Penggulungan Syarikat…Apa Yang Perlu Tahu?

Tahukah anda, syarikat yang tidak mampu membayar hutang melebihi RM50,000.00 ke atas dan gagal membayar dalam tempoh 21 hari dari Tarikh Notis Tuntutan diserahkan, boleh digulungkan oleh Mahkamah di atas suatu Petisyen Penggulungan yang difailkan oleh Pemiutang.

Penggulungan syarikat atau likuidasi adalah proses di mana aset syarikat dikumpulkan dan dihasilkan bagi menyelesaikan hutang dan tanggungan syarikat oleh penyelesai (liquidator).

Jenis Penggulungan Syarikat

Terdapat 2 jenis;

  1. Penggulungan Terpaksa Melalui Mahkamah (hutang melebihi RM50,000 dan ke atas)
  2. Penggulungan secara sukarela:
  3. Penggulungan Sukarela Anggota melalui satu pengisytiharaan bertulis untuk menggulung syarikat secara sukarela (syarikat berpendapat berupaya membayar hutang dalam tempoh 12 bulan dari tarikh penggulungan)
  4. Penggulungan Sukarela Pemiutang melalui mesyuarat syarikat dan pemiutang.

Bagaimana Cara Untuk Membuat Penggulungan Ke Atas Sesebuah Syarikat?

Jika anda (pemiutang) berhadapan dengan masalah syarikat (penghutang) yang gagal, tidak mampu atau tidak mahu membayar hutang, pemiutang boleh memohon kepada mahkamah untuk suatu perintah penggulungan.

Sekiranya penghutang gagal membayar jumlah yang dituntut dalam tempoh 21 hari dari Tarikh Notis Tuntutan, pemiutang boleh memfailkan Petisyen Penggulungan ke mahkamah.  

Kesan Terhadap Penggulungan Syarikat?

Apabila penggulungan syarikat terjadi, syarikat perlu menghentikan operasi dan kontrak pekerjaan hendaklah ditamatkan. Segala aset dan akaun syarikat juga akan dibekukan dan tiada sebarang transaksi boleh dilakukan melainkan kebenaran Penyelesai atau mahkamah.

Apa Jadi Dengan Pekerja Syarikat Digulungkan?

Setelah sesebuah syarikat itu mendapat perintah penggulungan, tertakluk syarikat mempunyai aset, syarikat tersebut perlu membayar gaji pekerja mereka yang tertunggak selain caruman wajib seperti PERKESO dan KWSP termasuklah pembayaran sekiranya pekerja tersebut mempunyai cuti yang masih belum digunakan (mengikut kontrak pekerjaan) sebagai bayaran keutamaan sebelum membayar hutang-hutang yang lain.

Selepas hutang dilangsaikan, lebihan yang ada akan dibahagikan kepada pemegang saham atau penyumbang penubuhan syarikat mengikut hak kelayakan.

Adakah Syarikat Digulung Boleh Beroperasi Semula?

Syarikat boleh beroperasi semula jika suatu permohonan dilakukan kepada pihak mahkamah untuk menamatkan Perintah Penggulungan atau menggantung Perintah Penggulungan sama ada secara kekal atau sementara melalui perkara berikut:

  1. Pemiutang yang memfailkan penggulungan sesebuah syarikat telah menerima bukti penyelesaian hutang melalui penyelesai
  2. Bukti menunjukkan syarikat tidak sepatutnya digulungkan
  3. Terdapat beberapa perkara yang perlu diselesaikan oleh syarikat dalam tempoh penggantungan diberi – tertakluk kepada kelulusan Mahkamah (penggantungan sementara)

Walau bagaimanapun, langkah penggulungan syarikat ini dilakukan sekiranya tiada jalan penyelesaian terbaik yang dapat dicapai bagi menuntut hutang yang tertangguh dari mana-mana pihak syarikat yang berhutang dengan syarikat anda.

Anda boleh layari portal Jabatan Insolvensi Malaysia atau ikuti mereka di Facebook, Twitter, Instagram dan Tiktok untuk maklumat lanjut mengenai penggulungan syarikat. Harap sedikit info ini dapat membantu anda!

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *