Genius Aulad International Group Sdn Bhd – Rakan Usahawan PUNB

Pengasas kepada Genius Aulad International Group Sdn Bhd, Puan Zaliza Alias sungguh tidak menyangka langkah berani beliau untuk meninggalkan kerjaya sebagai pensyarah sepenuh masa dan membuka sebuah pusat pendidikan awal kanak-kanak membuahkan hasil yang membanggakan. Melalui jenama Genius Aulad, pusat pendidikan ini telah berkembang sehingga mampu menjadi antara pilihan utama jenama pendidikan bukan sahaja di Malaysia tetapi juga di Indonesia sehingga hari ini.

“Ini adalah perjuangan saya sebagai seorang pendidik. Saya mahukan sebuah pusat pendidikan yang mampu memberi impak kepada perkembangan diri kanak-kanak selain menyediakan keperluan pendidikan berkualiti yang berterusan untuk mereka,” kata Zaliza. Matlamat Genius Aulad adalah kemenjadian diri seseorang itu pada masa hadapan selain ingin membentuk sebuah generasi yang bukan sahaja celik intelek, malah juga memiliki sifat peribadi cemerlang setelah tamat pembelajaran.

Setiap kanak-kanak di pusat pendidikan Genius Aulad bukan sahaja dididik dengan pendidikan ilmiah tetapi turut didedahkan dengan kemahiran berkomunikasi dengan rakan sebaya selain turut diajar tentang kebaikan dan keburukan bagi setiap tindakan yang diambil. Ini secara tidak langsung merangsang minda mereka dan dapat membina keyakinan diri agar tidak kekok berhadapan dengan masyarakat apabila meningkat dewasa.

Selain modul pembelajaran sedia ada, Genius Aulad turut memastikan setiap pusat pendidikannya merupakan sebuah tempat yang selesa dan selamat untuk setiap individu. “Ciri-ciri keselamatan dan kesihatan amat dititik beratkan memandangkan berurusan dengan kanak-kanak memerlukan perhatian yang lebih bagi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini,” tambah Zaliza.

Dalam usaha untuk membentuk keperibadian yang baik, Genius Aulad turut mengadakan beberapa program yang melibatkan masyarakat setempat termasuklah ibu bapa pelajar itu sendiri. Melalui program seperti ‘First We Need Love’, setiap cawangan pusat pendidikan mengadakan aktiviti bersama komuniti setempat seperti kerja pembersihan dan program bercerita agar pelajar terdedah dengan aktiviti kemasyarakatan selain mengeratkan lagi hubungan antara komuniti dengan pusat Genius Aulad. 

Selain itu juga, Genius Aulad turut mengadakan program ‘Student Parent Activities’ (SPA) di mana ibu bapa para pelajar akan hadir ke sekolah dan merasai pengalaman selama satu hari sebagai seorang guru. Melalui aktiviti seperti ini, ibu bapa dapat memahami proses pembelajaran yang diterapkan dan matlamat pendidikan yang cuba disampaikan kepada anak-anak selain kepentingan memiliki keputusan pelajaran yang bagus, tetapi juga menyemai kemahiran-kemahiran lain yang bermanfaat untuk diterapkan dalam kehidupan seharian. “Antara aktiviti SPA yang kami jalankan adalah seperti cara perapian diri bagi anak-anak, nampak mudah namun ramai dalam kalangan ibu bapa yang kurang mengambil perhatian perkara ini dan Alhamdulillah, sambutan dari mereka amat menggalakkan,” jelas Zaliza.

Sepanjang penutupan sekolah akibat penularan COVID-19 tidak menghalang Zaliza dan pasukannya meneruskan aktiviti kemasyarakatan. Bersama dengan ibu bapa para pelajar, beliau telah mengadakan sebuah program melukis yang menggambarkan aktiviti para pelajarnya sepanjang berada di rumah selain mengikuti pembelajaran secara dalam talian. Setiap lukisan yang terhasil dilelongkan dan hasil kutipan yang diperolehi dijadikan sumbangan untuk membeli peralatan perubatan di Hospital Sungai Buloh. Kesemua aktiviti yang dijalankan sudah pastinya dapat memupuk sifat positif kepada para pelajar dan diharap menjadikan mereka insan yang berguna bukan hanya untuk diri sendiri tetapi juga kepada masyarakat. 

Tidak dinafikan kerjaya dalam bidang pendidikan terutama pendidikan awal kanak-kanak lebih cenderung kepada wanita. Justeru, sebagai seorang usahawan dan wanita, Zaliza ingin menguatkan lagi penguasaan wanita dalam bidang berkaitan agar lebih ramai golongan ini dapat menjadi penyumbang utama kepada pembangunan ekonomi masyarakat. Selain itu, misi Zaliza juga kini sedang bergerak ke arah global dengan memperluaskan lagi khidmat modul pendidikan ke negara seperti Qatar disamping ingin meningkatkan lagi strategi dan modul pembelajaran serta struktur kerja sedia ada agar dapat menawarkan perkhidmatan yang lebih mantap.

“Pendidikan adalah keutamaan, perniagaan hanyalah kenderaan yang menggerakkan pendidikan. Jangan kita jadikan pendidikan untuk mengejar keuntungan perniagaan kerana pendidikan adalah untuk selamanya,” nasihat Zaliza mengakhiri temubual.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.