Marshmallowscarf ingin tarik minat wanita bekerjaya

MARSHMALLOWSCARF – Rakan Usahawan PUNB

Puteri Maizura Bt Razali merupakan pengasas serta pemilik kepada pengeluar tudung terkenal berjenama Marshmallowscarf, tudung yang lebih praktikal dan fleksibel seiring dengan trend wanita masa kini. Beliau yang berasal dari Kuala Lumpur dan berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Fizik (UKM) serta Sarjana Sains Petroleum Geosains (UTP) telah menjadikan Marshmallowscarf sebagai satu pusat keperluan hijab yang ringkas serta menarik di kalangan wanita bekerjaya.

Marshmallowscarf Resources (MR) ditubuhkan secara rasminya pada Mac 2013 dengan modal hanya RM3 ribu. Pada dua tahun pertama, aktiviti jual beli Marshmallowscarf hanya dijalankan secara separuh masa kerana beliau ketika itu masih lagi bekerja sebagai ahli geologi di syarikat minyak dan gas Malaysia, PETRONAS.

Pengasas tudung terkenal berjenama Marshmallowscarf, Puteri Maizura Bt Razali.

Pada 2015, MR memilih Bangi Sentral untuk memasarkan produk-produk keluarannya. Kemudian, pada tahun berikutnya, beliau berjaya melebarkan empayar perniagaan dengan membuka cawangan kedua butiknya di Kuala Terengganu, Terengganu.

“MR melakukan jualan menerusi pangkalan dalam talian termasuk Instagram, Facebook serta laman sesawang sendiri. Selaras dengan perkembangan ini, MR telah berdaftar dengan “Zon Perdagangan Bebas Cukai” yang telah dilancarkan oleh Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak.

“Harapan MR agar produknya dapat dieksport ke China yang dikatakan memiliki ramai penduduk Islam di samping menjadi antara syarikat Bumiputera yang tersenarai di papan Bursa Malaysia,” jelas Maizura.

Beliau mensasarkan daripada 8 ribu kepada 20 ribu pelanggan berdaftar pada akhir 2018 dengan visi untuk menjadi jenama hijab pilihan pada 2021 serta mendominasi pasaran fesyen muslimah.

PUNB telah memberikan pembiayaan sebanyak RM140 ribu pada 2016 dan syarikat telah mencacatkan jualan RM3.6 juta pada tahun tersebut. Manakala MR menjangkakan jualan RM3.8 juta pada tahun ini dan meletakkan sasaran RM4.5 juta pada tahun berikutnya. Kini MR mempunyai 22 pekerja berbanding tiga pekerja pada permulaannya. Secara majoriti, pelanggan MR terdiri daripada wanita bekerjaya berusia di antara 30 hingga 40 tahun.

Kini, MR bercita-cita untuk menjadikan jenamanya dimiliki oleh setiap muslimah di Malaysia, Brunei dan Singapura dengan konsep ‘satu rumah satu Marshmallowscarf’, setelah mengambil kira 10 peratus atau 1.7 juta muslimah daripada 17 juta jumlah populasi Islam di Malaysia, Brunei dan Singapura (berdasarkan statistik populasi 2015).

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *