Lelaki vs Wanita: Membeli-Belah Secara Atas Talian

Pasaran perniagaan secara atas talian kini dilihat semakin mendapat tempat di kalangan para pengguna jalur lebar. Ia dirasakan bukan sahaja mampu menjimatkan masa, malah lebih selamat untuk diaplikasikan. Di samping itu, pengguna boleh memilih pelbagai rangkaian produk mengikut kehendak dan keperluan mereka. Selain tawaran harga yang lebih murah, kepantasan dalam perkhidmatan penghantaran dan ulasan positif daripada pengguna-pengguna lain merupakan antara faktor penting yang mempengaruhi pembelian secara atas talian.

Sehubungan itu, laman e-dagang terkemuka, 11Street telah menjalankan kaji selidik di 14 buah negeri di seluruh Malaysia pada November 2016 yang melibatkan 3,507 responden. Hasil bancian tersebut menentukan aliran pasaran atas talian bagi 2017 yang telah dibentangkan oleh Ketua Eksekutif 11Street, Hoseok Kim pada Disember tahun lalu. Beliau merumuskan enam fakta menarik mengenai trend pembelian atas talian pada 2016.

  1. 83% daripada jumlah responden pernah berbelanja secara atas talian. Kaum lelaki berusia 36 tahun dan ke atas lebih kerap berbelanja daripada kaum wanita dalam lingkungan umur yang sama.
  2.  85% yang tidak pernah berbelanja di alam maya akan berbuat demikian dalam tempoh 12 bulan akan datang, yang mana kaum lelaki dua kali ganda lebih berminat berbanding kaum wanita.
  3.  80% pengguna di Malaysia membeli-belah secara atas talian menggunakan telefon pintar kerana kecanggihan teknologinya memudahkan pengguna untuk membeli-belah walau di mana mereka berada.
  4.  Antara tiga produk yang paling banyak dibeli adalah barangan elektronik, rangkaian produk fesyen dan barangan kecantikan, serta koleksi hobi dan peralatan sukan. Kecenderungan kaum lelaki dalam memilih produk berasaskan hobi dan peralatan sukan tiga kali ganda lebih berbanding kaum wanita.
  5.  95% pengguna di Malaysia sangat berpuas hati dengan pengalaman membeli-belah atas talian. Tawaran harga yang menarik merupakan faktor penting yang mempengaruhi kepuasan pengguna dengan kadar peratusan paling tinggi, iaitu 3.9%.
  6.  46% pengguna mengharapkan proses penghantaran barangan dalam tempoh tiga hari manakala 90% sanggup menunggu sehingga seminggu bagi mendapatkan barangan yang telah ditempah. Secara purata, 77% pengguna sanggup membayar anggaran RM10 bagi penghantaran segera.

Trend Membeli-belah Masa Kini

Berdasarkan aliran pembelian pada 2016, ia menunjukkan perkembangan positif pasaran pembelian secara atas talian. 11Street telah menggariskan lima faktor utama trend tersebut bagi memenuhi permintaan pengguna dan seterusnya dapat membantu peniaga merancang strategi awal perniagaan dan pemasaran.

  1. Membeli-belah atas talian semakin mendapat sambutan.

Kemajuan yang berterusan dalam teknologi jalur lebar mengubah persepsi pengguna terhadap pembelian di alam maya. Jika dahulu, pengguna lebih gemar ke pusat membeli-belah untuk mencari produk yang ingin dibeli, kini pengguna dapat membuat pilihan pelbagai produk biasa atau berjenama hanya di hujung jari. Mereka juga dapat menilai kualiti produk melalui spesifikasi yang dinyatakan oleh para penjual dan ulasan-ulasan pengguna lain selain menawarkan perkhidmatan penghantaran terus ke rumah.

2. Kaedah pembayaran tanpa tunai menjadi pilihan utama.

Pengguna kini lebih terbuka untuk mencuba pembayaran tanpa tunai seperti pindahan wang dalam talian, penggunaan kad kredit dan kad debit. Hasil kaji selidik menunjukkan 90% daripada jumlah responden yang sebelum ini memilih untuk membuat pembayaran semasa proses penghantaran barang, kini berminat dengan kaedah pembayaran tanpa tunai. Oleh yang demikian, peniaga perlu mempelbagaikan kaedah pembayaran dalam urusan jual beli secara atas talian. Walau bagaimanapun, peniaga perlu memastikan setiap transaksi pembayaran adalah selamat dengan ciri-ciri keselamatan tertentu bagi meraih kepercayaan dan keyakinan pengguna melalui kaedah pembayaran tanpa tunai.

3. Meneroka kategori produk baharu.

Kemunculan pasaran atas talian mendorong pengguna untuk mengubah trend membeli-belah. Sebelum ini, membeli barangan seperti perabot atau makanan segar secara atas talian terasa begitu asing jika difikirkan tentang kualiti barangan dan proses penghantaran. Dewasa ini, pengguna menyatakan kecenderungan pada tiga kategori produk baharu, iaitu hiasan rumah dan perabot, barangan keperluan isi rumah, serta makanan tambahan dan kesihatan.

4. Perkhidmatan penghantaran ekspres menjadi tarikan.

Bagi pengguna, semakin cepat jaminan penghantaran dilakukan adalah lebih baik. Oleh itu, penghantaran ekspres menjadi pilihan pengguna untuk membeli-belah atas talian. Selain menilai ulasan pengguna yang lain, tempoh masa penghantaran produk juga menjadi aspek penting dalam mempengaruhi pengguna untuk membuat pembelian menerusi atas talian. Pengguna mengharapkan penghantaran yang lebih cepat pada harga yang lebih berpatutan. Oleh itu, peniaga dijangka akan menyediakan pelbagai perkhidmatan penghantaran bagi memenuhi permintaan dan kehendak pengguna.

5. Lebih daripada sekadar harga.

Tawaran harga murah dan baucar potongan harga dapat memberi lebih penjimatan kepada pengguna. Akan tetapi, peniaga perlu merangka strategi untuk menyediakan perkhidmatan yang lebih baik. Peniaga perlu membiasakan diri mengurus jualan yang akan mengalami peningkatan dan permintaan yang tinggi pada produk tertentu. Selain itu, peniaga perlu mengutamakan penghantaran produk mengikut tempoh masa yang telah dijanjikan di samping membuktikan ulasan pengguna-pengguna lain sebagai keutamaan bagi mengelakkan ketidakpuasan hati para pelanggan.

Bersedia Hadapi Kemungkinan

Berdasarkan kaji selidik yang telah dilakukan, ia menunjukkan bahawa kaum lelaki lebih kerap membeli-belah dengan menggunakan platform e-dagang berbanding dengan kaum wanita. Walau bagaimanapun, ia dipengaruhi oleh faktor umur, keinginan untuk mencuba dan kecenderungan pada rangkaian produk tertentu.

Secara keseluruhannya, kekerapan pengguna membuat pembelian secara atas talian sekurang-kurangnya sekali dalam sebulan atau lebih kerap adalah sebanyak 59%. Akan tetapi, peratusan tersebut tidak membezakan kekerapan pembelian mengikut jantina. Faktor yang lebih penting pada 2017 adalah bagi memenuhi jangkaan dan permintaan pengguna.

Oleh yang demikian, peniaga perlu bersedia memberi lebih tumpuan kepada beberapa perkara seperti meneroka produk baharu, memberi tawaran harga yang lebih menjimatkan, laman sesawang mesra pengguna, perkhidmatan penghantaran yang lebih pantas, pembayaran tanpa tunai dan kepuasan pengguna sebelum serta selepas pembelian. Semua faktor ini merupakan faktor penting dalam mempengaruhi pengguna membeli-belah secara atas talian bagi menarik lebih ramai pelanggan baru di samping mengekalkan pembeli sedia ada.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *