4 Selebriti Popular Yang Berjaya Sebagai Usahawan

Bukan senang nak menjadi usahawan yang senang tau! Segala-galanya memerlukan perancangan, usaha dan kebijaksanaan mengatur strategi dalam mengharungi dunia perniagaan yang mencabar. Pada masa kini, bukan hanya orang biasa, bahkan selebriti turut tidak ketinggalan untuk mencuba nasib dengan berniaga. Jom baca tentang empat selebriti tempatan ini yang berjaya melakar kejayaan dalam bidang perniagaan.

Mila Jirin

Kerjaya Mila Jirin sebagai anak seni bermula selepas beliau memenangi program realiti Akademi Fantasia musim kelima pada 2007. Meluaskan rezekinya bukan hanya dalam bidang seni, Mila bersama suami, Ahmad Ailis Mustapha, memutuskan untuk terjun ke dalam pelbagai cabang perniagaan seperti restoran, butik dalam talian, produk kecantikan dan kesihatan, serta khidmat katering dan pakej perkahwinan. 2010 merupakan titik perubahan bagi kehidupan pasangan ini apabila mereka mengambil alih perniagaan Restoran Embun Urai yang terletak di Puchong, Selangor. Usaha dan penat jerih Mila dan suami mengusahakan perniagaan ini akhirnya membuahkan hasil apabila Restoran Embun Urai kini berjaya.

Tidak mahu ‘duduk diam’, Mila dan Ailis menceburkan diri pula dalam industri katering dan perkahwinan menerusi Bizmilla Catering yang kini beroperasi di One City, Subang Jaya. Pakej Bizmilla Catering turut menyediakan perkhidmatan banquet dan perkakasan perkahwinan bagi pelanggan yang ingin melangsungkan majlis raja sehari mereka. Selain itu, Mila juga turut melancarkan Bizmilla NZ Beauty yang menawarkan produk kecantikan dan kesihatan iaitu InstaBeauT’White dan Fivebermax.

Fizo Omar

Pelakon popular, Fizo Omar atau nama sebenarnya Wan Hafizol Wan Omar, merupakan pemilik kepada Fizo Omar Channel, Fizo Omar Centre, Fizo Omar Catering dan Fizo Omar Consultancy. Fizo Omar Consultancy ditubuhkan bagi membimbing usahawan dan bakal usahawan tentang perniagaan skala kecil ataupun besar menerusi medium-medium seperti seminar dan ceramah keusahawanan. Fizo Omar Centre pula menyediakan perkhidmatan sewaan bilik dewan serbaguna yang lengkap dengan kemudahan dan peralatan diperlukan bagi menjalankan aktiviti seperti seminar, kelas keusahawanan dan sebagainya.

Dua lagi perniagaan yang diteraju oleh anak Kelantan ini termasuklah Fizo Omar Channel, yang tertumpu kepada bidang pengiklanan manakala Fizo Omar Catering bertanggungjawab menguruskan Fizo Mawar Kitchen dan Hot Burger. Hot Burger yang berslogan “Harga Kaki Lima, Rasa Bintang Lima” tidak hanya bertujuan untuk meraih keuntungan tetapi juga untuk membantu golongan muda dan ibu tunggal memulakan perniagaan melalui konsep francais tanpa mengeluarkan modal permulaan. Kini, sebanyak 350 gerai Hot Burger telah beroperasi di seluruh Semenanjung Malaysia.

Dato’ Fazley Yaakob

Dato’ Fazley atau Dato’ Ahmad Fadzli Yaakob merupakan seorang usahawan, pakar motivasi, serta seorang chef selebriti yang sering menjadi pilihan bagi kebanyakkan program dan bual bicara tentang makanan dan masakan di Malaysia. Beliau juga telah merakamkan lima buah album nyanyian sebelum mengorak langkah ke dalam bidang kulinari setelah menjuarai program realiti televisyen MasterChef Selebriti Malaysia pada 2012. Selepas kemenangan tersebut, beliau mendapat peluang untuk menyambung pengajian peringkat Diploma di Le Cordon Bleu Institute, Paris, sebuah institusi latihan kulinari terkenal dunia dan kini, Fazley menguruskan restoran miliknya iaitu SukaSucre Bistro di Cheras.

Selain SukaSucre Bistro, Fazley juga memiliki dua buah restoran lain, iaitu Mamanda dan Bunga Telang.

Datuk Rosyam Nor

Siapa tidak kenal dengan Datuk Rosyam Nor? Ketika rakan seperjuangan sibuk membina jenama perniagaan dalam industri fesyen dan kecantikan, Datuk Rosyam Nor, atau nama kelahirannya Mohamed Noor Shamsuddin memilih untuk menceburi bidang pertanian.

‘Hero Malaya’ ini mula melibatkan diri dalam sektor pertanian pada 2009 dan kini beliau memiliki ladang seluas 70 hektar (175 ekar) dengan 6,000 pokok nangka madu J33 (Terkam Yellow) dan tanaman durian belanda sebanyak 10,800 pokok. Selain pertanian, Rosyam Nor turut memiliki sebuah pasaraya seluas 13 buah lot kedai yang dikenali sebagai ST Rosyam Mart. ST Rosyam Mart yang beroperasi 24 jam sehari di Setiawangsa ini menawarkan pelbagai produk keperluan harian dengan harga yang berpatutan.

Sumber Gambar:
Datuk Rosyam Nor – New Straits Times
Mila Jirin – GEMPAK
Fizo Omar – Fizoomar.com
Dato’ Fazley Yaakob – Eat Drink KL

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *