IR 4.0: Impak Pada Dunia Perniagaan

Kemunculan Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0) merupakan cabaran kepada hampir semua pihak terutamanya bagi sektor perkhidmatan dan perindustrian negara.

Sejak gelombangnya mula giat terasa sekitar pertengahan 2016, mahu atau tidak, setiap sektor dalam negara harus seiring dengan transformasi digital itu agar terus kekal berdaya saing dan relevan.

Malaysia antara negara yang membuat persediaan secara komprehensif dalam menghadapi revolusi digital ini memandangkan ia bakal memberi kesan langsung kepada ekonomi dunia.

Bagi usahawan, mereka bukan sahaja perlu beradaptasi dengan perubahan yang berlaku, malah juga perlu mengambil suatu inisiatif dari sudut pandangan berbeza untuk memastikan kelangsungan perniagaan masing-masing.

Perniagaan yang gagal menyediakan strategi digital yang sesuai untuk menghadapi perubahan ini berkemungkinan besar akan ‘bungkus’. Kegagalan untuk beradaptasi ini bukan sahaja mengancam perniagaan kecil-kecilan, malah syarikat gergasi turut berdepan risiko sama.

Mengubah Dunia Pekerjaan dan Perniagaan

IR 4.0 mengurangkan kebergantungan pada sumber tenaga manusia dan bakal mengubah dunia pekerjaan secara signifikan melalui perkembangan seperti penggunaan robot canggih dan teknologi blok rantai. 

Pengasas dan Pengerusi Eksekutif World Economic Forum (WEF), Klaus Schwab, menerusi bukunya The Fourth Industrial Revolution, menjelaskan IR 4.0 akan mengubah cara bekerja dan hidup masyarakat.

“Semua pihak berkepentingan dalam masyarakat global—kerajaan, perniagaan, dunia akademik dan masyarakat—memikul tanggungjawab untuk memahami dengan lebih baik trend baharu yang sedang muncul,” jelas Schwab dalam bukunya. 

Ubah Tumpuan

IR 4.0 juga dijangka akan mengubah jangkaan pelanggan. Untuk memenuhi jangkaan pelanggan, sektor perniagaan memerlukan jalinan kerjasama baharu bagi mengejar kepantasan inovasi dalam IR 4.0.

Generasi milenium yang membesar dalam dunia teknologi digital mengharapkan peniaga akan berusaha untuk memenuhi keperluan mereka, di samping memberi sokongan perorangan. Perkhidmatan yang perlu diberikan kepada pengguna generasi milenium ini bukan sekadar transaksi jual beli atau produk yang baik tetapi juga hubungan antara pelanggan dan penjual yang lebih mendalam.

Corak baru tingkah laku pengguna (consumer behaviour) yang beralih kepada rangkaian mudah alih memerlukan peniaga mengadaptasi produk, teknik pemasaran serta penyampaian produk dan perkhidmatan mereka supaya menepati tingkah laku pengguna yang baharu ini.

Kemunculan platform global seperti Airbnb dan Alibaba, dan pelbagai model perniagaan baharu yang lain bermakna bentuk organisasi yang sedia ada juga perlu disusun semula.

Peranan DFTZ Malaysia

Ekonomi digital merupakan sebahagian daripada perubahan yang dibawa oleh IR 4.0. Menyedari bahawa ekonomi digital menyediakan peluang untuk meningkatkan produktiviti dan pencapaian ekonomi negara, kerajaan Malaysia telah berusaha untuk membina Zon Perdagangan Bebas Digital (Digital Free Trade Zone atau DFTZ). DFTZ yang akan berpusat di KLIA Aeropolis dijangka siap pada Jun 2020 dan dijadualkan mula beroperasi pada September tahun yang sama.

DFTZ memberi manfaat terutamanya kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) kerana pewujudan DFTZ akan memudahkan perdagangan melangkaui sempadan dengan membolehkan perniagaan tempatan mengeksport barangan mereka.

Tiga komponen DFTZ ialah hab e-penunaian (e-fulfilment hub), hab perkhidmatan satelit (satellite service hub) dan platform e-servis (e-service platform). Hab e-penunaian akan membantu Perusahaan Kecil Dan Sederhana (PKS) mengeksport barangan mereka, manakala  hab perkhidmatan satelit akan menghubungkan PKS dengan syarikat yang menawarkan perkhidmatan seperti pembiayaan, pemenuhan mil akhir, insuran dan perkhidmatan lain yang penting dalam e-dagang. Platform e-servis pula bertujuan menguruskan pelepasan kargo serta proses lain yang perlu dalam perdagangan rentas sempadan.

PKS, Perniagaan Tempatan Digesa Memeluk Transformasi Digital

Bukan sahaja para peneraju industri, bahkan usahawan PKS juga perlu menyedari kepantasan  perubahan akibat IR 4.0, dan harus menyesuaikan diri dengan cepat untuk memastikan kelangsungan perniagaan mereka. 

Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad, menggesa PKS dan perniagaan tempatan supaya berada di barisan hadapan tranformasi digital untuk menarik pelabur dan berdaya saing pada skala global.

Hal ini demikian kerana PKS merupakan sebahagian daripada rantaian global. Menurut Tun Dr Mahathir lagi, rantaian nilai global dan pengeluaran semakin bertumpu di rantau Asean.  

“Anjakan paradigma dalam kalangan PKS, terutamanya dalam inovasi dan penyelesaian kreatif, penting untuk memacu industri perkilangan, memandangkan ia melibatkan 98.5% syarikat pembuatan dan 42% pekerjaan,” kata beliau ketika menghadiri Sidang Kemuncak Beyond Paradigm Shift 2019  yang diadakan dari selama dua hari bermula dari 17 Julai, 2019, di Kuala Lumpur.

Perbadanan Pembangunan Teknologi Malaysia (MTDC) juga berusaha membantu usahawan PKS menghadapi IR 4.0 dengan menggalakkan eksport produk dan perkhidmatan sekurang-kurangnya ke semua negara Asean.

Usaha-usaha yang diperkenalkan oleh Kerajaan untuk memastikan PKS mampu menghadapi cabaran yang mengiringi IR 4.0, seperti pemberian elaun modal bagi pembelian peralatan dan perisian ICT  serta pembiayaan perniagaan Skim Pinjaman Mudah Automasi dan Modenisasi (SLSAM), akan menggalakkan lebih banyak syarikat untuk mengguna pakai teknologi dan proses pembuatan pintar.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *