Bagaimana Menentukan Harga bagi Produk Baru?

Apabila sesuatu produk baru (barangan atau perkhidmatan) memasuki pasaran, biasanya usahawan  menghadapi masalah untuk menentukan harga produk tersebut. Mereka juga menghadapi masalah untuk mengetahui sambutan pelanggan terhadap produk itu. Oleh itu, strategi utama usahawan ialah memastikan bahawa produk tersebut diletakkan pada harga yang sepatutnya supaya ianya dapat dijual dalam kuantiti yang banyak untuk mendapat keuntungan.

Terdapat dua strategi utama yang boleh dilakukan oleh usahawan untuk menentukan harga keluaran produk baru. Strategi-strategi tersebut ialah Penentuan Harga Penarahan Pasaran dan Penentuan Harga Penembusan Pasaran.

Penentuan Harga Penarahan Pasaran

Pada peringkat  awal, usahawan perlu meletakkan harga yang tinggi pada produk tersebut dan kemudian  menurunkan harganya secara berperingkat. Tujuannya ialah untuk mendapat keuntungan yang semaksimum yang mungkin selain dari untuk mengawal kemasukan pesaing. Tetapi usahawan perlu memastikan produk tersebut mempunyai kualiti yang tinggi dan imej syarikat yang baik. Contohnya, produk telefon pintar pada awal keluarannya berharga lebih daripada RM 1000, kemudian diturunkan kepada RM600 dan seterusnya kepada RM200. Keadaan ini menguntungkan usahawan kerana apabila kos jatuh,para pesaing tidak dapat memasuki pasaran kerana keuntungan semakin berkurangan.

Penentuan Harga Penembusan Pasaran

Melalui strategi ini, usahawan meletakkan harga yang rendah ke atas produk yang dikeluarkan. Mereka menggunakan teknik harga rugi supaya produk tersebut dapat dijual sebanyak yang mungkin. Ini bertujuan untuk mendapatkan lebih ramai pelanggan dan meningkatkan syer pasaran. Usahawan juga mesti memilih pasaran yang sensitif kepada perubahan harga. Kesan yang akan diperolehi oleh usahawan ialah kos pengeluaran dan pengedaran dapat diturunkan dan unit jualan meningkatkan. Harga yang rendah ini dapat mengurangkan pesaing daripada memasuki pasaran.

Usahawan tidak semestinya peka kepada satu teknik sahaja untuk meletakkan harga produk baru mereka. Usahawan sebenarnya boleh menggabungkan kedua-dua strategi di atas di dalam perniagaan mereka; iaitu meletakkan harga yang murah ke atas sesuatu produk tertentu untuk menarik perhatian pelanggan dan meletakkan harga yang tinggi ke atas barangan yang lain.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *