Your DIY Project Supplies Cetusan Idea Raja Juliza

YOUR DIY PROJECT SUPPLIES – Rakan Usahawan PUNB

Tidak pernah menyangka akan bergelar seorang usahawan, Raja Juliza Raja Soid menceritakan detik permulaan beliau terlibat dalam bidang perniagaan ini.  “Masih segar di ingatan saya pada 2012 di mana ketika itu saya ingin melangsungkan majlis pertunangan.  Disebabkan peruntukan kewangan yang amat terhad, saya mengambil keputusan untuk melakukan persiapan majlis menggunakan kreativiti sendiri dengan menyewa barangan perhiasan majlis.  Hasil kejayaan dan kemeriahan majlis tersebut, saya mula memuat naik beberapa gambar untuk tatapan umum di blog peribadi.  Siapa sangka melalui perkongsian tersebut, ia telah menarik minat beberapa rakan blog untuk turut menyewa barangan majlis yang dipaparkan,” jelas pengasas Your DIY Project Supplies (Your DIY) ini.

Your DIY menyewakan barangan untuk pelbagai majlis.

Melihat kepada minat orang ramai, tercetusnya idea dan kesedaran untuk mewujudkan sebuah perniagaan yang berkonsepkan sewaan barangan keperluan majlis seperti yang dikenali pada hari ini.  Tujuan asal penubuhan Your DIY adalah untuk membantu dan memberi alternatif kepada pasangan pengantin membuat persiapan untuk majlis perkahwinan.  Namun, disebabkan oleh sambutan yang memberangsangkan, Juliza memutuskan untuk menyewakan kelengkapan barangan dan perkakas perhiasan bagi majlis-majlis keraian lain seperti sambutan hari jadi, majlis makan malam, majlis cukur jambul atau berendoi dan apa jua jenis majlis sambutan yang berkaitan.  Kesemua barangan tersebut disewakan dengan kadar yang berpatutan selain tawaran barangan perhiasan yang sentiasa dikemas kini mengikut trend dan gaya majlis terkini.

“Hakikatnya, bukan mudah untuk menjalankan perniagaan sebegini lebih-lebih lagi apabila terpaksa berhadapan dengan pelbagai kerenah pelanggan.  Ada di antara pelanggan yang inginkan barang sewaan terbaik dengan kadar sewaan yang murah.  Malah, ada juga yang gagal mematuhi terma penyewaan terutama semasa memulangkan barangan dan perkakas sewaan dalam keadaan yang baik.

“Oleh kerana Your DIY tidak mengenakan caj pendahuluan kepada para pelanggan yang menyewa barangan kami, maka kami terpaksa memperbaiki atau mengganti barang yang telah dirosakkan.  Inilah antara cabaran utama Your DIY dalam menguruskan perniagaan kerana kami sentiasa komited dan mengambil sepenuh tanggungjawab bagi menyediakan barang sewaan seperti yang ditempah oleh pelanggan walaupun adakalanya terpaksa menanggung kos kerugian tambahan,” tambah Juliza.

Antara koleksi pelamin hasil sewaan Your DIY.

Dalam perniagaan pasti ada jatuh bangun dalam meniti setiap halangan yang mendatang. Walaubagaimanapun, buat usahawan wanita ini tiada kejayaan tanpa usaha dan kesungguhan.  Beliau juga tidak terlepas daripada berhadapan dengan pelbagai cabaran terutama dari segi pasaran dan persaingan semasa.  “Your DIY terpaksa berhadapan dengan kemunculan pembekal-pembekal baharu yang menawarkan harga sewaan jauh lebih murah daripada harga pasaran.  Kesan ini sedikit sebanyak mengganggu perjalanan perniagaan kami dan juga peniaga lain yang sedia ada.  Bagi mengatasi masalah ini, kami sentiasa berusaha untuk menjadi lebih kreatif dalam menjana dan memperkenalkan idea serta konsep-konsep baharu sebagai pilihan kepada para pelanggan,” ulas beliau.

Your DIY juga turut mempunyai perancangan tersendiri untuk terus kekal relevan dalam industri. Bagi Juliza, apa yang penting dalam perniagaan adalah komunikasi.  Your DIY sentiasa menjaga hubungan baik dengan pelanggan seperti mendapatkan maklum balas atau cadangan penambahbaikan agar perkhidmatan yang diberikan sentiasa mendapat perhatian dan memenuhi keperluan serta kehendak pelanggan pada masa akan datang.

Bagi Juliza, tiada kejayaan yang datang bergolek, semua itu menagihkan pengorbanan dan usaha gigih yang jarang diketahui atau dilihat oleh orang lain.  “Ini kerana bidang perniagaan adalah suatu bidang yang berisiko tinggi. Jika anda bercita-cita untuk bergelar seorang usahawan, anda perlulah bersedia dari pelbagai aspek.  Anda harus memiliki tahap kesabaran yang tinggi, sifat daya tahan dan juga ‘always think one step ahead’ dalam merangka serta mencari penyelesaian bagi setiap halangan yang mendatang,” akhiri beliau.

5 Tips untuk bergelar usahawan daripada Raja Juliza:

  • Ketahui minat dan bakat yang ada dalam diri anda.
  • Elakkan diri menjalankan perniagaan berdasarkan trend semasa.
  • Perancangan teliti adalah perlu dalam setiap perniagaan.
  • Cuba kenalpasti identiti perniagaan yang menjadi signature atau trademark yang membezakan kita dengan orang lain.
  • Cabar diri untuk sentiasa jadi lebih baik dari sebelumnya.

4 Ulasan

  1. Saya berminat dalam perniagaan berasaskan produk pes untuk masakan dan pertanian. Macamana nak mula ya sebab pengetahuan tentang bidang perniagaan ini ‘zero’ bagi saya.
    Terima kasih.

    1. Salam Sejahtera Tengku Nor Hazila,
      Terima kasih kerana melayari Usahawan Nasional Webzine.
      PUNB merupakan sebuah institusi pembangunan keusahawanan untuk meningkatkan penyertaan dan penglibatan Bumiputera dalam bidang keusahawanan.
      PUNB menawarkan pembiayaan perniagaan kepada usahawan Bumiputera selain memberi sokongan perniagaan lain seperti khidmat nasihat & pemantauan perniagaan, kursus & latihan pembangunan keusahawanan serta perniagaan.
      Jika berminat untuk mendapatkan pembiayaan perniagaan daripada PUNB, anda bolehlah kunjungi Ibu Pejabat atau Pejabat-pejabat Wilayah PUNB yang berdekatan.
      Anda juga boleh mendapatkan maklumat lanjut tentang kami di http://www.punb.com.my
      Sebarang pertanyaan, bolehlah hubungi Pusat Khidmat Pelanggan kami di talian 1300 13 7862.
      Kami berharap dengan maklumat yang dikongsi akan membantu serta dapat menjana idea untuk perniagaan anda.
      Layari juga artikel-artikel lain dan kongsikan bersama kenalan anda!
      Terima kasih.

    1. Salam Sejahtera SEO Malaysia,
      Terima kasih kerana melayari Usahawan Nasional Webzine serta maklum balas yang telah diberikan.
      Kami berharap dengan artikel & maklumat yang dikongsi akan membantu serta dapat menjana idea untuk perniagaan anda.
      Layari juga artikel-artikel lain dan kongsikan bersama kenalan anda!
      Terima kasih.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *