KLAMBI KL Miliki Keistimewaan Tersendiri

KLAMBI KL – Rakan Usahawan PUNB

Mempunyai minat yang mendalam dalam industri fesyen telah mendorong pengasas jenama pakaian wanita iaitu Encik Fadzlan Nor menubuhkan empayar perniagaannya dibawah jenama KLAMBI KL.

Mula ditubuhkan pada 2015, KLAMBI KL menampilkan gabungan koleksi pakaian yang diinspirasikan dari pakaian tradisi Melayu seperti Kurung Kedah yang dipadankan dengan pareo moden mudah pakai namun masih mengekalkan keselesaan, kesederhanaan serta sesuai dipakai oleh wanita di pelbagai peringkat umur.

Menurut Fadzlan, pada awal penglibatan pembukaan KLAMBI KL amat sukar kerana tidak mempunyai hala tuju yang tepat ekoran kurangnya ilmu pengetahuan dalam perniagaan. Keadaan itu menyebabkan beliau terpaksa berhadapan dengan pelbagai cabaran sebelum selesa dengan kejayaan yang dicapai seperti hari ini. “Dalam perniagaan, kita perlu mempunyai ilmu,” kata Fadzlan.

Walau bagaimanapun, bagi Fadzlan itu semua adalah suatu pengalaman dan pengajaran bermakna yang menjadikan beliau lebih fokus dalam merancang strategi perniagaan. Justeru, berdasarkan apa yang pernah dilalui, Fadzlan amat menyarankan kepada para usahawan untuk mengambil inisiatif menimba ilmu perniagaan selengkap mungkin dan rajinkan diri mengkaji keadaan pasaran semasa sebelum memulakan perniagaan.

Sebagai seorang usahawan, Fadzlan juga tidak terlepas dari diuji terutama ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan akibat penularan wabak COVID-19. Walaupun sudah dijangka, namun perniagaannya amat terkesan apabila mengalami hasil jualan yang menurun secara drastik memandangkan tidak boleh beroperasi secara fizikal. Pada ketika itu, beliau perlu memikirkan inisiatif lain untuk menghabiskan stok sedia ada bagi menampung semula modal yang telah dikeluarkan. Lebih membimbangkan apabila pelanggan juga lebih berhati-hati dalam berbelanja dan kurang untuk membeli pakaian sepanjang tempoh itu.

KLAMBI KL bernasib baik kerana selain dari perniagaan secara fizikal, Fadzlan juga telah mewujudkan perniagaan secara dalam talian dalam usaha memastikan kelangsungan perniagaan. Melalui platform digital, Fadzlan bersama kru giat merangka beberapa strategi promosi bagi menarik perhatian pelanggan. “Antara yang dilakukan adalah menawarkan harga jualan yang lebih murah, pemberian baucar kepada pelanggan yang telah membeli sebagai langkah memastikan mereka terus berminat untuk mendapatkan koleksi pakaian KLAMBI KL dan meningkatkan kualiti produk serta perkhidmatan pelanggan kami,” jelas beliau. Fadzlan bersyukur kerana langkah diambil sedikit sebanyak telah membantu perniagaannya untuk mengharungi saat getir itu.

Fadzlan tidak menafikan bahawa persaingan dalam perniagaan terutama industri fesyen ini amat tinggi walaupun pasarannya amat meluas. Beliau perlu memastikan KLAMBI KL mampu berdaya tahan dan berdaya saing tidak kira apa jua cabaran dan halangan yang dihadapi. Setakat ini, jenama KLAMBI KL telah pun mempunyai portal beli-belah sendiri dikenali sebagai KLAMBI KL selain telah memasuki platform e-dagang seperti Shopee dan ZALORA. KLAMBI KL juga aktif menggunakan Facebook dan Instagram bagi memperkenal dan mempromosi koleksi terbaru mereka. Langkah ini mendekatkan lagi hubungan dengan pelanggan di samping memudahkan mereka mendapatkan maklumat terkini tentang KLAMBI KL.

Berbicara mengenai perancangan masa hadapan, KLAMBI KL memperkenalkan sistem ‘dropship’ bagi membuka peluang kepada mereka yang ingin bergelar usahawan. Fadzlan mencari mereka yang sentiasa bersedia untuk mengharungi liku-liku dunia perniagaan, positif walaupun berdepan dengan kesukaran dan tidak mudah mengalah.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *