Bina Rangkaian Bina Kejayaan

“Jangan lokek berkongsi ilmu dengan rangkaian perniagaan anda. Rajinlah hadirkan diri ke majlis keramaian. Semakin ramai yang anda jumpa, semakin banyak peluang rangkaian perniagaan untuk anda. Berikan bantuan kepada rakan perniagaan meskipun mereka dalam bidang yang berbeza. Hasilnya, anda dapat membina hubungan perniagaan yang berkekalan,” petikan daripada IrfanKhairi.com oleh Dr. Noor Irfan Khairi Noor Azmi, Tokoh Jutawan Internet.

Rangkaian perniagaan sangat penting dalam menjalin hubungan kerjasama dengan pihak lain. Rangkaian perniagaan yang kukuh mampu mewujudkan banyak peluang baharu selain sokongan moral mahupun kewangan daripada rakan usahawan lain. Berikut adalah beberapa panduan yang boleh membantu anda membina rangkaian perniagaan sendiri:

• Pilih kumpulan sasaran

Pilih kumpulan sasaran yang tepat. Berikan kad atau risalah perniagaan kepada mereka yang berminat dengan idea dan perniagaan serta berpotensi menjadi rakan niaga anda.

• Bina hubungan baik Tujuan membina rangkaian perniagaan adalah untuk mewujudkan hubungan yang mendatangkan manfaat bagi perniagaan. Pelbagai cara dapat dilakukan bagi mengukuhkan hubungan baik dalam perniagaan antaranya meraikan atau memberi penghargaan kepada pihak yang berurusan dengan kita. Hal ini penting kerana kebanyakan pelanggan mahupun peniaga lebih selesa berurusan dengan mereka yang dikenali dan dipercayai. Apabila kepercayaan dapat dibina, pasti urusan perniagaan akan menjadi lebih mudah.

• Cari Peluang

Rebut peluang berkenalan setiap kali berjumpa dengan individu atau kumpulan perniagaan baharu. Tidak perlu memberi penerangan penuh tentang perniagaan anda jika pertama kali bertemu, sebaliknya lebih banyak bertanya tentang diri dan perniagaan yang dijalankan oleh pihak tersebut. Akan tetapi, jangan lupa untuk mengenal pasti topik yang boleh dijadikan sebagai cetusan perbualan. Cara ini boleh memanjangkan komunikasi seterusnya memudahkan anda untuk memperkenalkan perniagaan. Dengan menghadiri sesebuah majlis, anda juga berpeluang menambah kenalan. Cuba dekati dan berkenalan di kalangan tetamu yang ada. Cara ini dapat meluaskan lagi rangkaian perniagaan anda.

• Beri bantuan

Mahu membina hubungan yang berkekalan dalam dunia perniagaan? Salurkan bantuan sewajarnya atau berikan sokongan moral kepada rakan usahawan yang berada dalam kesusahan. Sikap ini akan membuatkan anda diingati, mudah didekati dan secara tidak langsung dapat menimbulkan rasa percaya orang lain terhadap anda.

• Jangan lost contact!

Teruskan berhubung dan aturkan pertemuan seterusnya dengan kenalan baharu. Kenalan baharu pasti tidak akan melupakan anda sekiranya perhubungan dikekalkan dan anda akan sentiasa menjadi pilihan rakan perniagaan lain.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *