaian dan sebagainya.

RCEP dilihat sebagai salah satu usaha China untuk menyaingi TPPA yang diusulkan oleh A.S.. Menariknya, 7 daripada 16 negara peserta RCEP juga merupakan negara yang turut terlibat dalam TPPA. Rundingan RCEP semakin rancak sejak berkuburnya rundingan TPPA malah, pakar Bank Pembangunan Asia menjangkakan bahawa perjanjian TPPA mampu dimuktamadkan pada tahun ini juga.

Berbeza dengan TPPA yang mengurangkan atau menghapuskan sama sekali tarif barangan import serta isu lain seperti alam sekitar, hak pekerja dan syarikat milik kerajaan, fokus RCEP hanyalah untuk mengurangkan tarif barangan import.

Kesimpulan

Meskipun masa depan TPPA kabur dan tergantung, 11 lagi negara TPPA boleh meneruskan perjanjian itu dengan meminda beberapa klausa khusus. Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, YB Dato’ Sri Mustapa Mohamed dilaporkan berkata bahawa Malaysia akan menumpukan usaha ke arah mewujudkan kerjasama erat dengan mengutamakan negara ASEAN serta 4 lagi negara dagangan utama Malaysia iaitu China, Jepun, India dan Korea Selatan dalam memacu pertumbuhan ekonomi negara.

Singapura, sebagai contoh, tidak begitu terjejas akibat pembatalan TPPA kerana negara tersebut mempunyai perjanjian perdagangan dengan 9 daripada 12 negara TPPA. Seperti jiran kita di seberang tambak juga, Malaysia tidak begitu terkesan dengan pembatalan ini kerana negara kita mempunyai hubungan dengan 7 daripada 11 negara TPPA (tidak termasuk Malaysia) kecuali A.S., Kanada, Mexico dan Peru yang belum mempunyai perjanjian perdagangan dengan kita.

Selain itu, ada pakar yang berpendapat bahawa RCEP akan menjadi FTA yang paling berjaya pada kurun ke-21 ini setelah terkuburnya TPPA. Walau bagaimanapun, hal itu hanya akan terbukti setelah RCEP ditandatangani dan diraktifikasi semua pihak yang terlibat. Buat masa ini, negara-negara ASEAN sudah bersedia kerana masing-masing sudah mempunyai FTA antara satu sama lain. Namun demikian, India dan China, dua gergasi dalam RCEP yang belum pernah mempunyai perjanjian perdagangan bebas sesama mereka, masih lagi dalam fasa perbincangan.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *