SUFFY DAIRY Pelopor Produk Susu Keluaran Muslim

SUFFY DAIRY – Rakan Usahawan PUNB

Siapa sangka idea untuk menceburi bidang perniagaan berasaskan susu tercetus apabila pemiliknya, Sofian bin Tajuddin mendapati ada dalam kalangan keluarga dan rakan-rakannya menyuarakan kesukaran untuk mendapatkan susu keluaran Muslim yang bersesuaian bagi golongan kanak-kanak. Bermula dari situ, bekas jurutera ini telah berusaha mencari kaedah dan formula susu terbaik untuk kanak-kanak. Ikuti temu bual bersama saudagar susu ini!

S:        Ceritakan bagaimana permulaan anda menceburi bidang perniagaan?
J:
       Sebelum saya menceburi bidang perniagaan, saya merupakan seorang jurutera dalam sektor  perkilangan. Selepas lebih 18 tahun dalam bidang kejuruteraan, pada 2009 saya bersikap realistik dengan membuat keputusan nekad berhenti kerja atas tiket Volutery Surrender Scheme (VSS) untuk menceburi bidang perniagaan.

Saya mencabar diri sendiri untuk mencuba sesuatu yang baru iaitu perniagaan tenusu, yang mana saya telah dapati sukarnya untuk mendapatkan susu kanak-kanak keluaran Muslim. Ini kerana saya percaya bahawa perniagaan tenusu ini mampu berkembang maju dan mendapat permintaan tinggi. Akan tetapi, nasib tidak menyebelahi saya apabila perniagaan yang saya telah jalankan berakhir dengan kegagalan selepas tiga tahun beroperasi.

Oleh yang demikian, pada 2012, saya telah memutuskan untuk bekerja ‘makan gaji’ semula sebagai seorang pegawai pemasaran di sebuah syarikat swasta. Di sinilah bermulanya langkah saya mempelajari tentang selok belok pemasaran, pembukaan pasaran baru dan teknik perniagaan. Segala ilmu yang diperolehi saya praktikkan sehinggalah tertubuhnya Suffy Dairy Group Sdn Bhd sehingga ke hari ini.

S:        Kongsikan produk atau perkhidmatan yang SUFFY tawarkan?

J:       Di Suffy Dairy Group, kami mengeluarkan produk susu formula berasaskan susu kambing dan lembu untuk kanak-kanak dan kini telah menambah produk tenusu, minuman tenaga dan coklat malt untuk golongan dewasa dan warga emas juga. Semua produk keluaran muslim Bumiputera di bawah jenama SUFFY dan mempunyai sijil HACPP dan halal Malaysia.

Antara produk yang ditawarkan oleh SUFFY adalah BGenius (susu lembu untuk 1-3 tahun), Annis Nutritious (susu lembu untuk 1-3 tahun), Suffy Goat (susu kambing untuk 1-3 tahun), Pure Goat (susu kambing untuk 1-3+ tahun), Suffy Activated (minuman protein yang diperkaya dengan vitamin, mineral dan taurine untuk aktif bersukan) dan Fitt Up (serbuk minuman berperisa coklat yang sesuai untuk semua lapisan umur).

Produk-produk ini boleh didapati secara dalam talian di portal dan akaun rasmi Shopee SUFFY atau melalui ejen pengedar dan pemborong di seluruh Malaysia.

S:        Apakah keunikan produk keluaran SUFFY?

J:       Keunikan produk SUFFY adalah penggunaan formula tertentu bagi setiap produk keluarannya. Bagi susu BGenius (susu lembu untuk 1-3 tahun), ia diformulasi dengan B3 iaitu Brilliant (mengandungi DHA yang merupakan antara kompenen utama dalam otak untuk membantu perkembangan otak kanak-kanak), Boost (dirumus istimewa dengan Prebiotik dari FOS dan Manna untuk membantu meningkatkan sistem penghadaman si manja) dan Balance (membantu memenuhi keperluan nutrisi seimbang yang membantu si manja membesar dengan lebih baik). Susu ini juga mempunyai khasiat tambahan sebenar daripada buah kurma dan juga madu.

Manakala bagi SUFFY Goat yang merupakan susu kambing asli tanpa gula tambahan (sukrosa), ia diformulasikan dengan tambahan makanan-makanan sunnah dan berkhasiat seperti delima, madu, kurma dan kolagen rumpai laut. Ia mempunyai khasiat yang tinggi untuk membantu tumbesaran dan memperbaiki pelbagai masalah kesihatan.

Bagi SUFFY Annis Nutritious pula, ia mempunyai formulasi Tri-Guide yang mengandungi campuran bahan-bahan istimewa seperti DHA, Prebiotik dari FOS, L-Lysine dan rantaian sederhana Triglyceride@MCT untuk menyokong meningkatkan perkembangan kanak-kanak terutamanya yang mempunyai perut sensitif dan kurang selera makan.

S:        Bagaimana SUFFY melihat persaingan perniagaan pada hari ini?

J:       Meskipun terdapat persaingan yang sengit dalam pasaran susu di Malaysia, saya melihat itu adalah sesuatu perkara yang sihat. Kunci utama adalah SUFFY sentiasa mencipta inovasi untuk mempelbagaikan lagi produk, mengekalkan kualiti yang terbaik untuk kepuasan pelanggan dan penggunaan teknik pemasaran yang kreatif untuk menarik perhatian pelanggan.

Selain itu, SUFFY juga dalam usaha melakukan penambahbaikan promosi dan pemasaran di platform media sosial bagi meningkatkan keupayaan penjualan yang lebih maksimum kerana kini boleh dikatakan semua orang mempunyai akaun media sosial dan penggunanya adalah dari pelbagai peringkat umur serta tanpa batas sempadan dan masa.

S:        Apakah cabaran dan pencapaian terbesar SUFFY?

J:       Meskipun pelbagai cabaran perlu dilalui sebelum mengecapi kejayaan, saya tidak pernah menyesal meneroka bidang yang dipilih. Antara cabaran terbesar dalam industri ini adalah pengawalan sumber dan harga bahan mentah utama iaitu susu. Adakalanya pengimport susu kambing SUFFY dari Belanda dan susu lembu dari New Zealand tidak mempunyai bekalan bahan mentah yang mencukupi dan kadar kenaikan harga yang tidak menentu.

Manakala cabaran lain adalah SUFFY terpaksa berhenti mengeksport produk ke pasaran antarabangsa sejak penularan wabak COVID-19. Mendalami proses mengeksport produk ke luar negara juga merupakan sebuah cabaran yang besar. Sepanjang proses tersebut, banyak perkara yang perlu dipelajari dan difahami sebelum produk dieksport ke sesebuah negara. Sebagai contoh, syarat kemasukan produk, harga serta kajian pasaran dan citarasa penduduk di negara berkenaan.

Sememangnya bukan mudah untuk mengharungi cabaran yang mendatang, namun kejayaan tidak datang bergolek. Semuanya memerlukan usaha dan semangat yang jitu. Berkat kegigihan tersebut, SUFFY pernah memenangi beberapa anugerah antaranya Anugerah Digital Free Trade Zone (DFTZ) sebagai pengeksport kali pertama dan tersenarai dalam buku Future of Asean, 50 Success stories of Digitalisation of Asean MSMEs pada 2018, Anugerah “Asean Business Award” (Digitalized MSME) 2019 di Bangkok yang merupakan satu-satunya wakil tunggal dari Malaysia dan Anugerah LANG INTERNATIONAL – Corporate Titan Awards 2020.

S:        Nasihat atau kata-kata semangat kepada orang ramai yang ingin memulakan perniagaan yang sama?

J:       Untuk memulakan perniagaan yang sama, pastikan anda benar-benar minat dengan apa yang anda lakukan. Anda hendaklah melakukan kajian terlebih dahulu sebelum membuat keputusan untuk menceburi bidang ini. Saya juga terbuka jika ada yang ingin mendapatkan tunjuk ajar dan nasihat bagi perniagaan seperti ini. Insha Allah.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.