MaidEasy: Sudah Dapat Dana, Apa Langkah Seterusnya?

Syarikat perkhidmatan tukang cuci dan pembersih rumah dalam talian, MaidEasy Sdn Bhd, menjadi sebutan dalam akhbar Berita Harian pada Disember 2015 setelah menerima dana daripada Axiata Digital Innovation Fund (ADIF), sebuah dana digital korporat terbesar di Malaysia, hasil gabungan kerjasama antara Axiata Group Berhad dan Malaysia Venture Capital Management Berhad (MAVCAP)  di bawah pengurusan anak syarikat MAVCAP, Intres Capital Partners Sdn Bhd.

Ditubuhkan sekitar 3 tahun yang lalu, MaidEasy sedang meniti fasa perkembangan pasaran dalam memperkenalkan lagi jenama syarikat kepada masyarakat

Bertemakan ‘Don’t Stress, We’ll Handle The Mess’, MaidEasy menawarkan empat jenis perkhidmatan iaitu pembersihan rumah asas (di kawasan tertentu sahaja), pembersihan rumah baharu untuk pelanggan yang akan berpindah, pembersihan rumah secara menyeluruh dan perkhidmatan mengecat rumah.

Kami bertemu dengan dua orang kuat syarikat ini, Azrul Abdul Rahim, pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif MaidEasy dan Hasrimy Mat Hasan, Ketua Pegawai Kreatif MaidEasy untuk berkongsi kisah perjalanan  dan wawasan penubuhan MaidEasy.

 

 Pengalaman Cetus Idea Perniagaan

Cetusan idea penubuhan MaidEasy bermula apabila Azrul menghadapi masalah  dengan bekas pembantu rumah sepenuh masa yang diambil bekerja bagi membantunya menguruskan kerja-kerja rumah memandangkan ketika itu isteri beliau baru melahirkan cahaya mata pertama mereka.

Pembantu rumah saya seringkali bercerita tentang kawan-kawannya yang mempunyai pendapatan lebih tinggi sebagai tukang cuci sehinggalah pada suatu hari, beliau lari dari rumah. Sejak dari itu, hampir kesemua pembantu rumah sepenuh masa yang diambil tidak boleh diharap,” jelas Azrul akan pengalamannya. Kejadian berulang tersebut mencetuskan idea kepadanya untuk membuka sebuah syarikat yang menyediakan perkhidmatan pembersihan rumah dalam talian.

Usahawan yang mempunyai latar belakang dalam sektor teknologi maklumat (IT) ini kemudian berjumpa dengan bekas pengasas bersama MaidEasy, Bee Bee Sim, di Alpha Startups, sebuah program keusahawanan anjuran 1337 Ventures. Berkongsi masalah dan cetusan idea yang sama, mereka bersetuju untuk bekerjasama dan mula mendaftarkan perniagaan pada akhir 2014. Perkhidmatan MaidEasy bermula pada awal 2015 dengan menjadikan rumah Azrul sendiri sebagai pusat operasi.

Tanggungjawab dan tugas dibahagikan antara kedua-dua usahawan. Azrul ditugaskan menjadi penyelia dan pemandu untuk membawa pekerja pembersihan rumah ke kediaman pelanggan,  manakala Bee Bee pula bertanggungjawab mencari mereka yang berminat untuk bekerja dengan MaidEasy di kawasan sekitar Lembah Klang.

Walau bagaimanapun, setelah 6 bulan beroperasi, Bee Bee menyedari bahawa bidang keusahawanan tidaklah semudah yang disangka. Beliau kemudian mengambil keputusan untuk menjual sahamnya kepada Azrul dan menukar haluan kerjaya ke bidang korporat. Kini, MaidEasy diterajui oleh Azrul bersama isterinya, Meriza Anna Mustapha dan rakan kongsinya, Hasrimy.

 

Jenama Baharu Perlukan Kepercayaan Pelanggan

 

Azrul mengakui, bukan mudah untuk mengusahakan perniagaan perkhidmatan  pembersihan rumah. Antara cabaran yang ditempuhi pada peringkat awal termasuklah mendapatkan pekerja dan membina kepercayaan pelanggan terhadap jenama MaidEasy.

“Pada awalnya, kami menggunakan tenaga kerja asing kerana masyarakat Malaysia umumnya berasa segan untuk bekerja sebagai pembersih rumah. Selain itu, pelanggan juga masih ragu-ragu untuk mendapatkan perkhidmatan kami kerana mereka belum mengenali MaidEasy.

“Lama-kelamaan, selepas menyedari bahawa tugas sebagai pembersih rumah di bawah bendera MaidEasy mudah, menawarkan gaji yang lumayan dan waktu kerja yang fleksibel, orang ramai mula berminat untuk bekerja dengan syarikat kami. Malah, mereka turut mengesyorkan MaidEasy kepada rakan-rakan lain,” jelas Azrul tentang sambutan awal masyarakat terhadap jenamanya.

Kepercayaan pelanggan juga mula diraih melalui pelan pakej menarik secara dalam talian yang dirangka oleh Azrul selain daripada buah mulut positif pelanggan terdahulu yang pernah menggunakan khidmat MaidEasy. Azrul memastikan perkembangan syarikat berlaku secara mampan agar dapat menawarkan perkhidmatan yang berkualiti dan memuaskan hati pelanggan.

Dari segi pemilihan pekerja pembersihan, syarikat ini mengenakan syarat pengambilan yang ketat untuk memastikan hanya perkhidmatan yang terbaik akan diterima oleh para pelanggannya. “Kami menjalankan beberapa peringkat saringan temuduga untuk memilih pembersih rumah, termasuklah semakan terhadap latar belakang pemohon selain melihat penampilan pemohon secara menyeluruh.

“Sebagai contoh, pekerja lelaki tidak boleh berambut panjang dan pekerja harus berpenampilan kemas kerana ruang kerja pembersihan kebanyakannya berlaku di dalam kawasan rumah pelanggan, jadi, kami perlu pastikan pelanggan selesa dengan kehadiran pekerja kami,” jelas beliau.

 

Adakah Permintaan yang Mapan?

MaidEasy merupakan syarikat pertama di Malaysia yang menawarkan perkhidmatan pembersihan rumah secara dalam talian. Pelanggan hanya perlu membuat tempahan melalui laman sesawang Maideasy.my. Malah, MaidEasy juga telah melancarkan aplikasi mudah alih pada Oktober 2016 bagi memudahkan urusan tempahan.

Selepas menetapkan tarikh, masa khidmat pembersihan dikehendaki  dan pembayaran (bayaran secara tunai juga diterima), mereka cuma perlu menunggu sehingga pekerja pembersihan terlatih tiba untuk melakukan kerja pembersihan.  Mudah, bukan?

Meskipun tempahan pelanggan diuruskan secara dalam talian, namun syarikat turut mengaji pekerja bagi menguruskan operasi syarikat terutama di bahagian jualan dan perkhidmatan pelanggan.

“Permintaan pelanggan untuk perkhidmatan ini sentiasa ada kerana ramai pasangan berkerjaya hari ini yang tidak berkesempatan untuk membersihkan kediaman mereka setiap hari,” jelas Azrul berkenaan sambutan terhadap perkhidmatan ini. Pejabat MaidEasy yang terletak di Bangsar South kini dibuka dari jam 9.00 pagi hingga jam 10 malam setiap hari! Ini kerana terdapat juga permintaan untuk pembersihan kediaman pelanggan semasa cuti hujung minggu dan selepas waktu pejabat.

 

Mahu Menggaji Lebih Ramai Pekerja Tempatan

 

“Tahun ini, kami berazam untuk menumpukan perhatian terhadap usaha meluaskan pasaran perkhidmatan syarikat. Kami juga mahu mengurangkan dan menghapuskan kebergantungan terhadap tenaga kerja asing.

“Ramai orang tempatan yang tiada pekerjaan tetap sekarang dan tiada keperluan sebenarnya untuk kami menggajikan pekerja asing yang hanya akan membawa wang keluar dari Malaysia,” jelas beliau panjang lebar.

Buat masa ini, kebanyakan pekerja MaidEasy terdiri daripada golongan ibu tunggal, mahasiswa yang mencari pendapatan sampingan dan mereka yang tidak mempunyai pekerjaan tetap.

“Ada mahasiswa yang hampir tamat pengajian sebagai juruterbang turut menyertai syarikat kami. Meskipun akan mempunyai kerja yang selesa dan bergaji besar, beliau tidak segan untuk bekerja sebagai pembersih rumah bagi menimba pengalaman dan mencari wang saku,” celah Hasrimy.

Meskipun status pekerjaan sebagai pembersih rumah tidak sepopular barista di sebuah kafe, namun, gaji pembersih rumah MaidEasy boleh melebihi gaji barista dengan hanya bekerja kurang daripada 8 jam sehari secara sambilan.

 

Bergerak ke Hadapan

Sebagai usahawan yang menceburkan diri dalam industri yang baru, penting bagi Azrul dan rakan-rakan kongsinya untuk belajar tentang industri pilihan mereka.

Harus di ingat! Mutu perkhidmatan atau produk yang diberikan perlu mencapai piawai dan jangkaan pelanggan supaya pertumbuhan syarikat tidak terkesan dengan mana-mana pelanggan yang tidak berpuas hati.

Ditanya lebih lanjut sekiranya MaidEasy bercita-cita untuk melebarkan perniagaan ke negara-negara jiran, pengasas syarikat itu menegaskan kajian pasaran yang teliti dan menyeluruh harus dilakukan sebelum mengambil sebarang keputusan untuk menyeberangi sempadan. Di sesetengah negara lain  juga sudah wujud perkhidmatan seperti MaidEasy, jadi, bukan mudah untuk bergelar jaguh rantau.

MaidEasy sedang giat berusaha untuk meluaskan perkhidmatannya ke serata negara selain daripada Shah Alam, Petaling Jaya, Ampang, Nilai, Seremban dan Johor Bharu. “Jangan yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran pula,” akhiri Azrul.

2 Ulasan

  1. I do not even know how I ended up here, but I thought this post
    was good. I don’t know who you are but definitely
    you are going to a famous blogger if you are not already 😉 Cheers!

    1. Author

      Hello!
      Thank you for visiting Usahawan Nasional Webzine page.
      Your comment is highly appreciated.
      We hope with the information shared will help as well as generate some ideas for business.

      For your information, the website was constructed by Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB), a financial support company for Malaysian Bumiputera entrepreneurs.

      Do continue to read other articles.
      Again, thank you very much!

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *