Primelube Petrochemicals Mahu Tembusi Pasaran Asia

PRIMELUBE PETROCHEMICALS SDN BHD – Rakan Usahawan PUNB

Minat terhadap bidang perniagaan telah mendorong Mohd Fu’ad bin Mohamed menubuhkan Primelube Petrochemicals (M) Sdn Bhd (Primelube) pada 5 Februari 2008. Anak jati kelahiran Batu Pahat, Johor ini mempunyai pengalaman bekerja lebih 10 tahun dalam bidang penjualan minyak pelincir kenderaan di Chevron Malaysia Limited. Bermula hanya menjadi pengedar pek minyak pelincir dan gris jenama CALTEX di Johor dan Melaka, beliau telah mengembangkan perniagaan dengan menambah produk minyak pelincir jenama REPSOL dan PENZOIL keluaran UMW Lubricant International Sdn Bhd dan UMW Pennzoil Distributor Sdn Bhd pada Disember 2011. Perkembangan membanggakan ini telah meningkatkan prestasi syarikat apabila mampu mencatat jualan sebanyak RM1.4 juta pada awal penubuhan kepada RM3.95 juta pada 2016.

Dalam usaha melebarkan empayar syarikat, Fu’ad telah memohon pembiayaan daripada PUNB pada 2009 yang digunakan untuk mengembangkan operasi perniagaan. Melihat kepada peningkatan prestasi dan kejayaan Primelube, PUNB telah meluluskan pembiayaan untuk kali kedua pada 2013 dan menawarkan khidmat nasihat, kursus dan latihan dalam usaha membantu memajukan perniagaan ke tahap yang lebih tinggi.

Produk minyak pelincir jenama REPSOL dan PENZOIL keluaran UMW Lubricant International Sdn Bhd dan UMW Pennzoil Distributor Sdn Bhd.

Antara kejayaan yang diraih oleh Primelube adalah penganugerahan dari REPSOL dan PENNZOIL di atas penjualan produk tertinggi bagi kedua-dua jenama minyak dan gas dari 2012 hingga 2016. Primelube merupakan satu-satunya syarikat Bumiputera yang masih berada dalam senarai UMW Million Dollar Club sehingga kini.

Kejayaan terus diraih apabila pada 2016, Primelube telah diberi kepercayaan oleh PETROMIN Corporation Saudi Arabia yang berpusat di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE) sebagai pengimport dan pengedar minyak pelincir jenama PETROMIN bagi Asia Tenggara. Kepakaran Fu’ad terbukti melalui kejayaannya menjual produk PETROMIN di lebih 100 syarikat tempatan hanya dalam tempoh kurang daripada satu tahun.

Di atas prestasi syarikat yang menakjubkan saban tahun juga, Primelube telah menerima pengiktirafan seperti 2017 SME Corp Certificate Of Achievement 3 Star – SME Competitiveness Rating For Enhancement (Retail & Distributive Trade) dan 2018 Muslim World Entrepreneur Development Award – Outstanding SME 2018.

Primelube menerima pengiktirafan 2018 Muslim World Entrepreneur Development Award – Outstanding SME 2018.

Momentum kejayaan terus dilakar apabila pada 2018, Fu’ad dan Primelube telah menjadi pemegang saham dalam penubuhan DD Auto Parts Sdn Bhd (DDAP), sebuah syarikat membekal alat ganti dan servis kenderaan. Langkah ke hadapan, Primelube dan DDAP merancang untuk membuka lebih banyak cawangan, secara tidak langsung membuka lebih banyak peluang kerjaya khususnya kepada Bumiputera dalam industri alat ganti dan pusat servis kenderaan di Malaysia.

DD Auto Parts Sdn Bhd (DDAP), sebuah syarikat membekal alat ganti dan servis kenderaan.

Kini, Primelube sedang mengembangkan sayapnya di Negara-negara Asia Tenggara yang lain bermula dengan Indonesia melalui pemeteraian perkongsian bersama Allied Petroleum Indonesia yang berpusat di Jakarta. Selain itu, Primelube turut menjadi pembekal minyak pelincir kepada badan berkanun dan separa Kerajaan seperti Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB), POS Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Tenaga Nasional Berhad (TNB), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Tentera Darat Malaysia.

Seperti usahawan lain, Fu’ad turut mempunyai cabaran tersendiri dalam mengusahakan perniagaan, terutama dalam bidang yang kebanyakkannya lebih didominasi oleh bangsa asing dan syarikat ternama. Menurut beliau, industri ini memerlukan modal yang besar khususnya dari segi aspek promosi dan pengiklanan kerana perniagaan seperti ini melibatkan urusan pemberian kredit kepada pelanggan. Manakala bagi produk yang diimport pula, pertukaran mata wang asing mampu mempengaruhi harga produk yang dipasarkan dengan tawaran harga yang berpatutan. Malah, lambakan produk jenama tempatan yang lebih murah turut memberi kesan kepada hasil jualan kerana kebanyakan produk tersebut menggunakan minyak pelincir yang telah digunakan dan dikitar semula.

“Saya berharap dapat memasarkan minyak pelincir jenama PETROMIN di seluruh Asia Tenggara dan menjadikan jenama yang telah bertapak di Asia Barat lebih daripada 50 tahun ini sebagai produk No.1 di Malaysia pada masa hadapan,” akhiri beliau.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *