Pengurusan Penjagaan Kesihatan: Industri Masa Depan

Kita selalu diberi gambaran bahawa negara luar seperti Amerika dan Jerman menyediakan perkhidmatan penjagaan kesihatan yang lebih baik. Namun demikian, tanpa kita sedari, sebenarnya Malaysia telah diiktiraf menyediakan perkhidmatan kesihatan terbaik di dunia.

Jurnal Pelancongan Perubatan Antarabangsa (International Medical Travel Journal, IMTJ) telah menobatkan Malaysia sebagai negara destinasi pelancongan kesihatan dan perubatan terbaik  dari 2015 sehingga 2017. Malaysia juga menerima anugerah yang sama bagi gugusan terbaik (cluster of the year) pada 2018. Di samping itu, Indeks Persaraan Global Tahunan kelolaan majalah International Living juga mengiktiraf Malaysia sebagai negara yang mempunyai sistem penjagaan kesihatan terbaik di dunia dari 2015 hingga 2017, dan sekali lagi  pada 2019.  Lantaran itu, Malaysia dikenali di seluruh dunia sebagai negara yang menawarkan penjagaan kesihatan bertaraf tinggi dan berkualiti.

Orang ramai biasanya hanya mengenali para doktor, jururawat dan pembantu perubatan yang memberikan rawatan kepada pesakit. Namun demikian, tunjang utama sesebuah organisasi pengurusan penjagaan kesihatan ialah sistem sokongannya iaitu memastikan institusi penjagaan kesihatan diurus dan ditakbir dengan baik.

Perbezaan antara Pentadbiran Penjagaan Kesihatan dan Pengurusan Penjagaan Kesihatan
Istilah “pengurusan penjagaan kesihatan” dan “pentadbiran penjagaan kesihatan” sering kali disalahgunakan, dan orang ramai selalunya menganggap kedua-dua istilah ini  membawa erti kata yang sama, sedangkan maknanya agak berbeza.

Pentadbiran penjagaan kesihatan hanya menguruskan kakitangan dan pekerja sahaja. Sebagai contoh, pentadbir penjagaan kesihatan biasanya bertanggungjawab mengupah kakitangan untuk jabatan tertentu. Selain itu, pentadbir penjagaan kesihatan akan menentukan jalan terbaik untuk membantu kakitangan supaya lebih cekap dalam menjalankan tugas mereka, dan lebih memahami jenis rawatan yang ditawarkan oleh pusat kesihatan kepada pesakit. Pengurusan penjagaan kesihatan melibatkan penyediaan perkhidmatan kesihatan, seperti perkhidmatan kesihatan kecemasan, rehabilitasi dan penjagaan paliatif. Individu yang terlibat dalam perkhidmatan seperti ini memainkan peranan penting dalam penjagaan kesihatan. Walaupun mereka ini mungkin tidak melakukan pembedahan atau memberi ubat kepada pesakit tetapi mereka masih terlibat dengan rawatan pesakit secara langsung.

Pentadbiran dan pengurusan penjagaan kesihatan penting dalam sistem penjagaan kesihatan, namun bidang ini masih kurang mendapat perhatian. Sebenarnya, bidang ini banyak menyediakan peluang pekerjaan dan peluang perniagaan baharu kerana masih berada di peringkat awal perkembangannya di Malaysia. Berikut ialah senarai beberapa jawatan dan peluang perniagaan berkaitan yang boleh diceburi:

1. Pentadbir Pejabat Perubatan
Tanggungjawab pentadbir pejabat perubatan termasuk memastikan urusan perkhidmatan penjagaan kesihatan berjalan dengan lancar. Pentadbir pejabat bukan sahaja menjawab telefon tetapi mengendalikan kontrak, menghubungi syarikat insuran, serta mengurus dan membayar upah pekerja.

2. Pembantu Eksekutif Perubatan
Pembantu Eksekutif Perubatan  membantu para doktor dengan melakukan tugas pentadbiran tahap tinggi tertentu. Tugas ini termasuklah membantu doktor meninjau semula dokumen dan laporan kesihatan pesakit, menjalankan kajian tertentu, mencatat rencana dan menjadualkan temu janji.

3. Juruteknik dan Pengurus Maklumat Kesihatan
Juruteknik Maklumat Kesihatan bekerja bawah kelolaan Pengurus Maklumat Kesihatan dan bertanggungjawab menguruskan dan menyimpan semua rekod perubatan pesakit. Juruteknik ini juga perlu memahami dan menyesuaikan diri dengan perubahan berterusan berkaitan perisian komputer dan amalan keselamatan serta kerahsiaan maklumat pesakit. Tugas Pengurus Maklumat Kesihatan termasuklah merangka polisi untuk mengakses dan mengemas kini rekod perubatan pesakit supaya maklumat peribadi pesakit sentiasa terlindung.

Memandangkan Malaysia akan melaksanakan sepenuhnya rekod kesihatan secara elektronik (EMR system) pada tahun ini, jawatan Juruteknik Maklumat Kesihatan akan sangat diperlukan dalam pengurusan organisasi penjagaan kesihatan, sama ada di hospital kerajaan  mahupun hospital swasta.

4. Penjagaan Paliatif
Penjagaan paliatif ialah rawatan untuk menangani gejala fizikal, emosi dan psikologi yang biasanya melanda pesakit yang menghidap penyakit serius. Rawatan bagi penyakit serius tidak semestinya bertujuan menyembuhkan penyakit atau melanjutkan usia pesakit tetapi bertujuan memaksimumkan mutu hidup pesakit. Penjagaan paliatif bertujuan membantu pesakit menangani tekanan hidup yang mereka alami akibat menghidap penyakit serius,  atau membantu mereka menghadapi rawatan agresif yang mungkin terpaksa mereka lalui.

Pihak yang terlibat dalam penjagaan paliatif biasanya termasuk doktor, jururawat, ahli farmasi dan pakar terapi kerja.  Penjagaan paliatif dapat juga dilakukan di rumah pesakit dengan bantuan pihak yang berkelulusan seperti jururawat dan pakar terapi. Bidang ini masih kurang mendapat perhatian di Malaysia, namun permintaan terhadapnya semakin meningkat. 

5. Pakar Terapi Urut Kesihatan
Rawatan yang melibatkan teknik mengurut bukanlah sesuatu yang baharu bagi masyarakat Malaysia yang sejak dahulu lagi gemar mendapatkan khidmat tukang urut untuk membantu menyembuhkan pelbagai jenis penyakit. Kajian yang telah dijalankan berkaitan terapi urut membuktikan bahawa terapi seperti ini bukan sahaja mengurangkan tekanan atau stres tetapi juga membantu melegakan kesakitan yang berterusan akibat kecederaan tertentu. Dengan itu, terapi urut mengurangkan keperluan mengambil ubat tahan sakit, sekali gus mengurangkan kebergantungan pesakit pada ubat tahan sakit.

Terapi urut kini digunakan dalam rawatan penyakit seperti kanser, kecederaan sukan, penyakit darah tinggi, artritis reumatoid dan bermacam-macam lagi penyakit yang lain. Pakar urut yang bertauliah dalam bidang urut kesihatan biasanya melakukan terapi mengikut saranan doktor yang merawat pesakit.

Bidang ini juga masih kurang mendapat perhatian di Malaysia dan masih terdapat banyak peluang bagi sesiapa yang ingin menceburi bidang terapi ini.

Secara ringkasnya, sektor penjagaan kesihatan di Malaysia masih dalam peringkat perkembangan walaupun Malaysia telah diiktiraf oleh Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNDP) sebagai destinasi penjagaan kesihatan yang sesuai bagi semua golongan kerana memiliki sistem penjagaan kesihatan yang dapat dijadikan model oleh negara-negara membangun.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *