Technerve Tawar Solusi Digital

TECHNERVE TECHNOLOGY SOLUTIONS SDN BHD – Rakan Usahawan PUNB

Untuk bergelar seorang usahawan, anda haruslah berani menempuh cabaran untuk mengecapi kejayaan. Jom ikuti kisah kejayaan Rakan Usahawan, Muslim Abdullah Zaik, pengusaha Technerve Technology Solutions Sdn Bhd yang amat menginspirasikan ini!

PUNB: Ceritakan bagaimana anda boleh menceburkan diri dalam bidang perniagaan?

MUSLIM: Ia bermula pada tahun 2014, saya merupakan pelajar tahun akhir Kejuruteraan Mekatronik di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM – kini IIUM). Pada tahun tersebut telah berlaku peristiwa kehilangan pesawat MH370. Sebuah firma teknologi Amerika Syarikat telah menawarkan perkhidmatan pencarian puing-puing pesawat menggunakan teknologi dron dasar laut (unmanned underwater vehicle, UUV), UUV adalah sebuah dron bawah air yang berkeupayaan mencerap data dasar laut. Data dasar laut negara merupakan antara data yang strategik berkaitan pertahanan dan sumber asli negara.

Ketika itu, saya mula sedar bahawasanya yang paling berharga adalah data manakala penggunaan dron hanyalah sebagai salah satu alat yang mampu memanjangkan jangkauan kita untuk memperoleh data ke tempat paling sukar dan berisiko. Bahkan ia juga berkaitan dengan kedaulatan data negara. Atas dasar itu, saya bersama rakan-rakan daripada bidang-bidang berkaitan seperti jurutera pembangunan perisian, jurutera dron/UAV, jurutera elektrik, keselamatan siber dan pakar penganalisaan data membangunkan Aeronerve pada akhir tahun 2018. Kami memfokuskan kepada membangun kepintaran data Unmanned Aerial Vehicle (UAV/Dron) dan data geospatial.

PUNB: Mengapa memilih perniagaan sekarang?

MUSLIM: Bagi kami data merupakan “bahan api” moden yang lebih mahal berbanding bahan api fosil. Ia mampu membantu negara khususnya pemain industri dan agensi-agensi kerajaan membuat keputusan yang lebih tepat dan berkesan lebih-lebih lagi dalam sektor-sektor kritikal seperti tenaga, keterjaminan & keselamatan makanan dan perlombongan sumber nadir bumi.

Justeru, kami mengambil peluang ini untuk mengetengahkan solusi berpandukan data yang kami yakin mampu memberi nilai tambah kepada proses kerja sedia ada bahkan mampu memberi impak kepada peningkatan produktiviti penghasilan, pengurangan kos dan keputusan yang lebih tepat.

Kami bermula dengan sebuah syarikat yang memfokuskan perkhidmatan cerapan data udara dan pembangunan perisian. Selepas 4 tahun, kumpulan syarikat kami telah mempunyai empat anak syarikat dan syarikat bersekutu iaitu:

  • Aeronerve Institute (AI)

Sebuah syarikat yang memfokuskan pembangunan bakat dan kemahiran dalam ekosistem bidang teknologi dron data. Aeronerve Institute telah dilancarkan oleh YB Menteri MOSTI pada tahun 2022 dengan sasaran untuk menghasilkan 30,000 orang bakat dan pemimpin teknologi menjelang 2030 selari dengan Malaysia Drone Technology Action Plan (MDTAP) 2030 yang dilancarkan MOSTI pada tahun 2022 yang mensasarkan 100,000 bakat pada tahun 2030.

Kini AI telah melatih lebih 3,000 orang yang berbakat dalam bidang teknologi dan data sejak ia mula beroperasi.

  • Fix and Go

Sebuah syarikat pakar IT yang memfokuskan kepada perkhidmatan pengurusan dan penyelenggaraan IT serta solusi untuk industri menggunakan teknologi Internet of Things (IOT). Antara projek yang telah dijalankan adalah seperti penjanaan tenaga solar khususnya untuk kawasan-kawasan ladang dan perlombongan yang memerlukan pemasangan luar grid.

  • Deca Forensic

Sebuah syarikat pemulihan data (data recovery) yang mendapat pengiktirafan daripada Cybersecurity Malaysia (CSM) di bawah program MyCyberSecurity Clinic (MyCSC) untuk melakukan pemulihan data khususnya data di cakera keras, memori kilat dalam kamera, SSD, kekunci USB dan kad memori.

  • INERVA

Sebuah syarikat bersekutu yang memfokuskan pembangunan solusi digital yang memberi tawaran transformasi digital kepada sektor tenaga khususnya kepada empangan jana kuasa, pengurusan aset kargo, pemeriksaan di ladang solar dan pemeriksaan di loji minyak dan gas.

Nadi kejayaan Technerve Technology Solutions

PUNB: Kongsikan perkhidmatan atau produk yang syarikat anda tawarkan/hasilkan?

MUSLIM: Aeronerve merupakan kumpulan syarikat penyedia penyelesaian (solution provider) berteraskan data dron & deria jarak jauh (remote sensing) dankepintaran data geospatial khususnya kepada sektor pertanian, tenaga danperlombongan. 

Kepakaran Aeronerve meliputi Pembangunan Teknologi Sistem Tanpa Manusia, Pembangunan Perisian, Papan Pemuka dan Aplikasi Mudah Alih berteraskan Geospatial Information System (GIS), Penyepaduan sistem-sistem (system integration) dan Kepintaran Data Geospatial.

Aeronerve memfokuskan kepada penyediaan ekosistem penyelesaian menyeluruh meliputi solusi, perkhidmatan, pembangunan produk teknologi, rundingan pelaksanaan teknologi, dan latihan pembangunan teknologi.

a) Solusi – Pertanian Pintar dan Tepat, Perlombongan Pintar dan Pemantauan Pintar Aset Tenaga

b) Perkhidmatan – Pemetaan udara menggunakan dron, pembangunan perisian & aplikasi, pemprosesan data dan penganalisaan data udara.

c) Produk
i. TerraBina – Drone & Iot Powered Digital Construction & Mining Progress Monitoring Dashboard
ii. TerraAgra – Drone & Iot Powered Data Driven Precision Agriculture Dashboard

iii. Inerva – Drone & IoT Powered Asset Management Dashboard

d) Latihan –
i. Pendidikan STEM Dron
ii. Pembangunan Teknologi Dron
iii. Persijilan Professional Pengendali Dron
iv. Pensijilan Pengurusan Data Dron

PUNB: Apakah cabaran terbesar syarikat anda dan bagaimana anda menanganinya?

MUSLIM: Cabaran paling besar kami adalah ketika wabak Covid19 pada tahun 2020 dan 2021. Hal ini kerana Aeronerve ketika itu masih baru menapak dalam industri. Pada awalnya kami agak terkesan, namun berbekalkan kepakaran yang dimiliki khususnya dalam bidang pembangunan web dan perisian, kami melakukan penumpuan penuh kepada bidang perisian sepanjang sesi PKP. Hasilnya kami mampu bertahan dan terus berkembang hingga ke hari ini.

PUNB: Apakah keunikan/perbezaan produk keluaran syarikat anda berbanding pengusaha lain?

MUSLIM: Kami memfokuskan kepada kepintaran data dan integrasi sistem pintar kepada sektor-sektor kritikal. Kami juga mempunyai solusi pembangunan kemahiran dan bakat yang saya kira elemen yang paling kritikal dalam implementasi solusi digital. Hal ini kerana, keperluan perubahan pengurusan ke arah digital perlu melibatkan pembangunan sumber manusia yang mahir menggunakan alat digital. Justeru, solusi digital yang kami tawarkan kepada pelanggan adalah lengkap termasuk latihan perubahan pengurusan supaya solusi tersebut dapat dijalankan sepenuhnya dengan berkesan dalam agensi yang terlibat.

PUNB: Siapakah pesaing utama anda dan bagaimana anda melihat persaingan perniagaan anda pada hari ini?

MUSLIM: Perkhidmatan pemetaan data udara menggunakan dron merupakan antara pasaran yang agak tepu. Justeru, kami berevolusi daripada semata-mata menawarkan perkhidmatan kepada tawaran solusi digital yang lengkap dan menjadikan kepintaran data sebagai nilai tambah utama kami.

PUNB: Apakah pencapaian terbesar syarikat anda?

MUSLIM: Antara projek terbesar kami pada awal 2019 adalah tinjauan dan pemetaan udara untuk pihak Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) bagi tujuan persempadanan, pemantauan tapak perlombongan dan pengurusan aset tanaman. Kami juga telah berjaya memetakan keseluruhan Tasik Chini dengan resolusi tinggi bagi tujuan pengkelasan dan kajian tumbuhan separa akuatik untuk pihak National Water Research Institute of Malaysia, NAHRIM.

Pada tahun yang sama, Aeronerve telah memenangi pingat gangsa dalam kategori Operasi Dron di Pertandingan Worldskill, Kazan, Rusia dan memenangi tempat pertama di Asia Worldskill Abu Dhabi bagi kategori Solusi Dron Terbaik. Aeronerve juga mempunyai jaringan kerjasama dengan beberapa universiti dan politeknik antaranya Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Multimedia University (MMU), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Universiti Teknologi Mara (UITM), Politeknik Kota Bharu, Politeknik Sultanah Nur Bahiyah dan Politeknik Muadzam.

Manakala pada tahun 2022, kami telah berjaya membangunkan sebuah perisian Net Present Value (NPV) untuk MARA bertujuan mengira aliran tunai agensi apabila pelaburan/pinjaman diberikan kepada pelanggan. Selain itu kami juga telah membangunkan solusi pertanian tepat untuk pihak Muda Agricultural Development Authority (MADA) yang memfokuskan kepada penanaman padi daripada benih hinggalah penghasilan dan tuaian. Aeronerve juga telah melakukan Digital Twin dan Digital Asset Inspection Tagging kepada empangan di bawah pengurusan Tenaga Nasional Berhad (TNB) melalui syarikat bersekutu kami INERVA.

Selain itu juga, Aeronerve telah memenangi geran SME Corp di bawah Programme For Enhancement Of Strategic Industry And High Growth Enterprise (PRESTIGE):   Dronetech Digitalisation Initiative (DDI) dan telah terpilih antara 40 finalis program Global Accelerator Program (GAP) Cohort 4 kendalian Malaysia Global Innovation & Creativity Center, MaGIC.

Secara keseluruhannya Aeronerve telah mencerap data berkeluasan 116,000 hektar.

PUNB: Nasihat/kata-kata kepada orang ramai yang ingin memulakan perniagaan yang sama?

MUSLIM: Kita perlu ada aspirasi dalam melakukan perniagaan, lebih baik jika aspirasi tersebut berkisar kepentingan agama, bangsa dan negara, khususnya nation building, iaitu membangunkan anak bnagsa dan negara. Usahawan perlu ambil posisi penyelesai masalah dan melihat setiap masalah sebagai batu loncatan untuk berjaya. Pelanggan kita mempunyai pelbagai masalah, gunakan peluang ini untuk tawarkan solusi kepada mereka.

Dalam konteks usahawan teknologi, mari kita sama-sama rangka visi kita supaya tidak hanya jadi pengguna alat teknologi bahkan boleh jadi penghasil teknologi yang dapat menyelesaikan masalah dan mengangkat martabat negara ke peringkat antarabangsa.






2 Ulasan

  1. Saya berminat untuk menyertai kursus (iii. Persijilan Professional Pengendali Dron)

    1. Author

      Hi Wan Mohamad Bahiki,

      Terima kasih kerana melayari Usahawan Nasional Webzine serta maklum balas yang telah diberikan.
      Layari juga artikel-artikel lain dan kongsikan bersama kenalan anda!

      Jika terdapat sebarang pertanyaan, anda boleh hubungi Pusat Khidmat Pelanggan kami di talian 1300 13 7862.

      Terima kasih.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *