OLeS: Meneraju Industri Kosmetik Halal

Walaupun masih baru di pasaran, jenama kosmetik OLeS mempunyai keistimewaan tersendiri yang pasti meyakinkan orang ramai untuk mencubanya! Produk selamat dan diakui halal oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) ini mendapat akreditasi daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Malah yang terkini, produk ini sedang menjalani proses ujian makmal untuk mendapatkan pengesahan status bebas bahan racun daripada Pusat Racun Negara.

Tidak banyak produk kosmetik tempatan yang mempunyai pensijilan akreditasi seperti ini kerana bukanlah suatu kerja yang mudah untuk mematuhi semua prosedur dan piawaian ketat yang dikehendaki setiap badan akreditasi yang terlibat. Apatah lagi, proses penyelidikan dan pembangunan (R&D) bagi merumuskan sesebuah produk kosmetik sahaja boleh memakan masa selama 4 tahun!

Ramai tidak menyangka, orang kuat di sebalik produk kecantikan yang sedang meningkat naik ini sebenarnya adalah 2 orang jejaka. Pihak kami berpeluang bertemu dengan salah seorang pengasas produk tersebut iaitu Fazli Baharom, yang mengusahakan produk ini bersama seorang lagi rakan kongsinya iaitu Shahrul Ezad Mohameddin. Menariknya tentang latar belakang mereka, kedua-duanya merupakan antara ‘orang lama’ dalam industri perfileman.

Penghasilan produk kecantikan ini merupakan satu lagi kejayaan dan perkembangan kerjaya secara peribadi buat mereka berdua. OLeS merupakan produk kecantikan wajah berasaskan manggis, akar manis, cendawan, papain, kolagen dan ramuan semula jadi lain yang dibangun dan dipasarkan oleh Radius Beauty Sdn Bhd. Hampir keseluruhan operasi jualan dan pemasaran dijalankan melalui medium dalam talian.

 

Cuba Sebuah Produk, Wajah Rosak

Kedua-dua bekas rakan kuliah berusia 40-an ini merupakan lulusan jurusan komunikasi massa dalam bidang penyiaran. Mula membina kerjaya dengan menubuhkan syarikat penerbitan sendiri iaitu Radius One Sdn Bhd, ia menjadikan dunia keusahawanan bukanlah sesuatu yang baharu buat mereka, malah Radius One adalah antara syarikat penerbitan yang sudah lama bertapak dan dikenali dalam industri perfileman dan penerbitan tanah air.

Ini terbukti apabila salah satu drama terbitan syarikat mereka iaitu Antara Garisan, pernah memenangi anugerah untuk Kategori Drama Terbaik pada Anugerah Skrin 2010. Mungkin anda tertanya-tanya, jika mereka telah berjaya menempa nama di dalam industri perfileman, mengapa pula beralih ke industri kosmetik sekarang?

Menurut Fazli, semuanya bermula apabila beliau mencuba sebuah produk penjagaan wajah. Sebagai seorang personaliti dalam dunia hiburan beliau berhasrat untuk menjaga penampilan agar kelihatan lebih yakin dan berketerampilan. Malangnya, perkara sebaliknya berlaku. Selepas mencuba produk tersebut, kulit wajahnya semakin teruk, malah lebih teruk berbanding sebelumnya.

“Saya rasa ditipu oleh syarikat yang mengeluarkan produk kecantikan tersebut,” ujar beliau, berkerut dahi mengenang episod hitam itu. “Saya mula mencari maklumat di Internet berkenaan produk yang digunakan itu.

“Alangkah terkejutnya saya apabila mendapati bahawa ramai pengguna yang senasib. Bukan sahaja pengguna produk yang sama, malah pengguna produk-produk kecantikan yang lain juga pernah mengalami keadaan seperti saya,” tambah beliau.

 

Tiada Bahan Terlarang

Fazli begitu runsing apabila mula mendapat simptom-simptom awal yang dialami ketika menggunakan produk tersebut seperti kulit menjadi semakin nipis dan menggelupas, berjeragat serta dipenuhi jerawat. Pelbagai usaha dilakukan untuk mencari penyelesaian termasuklah membaca bahan-bahan rujukan. Beliau akhirnya mendapati bahawa terdapat sebilangan besar produk kecantikan yang dijual di pasaran mengandungi bahan-bahan terlarang.

Meskipun bahan-bahan itu mampu untuk memutihkan kulit wajah sesingkat dua hingga tiga hari, ia sangat berbahaya kerana mampu menyebabkan kanser, kegagalan ginjal dan keradangan. “Hal inilah yang membuatkan saya berhasrat untuk mengeluarkan produk sendiri. Sebuah produk yang selamat, halal dan bebas daripada bahan terlarang,” terang beliau akan perkara yang mendorongnya untuk menghasilkan produk tersebut.

Menceritakan masalah dan hasrat kepada rakan kongsinya, Shahrul, mereka akhirnya mencapai kata sepakat untuk mencipta OLeS, sebuah produk yang dirumus secara saintifik dan bebas daripada bahan terlarang seperti hidrokuinon, merkuri, paraben dan tretinon yang biasa ditemui dalam beberapa produk kecantikan yang terdapat di pasaran.

Walaupun OLeS memakan masa untuk menampakkan kesan kepada wajah, namun pada Fazli, biar lambat asal selamat kerana kesihatan sesuatu yang harus dipelihara.

 

Proses R&D Kosmetik

Projek penghasilan produk ini didaftarkan melalui sebuah syarikat baru iaitu Radius Beauty Sdn Bhd dengan berbekalkan modal berbayar berjumlah RM 100,000, hasil keuntungan daripada syarikat penerbitan mereka. Selama 4 tahun Fazli berulang-alik ke makmal farmaseutikal membuat kajian bersama seorang ahli kimia untuk memastikan produk keluarannya tidak mempunyai sebarang kesan sampingan yang memudaratkan.

Setelah selesai proses penghasilan produk, Fazli terus mendaftarkan cap dagangan bagi jenama produk untuk memudahkan pengguna mengenal dan membezakan produk keluaran mereka dengan produk barangan tiruan daripada pengeluar lain yang tidak bertanggungjawab.

“Kini, dua set produk kecantikan penjagaan kulit muka OLeS, masing-masing terdiri daripada pembersih wajah, krim pelembap dan serum Vitamin E khusus untuk mereka yang mengalami masalah seperti kulit yang normal atau kering dan kulit yang berminyak atau berjerawat boleh didapati di pasaran,” terang Fazli.

 

Melangkah Ke Hadapan

Fazli bercadang untuk mempelbagaikan lagi produk berasaskan kecantikan keluaran syarikatnya manakala dari segi aspek pemasaran pula, beliau merancang untuk menambah bilangan stokis dan agen selain membuka cawangan di setiap negeri dalam usaha menaikkan lagi jenama OLeS di mata masyarakat.

Beliau juga berhasrat untuk memiliki sebuah makmal farmaseutikal dan kilang pengeluaran produk sendiri selain meluaskan perniagaannya ke pasaran luar negara. Antara negara luar yang sedang diintai oleh kedua-dua pengasas OLeS ini termasuklah Indonesia, Brunei, Singapura dan negara-negara di Timur Tengah.

Beliau turut berhasrat untuk terus meningkatkan kesedaran orang ramai tentang kewujudan lambakan produk yang mengandungi bahan terlarang di pasaran supaya tidak tersalah langkah dan ditipu oleh pihak yang hanya ingin mengaut keuntungan semata-mata.

Kini, kedua-dua usahawan ini giat membuat penyelidikan berkenaan strategi pemasaran yang terbaik untuk mengembangkan lagi pasaran serta memberi kesedaran umum akan kepentingan produk yang selamat serta halal.

“Kami merancang untuk mengeluarkan barisan produk kecantikan lain seperti pencuci mekap, gincu, losyen badan dan bedak asas khusus untuk digunakan oleh orang ramai terutamanya jurumekap yang terlibat dalam industri perfileman,” jelas Fazli menyatakan impian peribadinya.

 

Nasihat Untuk Usahawan Muda

Menurut Fazli, perkara yang paling penting bagi golongan muda yang ingin menceburi bidang perniagaan ialah ilmu pengetahuan. Beliau menasihatkan kepada bakal usahawan untuk selalu menghadiri pelbagai kursus keusahawanan yang dikelolakan oleh mana-mana pihak, sama ada kerajaan atau swasta, tidak kira percuma atau berbayar.

Kursus berkenaan pemasaran dalam talian yang sememangnya menjadi trend terkini, pengurusan kewangan dan pengeluaran produk adalah antara kursus yang harus dihadiri oleh mana-mana usahawan. “Sudah lebih 20 tahun saya menceburi bidang perfileman namun saya tetap menghadiri kursus-kursus sedemikian untuk menambah ilmu yang kurang di dada,” akui beliau yang sudah lama berada dalam arena keusahawanan.

Fazli turut meluahkan rasa bangga terhadap perkembangan produk OLeS yang kini 95% daripada jualan produknya berlaku secara dalam talian dan permintaan yang sentiasa bertambah dengan konsisten setiap bulan. Baginya, pemasaran adalah kunci utama yang harus dititik beratkan sebagai seorang usahawan pengeluar sesuatu produk atau perkhidmatan.

Walaupun belum mampu menarik nafas lega sepenuhnya, beliau bersyukur kerana setiap pelaburan diberikan baik dari aspek wang ringgit, masa dan tenaga mula menampakkan hasil apabila terciptanya produk yang berkualiti seperti OLeS.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *