‘Checklist’ Sebelum Ke Pasaran Global

Apakah produk yang paling sesuai untuk dipasarkan secara global? Kita sering beranggapan hanya produk yang unik dan mempunyai faktor pelaris tersendiri sahaja yang boleh dijual di luar negara. Sebenarnya pelbagai produk berpotensi boleh dipasarkan termasuklah makanan, pakaian, mahupun kraftangan tempatan. Contohnya, produk sos cili Life keluaran Syarikat KFC Holdings Malaysia Berhad yang kini telah berada di pasaran Jepun dan roti canai sejuk beku jenama Kawan yang boleh didapati di pasar raya-pasar raya Indonesia. Yang penting, produk anda berkualiti dan mampu bersaing.

Ini antara perkara yang perlu anda pertimbangkan sebelum ke pasaran global.

Sasaran Pasaran

Mulakan dengan membuat kajian mengenai negara dan kumpulan sasaran. Cari maklumat untuk mengenal pasti negara yang mempunyai permintaan terhadap produk anda. Fokus kajian anda haruslah berdasarkan saiz pertumbuhan pasaran, minat dan pola perbelanjaan pengguna di negara sasaran.

Selain itu, cuba kenali pantang larang dan budaya setempat kerana hal ini dapat mempengaruhi sambutan terhadap produk anda. Anda juga perlu mengkaji sama ada nama produk anda sesuai untuk digunakan di negara sasaran. Ada sesetengah negara, anda perlu menukar jenama atau label produk mengikut ejaan dan bahasa serta makna yang bersesuaian supaya serasi dengan kehendak masyarakat tempatan.

Peraturan dan Undang-undang

Setiap negara mempunyai peraturan dan undang-undang import eksport tersendiri yang mungkin berbeza dengan negara kita. Sebagai usahawan, perkara ini harus dititik beratkan jika anda mahu memasarkan produk ke sesebuah negara. Antaranya undang-undang pelesenan dan pensijilan perniagaan, percukaian, urusan pengambilan pekerja dan tetapan piawaian bagi produk yang ingin dipasarkan. Contohnya, seperti di Amerika Syarikat, setiap produk makanan, ubatan dan kosmetik luar yang ingin dibawa masuk ke negara Uncle Sam itu harus mendapatkan kelulusan daripada agensi Pentadbiran Makanan dan Ubatan Amerika Syarikat (FDA).

Pengetahuan tentang peraturan dan undang-undang ini amat berguna kerana ia dapat memberi informasi dan boleh dijadikan sebagai petunjuk kepada anda sama ada ingin tembusi atau tidak pasaran di negara sasaran.

Kemampuan dan Status Kewangan Perniagaan

Dalam usaha menembusi pasaran global, anda perlu memastikan perniagaan bersiap sedia khususnya dalam pengeluaran produk yang lebih banyak dan produktif bagi memenuhi permintaan pasaran luar. Pastikan juga bekalan bahan-bahan mentah yang diperlukan mencukupi agar tidak menjejaskan kualiti dan rekod perniagaan. Kesukaran untuk membekal produk eksport secara konsisten akan mewujudkan imej negatif kepada syarikat selain berpotensi hilang kepercayaan daripada pengimport luar negara.

Tidak lupa, kedudukan kewangan perniagaan juga haruslah kukuh jika pengeluaran telah bertambah. Sekiranya perlukan bantuan, gunakan peluang-peluang yang ditawarkan oleh mana-mana agensi keusahawanan dan institusi kewangan berkaitan bagi memastikan kelangsungan dan pertumbuhan perniagaan anda.

Pelbagai kaedah atau cara yang anda boleh gunakan untuk menembusi pasaran global. Pilihlah cara yang paling sesuai dengan perniagaan anda dengan mengambil kira kos dan matlamat perniagaan.

Jadi, bersediakah perniagaan anda?

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *