I Am My Own Boss

Generasi muda kini lebih cenderung untuk bekerja sendiri berbanding makan gaji. Masalah modal atau tiada premis untuk berniaga bukan lagi penghalang bagi sesiapa yang ingin memulakan perniagaan.

Persoalannya, bagaimana hendak mula berniaga? Ini beberapa langkah yang mungkin boleh membantu:

Sertai Kursus & Latihan Keusahawanan
 Sebelum bermula, anda perlu mempunyai pengetahuan tentang dunia perniagaan. Tanya pada diri,”‘Sudah bersedia ke untuk menjadi seorang usahawan? Asas berniaga sudah ada?” Jika tidak, langkah pertama adalah sertai kursus & latihan keusahawanan samada yang ditawarkan oleh agensi Kerajaan mahupun swasta.

Antara kursus-kursus awal yang penting meliputi penyediaan Rancangan Perniagaan (RP) – nampak mudah tapi ramai ‘sangkut’ (PUNB ada sediakan Bengkel RP bagi yang berminat), operasi perniagaan, pengurusan kewangan, jualan dan pemasaran.

Jangan sesekali cuba nasib untuk berniaga tanpa ilmu di dada. Takut anda sendiri yang pening nanti.

Rancang Perniagaan
Dah bersedia? Nanti dulu. Sebelum memulakan perniagaan, kita harus kaji selidik perkara berikut:

1) Diri sendiri Ketahui potensi, kemampuan & kebolehan serta kemahiran yang ada pada diri sendiri.

2) Kewangan Mulakan perniagaan dengan modal yang ada terlebih dahulu. Orang kata, ukur baju di badan sendiri.

3) Idea & Pasaran Idea untuk berniaga haruslah berpaksikan perkara yang anda minat dan yakin boleh dibangun dan dipasarkan. Bukannya kerana mengikut trend terkini. Ingat, perniagaan bukan suatu hobi. Buat kajian mengenai kebolehpasaran produk atau perkhidmatan yang ingin ditawarkan terlebih dahulu supaya anda tahu siapa, ke mana dan di mana hendak dipasarkan.

4) Nama, Daftar & Lokasi

a. Pemilihan nama/jenama untuk perniagaan amat penting. Ini kerana nama adalah ‘wakil’ pertama selain logo bagi sesebuah syarikat. Pilih nama/jenama yang mudah diingati, ‘catchy’ dan dikenali. Pemilihan nama perniagaan boleh disemak secara atas talian ataupun boleh merujuk kepada Garis Panduan Pendaftaran Nama Perniagaan yang telah dikeluarkan oleh Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

b. Sudah pilih nama, cepat-cepatlah daftarkan ke SSM ye. Pastikan juga anda telah memiliki lesen dan permit yang sepatutnya untuk perniagaan.

c. Bagi lokasi perniagaan, pilih lokasi bersesuaian dengan perniagaan tawarkan. Ini kerana, jika salah pilih lokasi boleh memberi kesan kepada perniagaan (walaupun lokasi tumpuan orang ramai, ia belum lagi jaminan). Lokasi perlulah mudah diakses oleh orang ramai bagi memudahkan perkembangan perniagaan.

Jika tidak berkemampuan untuk menyewa, mulakan perniagaan secara atas talian dahulu. Konsep perniagaan ini boleh dilakukan di mana-mana sahaja.

Pembiayaan Perniagaan
Ramai yang beranggapan untuk berniaga memerlukan modal yang besar. Betul ke? Ternyata ia kurang tepat.

Bagi anda yang baru hendak berjinak-jinak dalam perniagaan, sebaiknya mulakan secara kecil-kecilan. Cara paling mudah dan rendah risiko adalah melalui medium atas talian. Ambil masa anda untuk membina perniagaan. Slow but grow.

Mulakan perniagaan berbekalkan modal sebanyak 80%-90% daripada poket sendiri. Jika 100% lebih baik. Ini bagi mengelakkan anda daripada berhutang sebelum dapat merasa hasil keuntungan sepanjang memulakan perniagaan.

Jika modal masih tidak mencukupi, satu cara lain adalah mendapatkan rakan kongsi, baik yang mempunyai modal ataupun kemudahan perniagaan yang diperlukan. Rakan kongsi anda haruslah seseorang yang mempunyai reputasi baik secara keseluruhan. Ya, anda perlu berkongsi saham pemilikan syarikat namun cara ini lebih baik daripada anda berhutang keliling pinggang. 

Hanya selepas perniagaan anda sudah berkembang dan mampu ‘berjalan’ sendiri, bolehlah memohon pembiayaan perniagaan daripada mana-mana institusi kewangan atau agensi pembangunan usahawan yang diiktiraf seperti PUNB.

Yang paling penting, jika anda baru hendak mula berniaga, jangan usik modal dan keuntungan perniagaan untuk kegunaan peribadi.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *