10 Tips Setiap Usahawan Wanita di Malaysia Perlu Tahu

Semakin ramai wanita di Malaysia menceburi bidang keusahawanan terutamanya dalam perusahaan kecil dan sederhana (PKS), namun jumlahnya masih lagi kecil berbanding bilangan usahawan lelaki. Menurut statistik, hanya satu daripada lima PKS dimiliki oleh wanita. Oleh itu, pelbagai bantuan dan program ditawarkan bagi menggalakkan lebih ramai wanita melibatkan diri dalam bidang keusahawanan. Namun demikian, memulakan sesebuah perniagaan bukan sesuatu yang mudah, terutamanya bagi wanita. Terdapat sepuluh perkara yang perlu usahawan wanita ketahui sebelum memulakan perniagaan, iaitu:

1. Rancangan perniagaan

Sebelum memulakan perniagaan, perkara pertama yang harus dilakukan terlebih dahulu ialah menyediakan rancangan peniagaan. Rancangan perniagaan sangat penting bagi perancangan jangka panjang serta sebagai panduan apabila anda mula tersasar daripada matlamat anda. Beberapa maklumat penting yang perlu ada dalam rancangan perniagaan ialah butiran produk, perancangan kewangan, teknik pemasaran, peranan media sosial dan media massa, dan pengiklanan. Anda mesti komited dengan perancangan yang telah ditetapkan. Kebanyakan perniagaan gagal kerana terlalu cepat menukar rancangan atau langsung tidak membuat perancangan. Ingat, gagal merancang bermaksud merancang untuk gagal.

2. Idea dan produk

Satu lagi perkara penting yang perlu anda lakukan adalah membuat kajian terlebih dahulu tentang produk anda. Tidak boleh semberono membuat keputusan untuk berniaga mengikut trend semasa. Misalnya, jika anda ingin menjual tas tangan, anda harus tahu jenama tas tangan yang dijual di Malaysia. Anda perlu juga tahu tentang syarikat tas tangan yang banyak sekali mencatat keuntungan, serta teknik atau kaedah syarikat tersebut gunakan sehingga mencatat untung yang banyak. Di samping itu, anda perlu tahu tentang permintaan produk dan pesaing yang ada di pasaran. Akan tetapi, jika anda mempunyai idea perniagaan tersendiri, pastikan berpegang teguh kepada idea itu dan jangan terlalu mudah menukar matlamat kerana hendak mengikut trend semasa atau kerana kritikan orang lain.

3. Kumpulan Sasaran

Setelah mendapatkan semua maklumat yang diperlukan dan jelas tentang produk yang ada, anda harus mengenal pasti kumpulan sasaran bagi produk anda. Ciri-ciri demografik seperti jantina, umur dan pendapatan bulanan memainkan peranan penting dalam menentukan kumpulan sasaran anda. Di samping itu, perlu juga mengambil kira bahawa citarasa penduduk bandar sering berbeza daripada citarasa penduduk luar bandar. Perbezaan ini berdasarkan faktor tertentu, termasuklah pendapatan bulanan. Oleh itu, jika misalnya anda ingin menjual tas tangan kulit haiwan yang direka dengan ciri-ciri elegan dan eksklusif, anda tidak harus beranggapan bahawa semua wanita akan membeli tas tangan seperti ini. Kemungkinan besar kumpulan sasaran yang paling tepat ialah wanita penduduk bandar yang bekerja pada pangkat eksekutif atau lebih tinggi lagi kerana harga tas tersebut semestinya agak mahal.

4. Bantuan Kewangan

Kerajaan sangat komited untuk membantu usawahan wanita mendapatkan bantuan kewangan. Terdapat pelbagai saluran yang boleh digunakan untuk memohon pinjaman seperti PUNB, Tekun Nasional, SME Bank, MARA,Teraju Bumiputera dan banyak lagi. Semua organisasi ini menawarkan pelbagai skim yang bersesuaian dengan keperluan perniagaan anda. Terdapat juga skim khas wanita bumiputera yang disediakan oleh organisasi lain.

5. Latihan dan Seminar

Sebelum membina atau mengembangkan perniagaan anda, disarankan mempelajari sedikit ilmu tentang perniagaan. Tanpa ilmu dan teknik perniagaan yang betul, anda tidak akan dapat memaksimumkan keuntungan yang diperolehi. Anda perlu kerap menghadiri program latihan dan seminar perniagaan jika ingin berjaya dalam perniagaan. Biasanya, pihak yang menawarkan bantuan kewangan juga menyediakan latihan dan seminar usahawan, terutama sekali bagi usahawan wanita. Sebagai contoh, organisasi lain telah menyediakan program khusus bagi wanita yang bertujuan untuk memperkasakan usahawan wanita. Program e-Usahawan pula merupakan salah satu inisiatif oleh kerajaan untuk menerapkan nilai dan ilmu perniagaan digital dalam kalangan usahawan. Menerusi Program e-Usahawan ini juga, anda berpeluang untuk meneroka perniagaan dalam talian yang dapat membantu anda untuk mengembangkan perniagaan melalui platform digital.

6. Pemasaran

Pemasaran merupakan perkara terpenting dalam menjalankan perniagaan. Kaedah atau platform pemasaran yang tepat dapat menjana keuntungan dan menstabilkan perniagaan anda. Menjual produk dalam talian, misalnya, membuka peluang kepada anda untuk memasuki pasaran global. Beberapa perkara yang harus diambil kira termasuklah:

· Harga – Kenal pasti harga yang pelanggan rasakan berbaloi bagi produk anda.

· Promosi – Kenal pasti platform pemasaran yang paling sesuai.

· Tempat – Pilih lokasi terbaik bagi menempatkan produk anda.

· Fizikal – Kenal pasti penampilan premis perniagaan yang sesuai untuk menarik pelanggan.

· Orang – Dapatkan individu yang sesuai untuk berurusan dengan pelanggan.

7. Rakan Kongsi Perniagaan

Semasa memulakan sesebuah perniagaan, anda memerlukan sekurang-kurangnya seorang rakan kongsi dalam perniagaan anda. Anda tidak mungkin dapat menguruskan semua perkara pada satu-satu masa. Justeru, perlu ada orang lain yang membantu anda dalam perniagaan. Pemilihan rakan kongsi yang betul dapat membantu kelangsungan perniagaan anda. Tidak mengapa jika rakan kongsi anda belum ada kemahiran yang mencukupi kerana boleh diberi latihan. Hal ini lebih baik daripada mengambil rakan kongsi yang mahir tetapi mementingkan diri atau tidak amanah, kerana sifat seperti itu akan mengancam perniagaan anda.

8. Fokus

Fokus amat penting dalam perniagaan kerana kejayaan hanya dapat dicapai sekiranya mempunyai fokus. Fokus tidak bermaksud anda harus mengabaikan tanggungjawab yang lain.

Memberikan fokus bermakna tidak menjalankan terlalu banyak perniagaan yang pelbagai pada satu-satu masa. Janganlah sampai “yang dikendong tidak dapat, yang dikejar berciciran.”

9. Pengurusan masa

Usahawan wanita juga perlu bijak menguruskan masa anda. Orang yang menguruskan masa dengan baik ialah orang yang menuju kejayaan. Anda perlu memperuntukkan masa untuk menguruskan perniagaan, serta untuk menguruskan keluarga dan rumah tangga. Belajarlah cara terbaik untuk merancang jadual anda bagi memastikan masa yang ada dihabiskan dengan lebih baik.

10. Sokongan moral

Walaupun setelah berjaya sebagai usahawan wanita, namun akan ada ketika anda berhadapan dengan pelbagai cabaran dan kritikan. Aura negatif sebegini akan menjadikan diri anda kurang bermotivasi, berputus asa atau tidak lagi berminat untuk meneruskan berniaga. Oleh itu, jagalah hubungan baik dengan ahli keluarga dan sahabat anda kerana mereka mampu memberikan sokongan moral kepada anda untuk terus melangkah ke hadapan.

Kesimpulan

Secara ringkasnya, walaupun wanita membentuk sebanyak 50 peratus daripada jumlah penduduk Malaysia, tetapi kurang daripada 20 peratus wanita terlibat dalam industri PKS. Disebabkan perkara ini, pihak kerajaan, swasta dan NGO sedang berusaha menambahkan bantuan bagi usahawan wanita supaya dapat menyejahterakan ekonomi keluarga, malah dapat menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara. Pelbagai program keusahawanan disediakan dengan tujuan meningkatkan penyertaan wanita dalam bidang keusahawanan. Program seperti ini menyediakan latihan intensif kepada usahawan wanita tentang bidang keusahawanan, sokongan eksport dan bantuan kewangan.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *