Semua yang Anda Perlu Tahu tentang Ekosistem e-Dagang di Malaysia

Platform e-dagang menjadi tanda aras penting di Asia Tenggara apabila Google dan Temasek mensasarkan jangkaan ekonomi digital mencecah nilai AS$ 50 bilion (RM 203.94 bilion) pada penghujung 2017 yang lalu. Walaupun Google dan Temasek tidak mengkhususkan nilai ini bagi mana-mana negara, namun kerajaan Malaysia telah secara terbuka menyatakan tentang potensi besar e-dagang kepada pembangunan negara. Hal ini terbukti dengan penubuhan Zon Perdagangan Bebas Digital (DFTZ) dengan kerjasama Jack Ma dan Alibaba serta mendapat peruntukan yang sama penting seperti sumber pendapatan kerajaan yang lain dan sekali gus menyenaraikan e-dagang sebagai antara lapan teras utama pelan pembangunan Malaysia 2025.

Mengimbas kembali permulaan pasaran e-dagang di Malaysia pada pertengahan 2000, Malaysia agak lewat memasuki pasaran ini jika dibandingkan dengan negara Asia Tenggara yang lain. Walaupun begitu, menurut The Star, perniagaan e-dagang di Malaysia kini telah berkembang dengan konsisten dan telah menjana pendapatan sebanyak AS$5.7 billion (RM24.6 billion) pada 2017. Kekukuhan ekonomi yang dinamik dan infrastruktur teknologi digital yang lengkap menjadikan Malaysia sebagai hab yang sangat strategik untuk pasaran e-dagang di Asia Tenggara. Menurut perspektif syarikat e-dagang, kuasa digital kian bercambah, dengan lebih daripada 22 juta pengguna aktif. Angka ini dijangka akan bertambah seramai 5 juta orang lagi pada 2018. Kesempatan ini harus dimanfaatkan sepenuhnya oleh usahawan untuk menceburkan diri dalam pasaran e-dagang.

E-dagang juga memerlukan kerjasama daripada semua pihak yang berkepentingan dalam pasaran ini bagi memudahkan transaksi jual beli dengan lebih pantas dan berkesan. Perniagaan e-dagang melibatkan platform pemasaran produk, di samping peranan media sosial, kaedah pembayaran dan khidmat penghantaran.

Platform pemasaran

Terdapat pelbagai platform pasaran tempatan dan global yang boleh anda gunakan untuk memasarkan produk anda. Anda mempunyai pilihan untuk memasarkan produk di platform e-dagang, antaranya seperti Lazada, Qoo10, 11street, Shopee dan Lelong.my, atau menggunakan pasaran mudah alih (mobile marketplace). Akan tetapi, anda perlu memahami konsep dan infrastruktur yang disediakan sebelum menggunakan platform seperti ini untuk memasarkan produk anda.

Akhbar The Star baru-baru ini memetik kata-kata Ketua Pegawai Eksekutif HSBC Bank Malaysia Bhd, Mukhtar Hussein, “Ternyata ada peralihan jelas yang dapat dilihat pada trend membeli-belah rakyat Malaysia.”. Platform pemasaran yang banyak dikenali pengguna adalah yang berkonsepkan perniagaan kepada pengguna (business to consumer) atau B2C. Lazada Malaysia mendahului sebagai platform marketplace B2C yang paling kerap dilawati dengan anggaran sekitar 20 juta orang pelawat sebulan, manakala saingan terdekat, iaitu 11street.my, sebuah platform pemasaran yang asalnya dari Korea Selatan, dianggarkan menarik perhatian seramai lebih daripada 10 juta orang sebulan pada pertengahan tahun.

Lazada juga menyediakan perkhidmatan ‘Fulfillment by Lazada’, iaitu sejenis perkhidmatan yang disediakan untuk penjual. Produk akan disimpan dalam gudang Lazada dan syarikat tersebut juga akan memproses, membungkus dan mengirim produk. Hanya bayaran penghantaran akan dikenakan mengikut bilangan kiriman yang dibuat. Dengan ini, Lazada bukan sekadar menyediakan platform e-dagang malah berusaha memenuhi keperluan pembeli daripada awal proses pembelian sehingga penghantaran.

Kaji selidik yang dilakukan oleh PwC menunjukkan 66 peratus pengguna menggunakan telefon mudah alih untuk membuat pembelian. Ini bererti majoriti pengguna yang membeli-belah secara atas talian di Malaysia menggunakan aplikasi pasaran mudah alih. Oleh itu, memilih platform pemasaran yang tepat dan bersesuaian dengan produk dapat membantu penjual memasarkan produk dengan lebih berkesan.

Peranan Media Sosial

Soal selidik yang dilakukan oleh Iprice menunjukkan pengguna media sosial gemar menjadi pengikut platform pasaran e-dagang yang mereka sukai. Memandangkan pengguna media sosial di Malaysia berjumlah lebih 22 juta orang, platform pemasaran e-dagang tentu juga menumpukan pemasaran mereka di media sosial. Media sosial boleh juga dimanfaatkan oleh peniaga individu untuk pemasaran produk atau perkhidmatan supaya cepat dikenali ramai, seterusnya meningkatan bilangan pelanggan. Berdasarkan kaji selidik, rakyat Malaysia secara purata menghabiskan masa 3 jam sehari di media sosial, sehingga 31 peratus pembeli atas talian di Malaysia telah membuat belian secara langsung melalui media sosial. Sebanyak 41 peratus pembeli atas talian lebih gemar membeli di Facebook, diikuti 22 peratus di Instagram.

Kepelbagaian Kaedah Pembayaran

Apabila berlaku transaksi jual beli atas talian, sudah pasti pembayaran dilakukan tanpa menggunakan wang tunai. Kaedah yang biasa adalah melalui pindahan wang secara atas talian, penggunaan kad kredit, dan kad debit. Hasil soal selidik yang dilakukan oleh 11street menunjukkan 90 peratus responden kini membuat pembayaran tanpa tunai. Berdasarkan kaji selidik dari Adyen, 42 peratus pembeli di Malaysia menggunakan khidmat perbankan atas talian untuk melengkapkan pembelian mereka. Hasil soal selidik 11street juga memberi jangkaan penggunaan kad debit dan kad kredit untuk pembelian atas talian di Malaysia akan meningkat lagi dalam masa 12 bulan akan datang akibat bertambahnya keyakinan pengguna dengan kaedah pembayaran tersebut. Kini, beberapa syarikat e-dagang telah pun memperkenalkan kaedah pembayaran dompet mudah alih kepada pengguna.

Khidmat Penghantaran

Khidmat penghantaran merupakan salah satu elemen penting dalam transaksi jual beli. Pembeli pasti ingin menerima produk dalam keadaan baik dan dalam tempoh masa yang dijanjikan. Ini perlu untuk menarik perhatian pembeli membuat ulasan yang baik seterusnya dapat mempengaruhi pengguna lain untuk membeli daripada anda. Menurut kajian 11Street, 77 peratus pembeli sanggup membayar lebih daripada RM10 untuk penghantaran yang lebih cepat dan 46 peratus mengharapkan penghantaran dalam tempoh tiga hari. Kejayaan perniagaan e-dagang di Malaysia telah menyumbang kepada peningkatan saingan antara syarikat penghantaran. Syarikat-syarikat penghantaran yang sudah lama bertapak seperti Pos Malaysia, NationwideExpress dan Skynet semakin mendapat persaingan daripada pendatang baharu seperti Ninja Van.

Kejayaan perniagaan e-dagang di Malaysia bukan sahaja memerlukan kemajuan teknologi dan infrastruktur moden, malah ia memerlukan syarikat e-dagang tempatan dan global untuk menyediakan platform pemasaran produk atau perkhidmatan dalam serta luar negara. Kemudahan jaringan jalur lebar tanpa sempadan pasti akan menggalakkan lagi pasaran e-dagang, khususnya di Asia Tenggara. Pemeteraian memorandum persefahaman antara Malaysia dengan China diharapkan dapat merangsang pertumbuhan pasaran e-dagang di Malaysia, memandangkan China merupakan pasaran e-dagang terbesar dunia yang disokong oleh ekosistem e-dagang yang sangat kompleks.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *