4 Cara Elak Pelanggan Lari!

Pelanggan yang setia adalah mereka yang kembali membeli produk atau menggunakan perkhidmatan yang ditawarkan dalam sesebuah perniagaan. Bukan sekali, malah berulang kali kerana berpuas hati dengan sesuatu produk dan perkhidmatan. Malah, golongan ini juga merupakan ‘bonus’ kepada peniaga melalui testimoni baik yang diberikan sama ada secara perbualan mulut ke mulut mahupun di platform media sosial.

Tidak dinafikan, bukan mudah untuk mengekalkan kesetiaan pelanggan memandangkan kini mereka mempunyai banyak pilihan dalam pasaran pelbagai platform. Sebagai usahawan, anda perlu mempunyai strategi untuk membina dan memastikan kepercayaan serta hubungan baik dengan pelanggan secara berterusan.

Bagaimana untuk tawan hati dan kekalkan kesetiaan mereka? 4 cara ini boleh membantu:

Promosi
Anda boleh mengadakan jualan promosi sekurang-kurangnya sebulan sekali sebagai tarikan selain untuk mengingatkan pelanggan akan jenama perniagaan anda. Melalui kaedah ini, anda juga boleh menawarkan diskaun tambahan bagi memberi kepuasan membeli kepada pelanggan agar mereka merasakan perlu merebut peluang keemasan ditawarkan. Ini dapat menarik perhatian pelanggan untuk kekal setia bersama syarikat anda dalam masa jangka panjang.

Peraduan di media sosial

Mengadakan peraduan secara dalam talian merupakan salah satu cara terkini dalam mengekalkan kesetiaan kepada pelanggan anda kerana ianya lebih mudah dan interaktif. Apa yang penting, anda perlu tahu tentang kehendak pelanggan sebelum muat naik peraduan di media sosial. Sebagai contoh, peraduan tersebut haruslah berkaitan dengan perniagaan anda, peraduan terbuka untuk pelanggan tetap supaya mereka berasa lebih berkepentingan, penyertaan terhad agar pelanggan tidak membuang masa untuk sertai dan hadiah yang ditawarkan pula harus bernilai.

Panggilan telefon

Sebenarnya kuasa pemasaran melalui panggilan telefon telah lama digunakan dan ia masih relevan sehingga hari ini. Cara ini secara tidak langsung dapat membina hubungan lebih erat antara usahawan dan pelanggan. Sebagai contoh, anda membuat panggilan untuk bertanya pendapat tentang produk yang telah dibeli. Ini dapat membuat pelanggan berasa sangat dihargai apabila kepentingan dan maklum balas mereka diutamakan. Justeru, kepercayaan akan terus meningkat dan mereka akan terus menyokong produk dan perkhidmatan yang anda tawarkan.

Menjaga kualiti produk dan perkhidmatan

Untuk mengekalkan kesetiaan, anda perlu menjaga kualiti setiap produk dan perkhidmatan ditawarkan selain memberi pengalaman pelanggan terbaik kepada setiap individu yang berurusan dengan perniagaan anda. Faktor ini amat penting kerana naluri seorang pelanggan sentiasa mahukan kualiti yang terbaik walaupun mereka sekadar bertanya dan tidak membuat sebarang pembelian. Jika produk berkualiti, secara tidak langsung dapat membina keyakinan pelanggan seterusnya mewujudkan jaringan pelanggan yang setia.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *