Perniagaan Semakin Merudum? Cuba 4 Strategi Ini!

Setiap orang yang menceburkan diri dalam perniagaan pasti mempunyai harapan dan semangat tinggi untuk melihat perniagaan maju dan diterima ramai. Namun, tidak semua perniagaan diusahakan mampu menepati sasaran yang dicitakan. Lebih malang jika ia harus dibubarkan disebabkan mengalami kerugian. Inilah risiko yang perlu ditanggung oleh mereka yang bergelar usahawan.

Sebagai contoh, Patrick Grove, seorang usahawan dan pengasas kepada Catcha Group, iflix, iProperty Group, dan iCar Asia, yang merupakan jenama-jenama yang cukup dikenali di Malaysia, Singapura, dan Asia Tenggara pernah mengalami kerugian SGD 20 juta sepanjang 8 tahun pertama syarikat beroperasi. Dalam sebuah temu ramah bersama The Malay Mail, beliau berkata terpaksa  mengambil langkah mengurangkan kos, menggunakan kreativiti dan menambahkan punca pendapatan syarikat untuk memastikan  kelangsungan perniagaan.

“Kami mengalami kerugian selama 8 tahun. Saya tidak mampu membayar bonus malah gaji sendiri. Ini memang amat memalukan tetapi saya komited untuk meneruskannya juga”.

Terdapat pelbagai sebab yang boleh menyumbang kepada penurunan prestasi syarikat. Mari cuba 4 strategi ini yang mungkin boleh membantu memulihkan prestasi syarikat yang  sedang merudum:

1) Utamakan Tugasan Penting

Kesalahan yang sering dilakukan oleh usahawan baharu adalah cuba menggalas segala tugas syarikat sendiri. Elakkan semua itu dan serahkan tugas yang kurang penting kepada kakitangan. Anda bukan komputer yang mempunyai teknologi hyper-threading yang mampu melakukan 1,000 tugas dalam suatu masa. Besar kemungkinan punca syarikat anda merudum kerana anda tidak memberikan 100% perhatian kepada perkara-perkara yang lebih penting kerana terlalu sibuk dengan tugasan kecil. Jadi, biarkan orang lain mengambil alih tugas-tugas kecil tersebut kerana anda perlu memberi tumpuan dan perhatian sepenuhnya terhadap wawasan dan prestasi syarikat.

2) Tetapkan Perjanjian

Pada awal penubuhan syarikat, tugas dan skop kerja setiap rakan kongsi perlu terlebih dahulu dipersetujui bersama. Sebuah kajian oleh Funders and Founders mendapati bahawa 62% syarikat baru gagal kerana ujud konflik antara rakan kongsi. Perkara ini bukan sahaja menjejaskan produktiviti syarikat terutama jika ia sebuah syarikat kecil, tetapi ia juga akan mengganggu emosi dan mental serta menambahkan stres. Maka tidak hairanlah jika perniagaan anda mengalami penurunan prestasi dan akhirnya merudum. Sebelum prestasi syarikat  menurun ke tahap yang lebih parah, anda perlu duduk berbincang  dan memberi ingatan kepada setiap rakan kongsi tentang tanggungjawab dan skop kerja masing-masing. Dengan ini, Insya-Allah, mereka lebih bertanggungjawab dan tidak mengambil kesempatan dengan melepaskan segala urusan syarikat kepada anda, lebih lebih lagi jika rakan kongsi terdiri daripada ahli keluarga sendiri.

3) Fokus Satu Produk

Dalam mana-mana perniagaan pasti anda mempunyai seribu satu idea tentang apa yang perlu syarikat lakukan. Sebolehnya anda memang mahu melancarkan pelbagai produk bagi memperkenalkan jenama dan menaikkan jualan. Namun penting bagi anda menetapkan matlamat agar tidak tersasar daripada misi utama penubuhan syarikat tersebut. Memang baik untuk merancang dengan teliti perjalanan dan hala tuju syarikat, namun ingatlah bahawa perniagaan yang merudum mempunyai sebab-sebab tertentu. Jika setiap orang sibuk memikirkan dan mengejar untuk mencapai enam atau tujuh matlamat, sudah pasti ada matlamat yang akan terabai.

Ini amat penting, jika perniagaan itu masih baru dan produk-produk ini masih  di peringkat merangkak lagi dan perlu ditambah baik dari  aspek seperti mutu dan edaran, misalnya.

4) Analisis Semula Strategi Jualan

Jualan ialah aspek perniagaan yang paling penting dan prestasi jualan syarikat terletak di atas bahu setiap kakitangan anda. Tugas dan tanggungjawab ini terletak di atas bahu kakitangan jualan anda. Oleh itu, jika mereka datang dan pergi tanpa mencapai sasaran jualan yang sepatutnya, sebagai majikan, anda perlu memainkan peranan untuk menyelamatkan perniagaan. Menurut pakar, terdapat banyak sebab prestasi kakitangan jualan tidak cemerlang. Mungkin mereka kekurangan kemahiran insani (soft skills) dan karisma, tidak mesra teknologi, tidak bermotivasi, tidak mengikut proses jualan, tidak membuat hubungan susulan, perkhidmatan pelanggan yang lemah atau tidak mencari prospek baharu yang mencukupi.

Kesemua masalah ini boleh diatasi dengan latihan, kursus serta pengawasan ketat jika kakitangan anda ada kemahuan untuk memperbaiki diri. Memang benar bukan semua orang sempurna. Tambahan pula, kualiti pemohon bagi jawatan eksekutif jualan yang boleh didapati secara dalam talian tidaklah begitu tinggi. Bermacam-macam jenis orang yang memohon kerja, daripada mantan jurutera dengan ijazah sarjana hinggalah kerani am yang tiada pengalaman menjual tetapi terdesak untuk berkerja demi sesuap rezeki. Sesetengah daripada mereka menganggap kerja dalam bidang jualan hanyalah sementara kerana belum mendapat kerja idaman mereka. Oleh yang demikian, sebagai majikan, anda perlu mengenal pasti simptom-simptom bahaya ini dan bertindak cepat menggantikan mereka dengan calon yang benar-benar komited dengan kerja.

Walaupun ia adalah proses yang merumitkan, tetapi penting dilakukan. Selagi pekerja mempunyai sikap dan mentaliti yang sebegini, selagi itulah perniagaan anda akan terus merudum. SOP jualan sudah ada. Kursus dan latihan telah diberikan. Jika anda mampu menjual produk, mengapa tidak mereka?

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *