6 Kesilapan Besar yang Biasa Dilakukan dalam Facebook Ads

Facebook merupakan laman sosial yang diasaskan oleh Mark Zuckerberg pada 2004. Kini, pengguna Facebook (FB) berjumlah lebih daripada dua bilion orang di seluruh dunia. Di Malaysia, pengguna FB dijangka akan mencecah 13.57 juta orang pada 2019. Jumlah pengguna yang kian bertambah berserta teknologi jalur lebar yang tiada sempadan menjadikan FB sebagai medium pemasaran dan pengiklanan yang sangat berkesan pada masa ini. Sifu Jamal ialah nama yang tidak asing lagi dalam dunia pemasaran dalam talian. Beliau sudah lapan tahun berpengalaman di arena pemasaran dalam talian, dan merupakan mentor ulung bagi pemasaran melalui FB di Malaysia. Ramai usahawan FB telah dilahirkan hasil didikan beliau. Secara ringkasnya, Sifu Jamal merupakan pengarah dan pengasas syarikat SifuFBads Sdn. Bhd. Sebelum berkecimpung dalam bidang perniagaan, beliau merupakan seorang kakitangan kerajaan. Bermula dengan menjual buku digital secara sambilan, beliau berjaya memperoleh pendapatan lima angka. Selepas itu, Sifu Jamal mula berkongsi teknik pemasaran yang beliau gunakan melalui https://sifufbads.com/, sehingga mempunyai pengikut sendiri. Seterusnya, Sifu Jamal dijemput oleh pihak UiTM untuk mengadakan seminar mengenai pemasaran bersekutu (affiliate marketing). Jatuh bangun dalam perniagaan sudah sebati dalam jiwa Sifu Jamal. Beliau pernah ditipu sehingga habis wang simpanannya. Beliau pernah juga menjadi murung kerana gagal membuat peserta seminarnya kekal sehingga tamat seminar. Berbekalkan pengalaman dalam bidang pemasaran, Sifu Jamal berbesar hati berkongsi enam kesilapan besar yang sering dilakukan oleh pengguna Facebook Ads:

  1. Tidak Menggunakan Butang Boost Post Dengan Betul

Kebanyakan pengguna baru melakukan kesilapan dalam mengiklan di Facebook Ads dengan tidak menggunakan butang boost post secara betul. Sebagai contoh, penjual tidak menentukan khalayak sasaran mengikut demografi, pekerjaan, atau tempat tinggal, serta tidak memilih peletakan iklan dengan tepat. Ini menyebabkan iklan tidak sampai kepada khalayak sasaran yang betul.

  1. Peletakan Iklan vs Kos

Pengiklanan merupakan salah satu kos yang perlu ditanggung oleh penjual untuk melariskan jualan. Pemilihan tepat peletakan iklan dapat mengurangkan kos iklan. Peletakan iklan bergabung di telefon bimbit, komputer, video dan artikel segera ialah sebahagian punca iklan menjadi mahal. Menurut Sifu Jamal, peletakan iklan yang paling mahal ialah di Instagram, terutama sekali yang bersertakan gambar. Walaupun begitu, peletakan iklan di Instagram sekadar bersifat perkongsian dengan pengguna. Ringkasnya, penjual perlu bijak dalam teknik peletakan iklan agar tidak menanggung kos yang terlalu tinggi.

  1. Tidak Kenal Khalayak

Bukan semua ahli khalayak merupakan bakal pembeli. Penjual perlu faham terlebih dahulu proses pemasaran sebelum membuat jualan, dan memberi kesedaran kepada khalayak terlebih dahulu. Apabila khalayak mula ada kesedaran terhadap iklan yang dibuat, barulah mereka akan mula menjadi pengikut di laman FB penjual dan menunjukkan minat pada iklan penjual. Ketika ini barulah lebih mudah membuat jualan berbanding menjual kepada khalayak yang masih belum mengenali produk. Mengenali pelbagai jenis khalayak juga mempengaruhi sama ada iklan penjual berkesan atau tidak. Terdapat empat kategori khalayak yang perlu dikenali, iaitu:

  • Dijangka melanggan (Suspect) – khalayak yang belum mengenali anda dan yang belum pernah menjadi pengikut anda.
  • Bakal pelanggan (Prospect) ‒ khalayak yang telah menjadi pengikut anda; dan biasanya akan mengikuti status terkini di laman FB anda. Khalayak ini ialah bakal pelanggan yang berpotensi membeli produk anda.
  • Pelanggan (Customer) – Khalayak yang membeli produk anda.
  • Klien (Client) – Pelanggan setia atau khalayak yang membeli produk anda yang lebih premium.
  1. Teknik Pemasaran Yang Salah

Menurut Sifu Jamal, satu lagi kesilapan adalah menggunakan Facebook Ads hanya untuk menjual produk, sedangkan Facebook Ads sesuai digunakan untuk pemasaran dan bukan untuk jualan semata-mata. Jika memilih kaedah pemasaran melalui Facebook Ads, perlulah mengingati perkara berikut:

  • Kesedaran ‒ Amat sukar menjual kepada orang yang tidak mengenali kita. Kebanyakan penjual membuat iklan tanpa membina kesedaran, malah terus menjadikan khalayak yang dijangka melanggan (suspect) sebagai sasaran. Sebenarnya, adalah penting untuk mengumpul pengikut terlebih dahulu. Seterusnya, anda perlu kemas kini maklumat jualan dan menjadikan khalayak bakal pelanggan (prospect) sebagai sasaran.
  • Tarikan ‒ Memandangkan terdapat banyak jenama di pasaran, maka perlu ada strategi untuk menarik khalayak supaya menjadi pengikut anda. Ini bergantung kepada harga jualan seunit (unit selling price), saranan nilai (value proposition), dan semestinya tata atur (positioning) produk anda. Amat penting untuk membezakan jenama anda dengan jenama lain, supaya khalayak akan mengingati jenama anda serta apa-apa yang anda janjikan kepada khalayak tentang produk anda.
  • Tawaran – Khalayak membuat keputusan untuk membeli berdasarkan hubungan penjual dengan pengikutnya. Ini merupakan strategi pemasaran cara baru. Sekiranya anda mempunyai laman peminat dan pengikut yang ramai tetapi tiada hubungan dengan pengikut, ini akan mengurangkan keyakinan khalayak untuk membeli.
  • Tindakan – Merupakan fasa terakhir dalam pemasaran produk di Facebook Ads, iaitu tawaran dalam bentuk pengiklanan. Pembeli akan memulakan hubungan dengan penjual untuk mendapatkan tawaran atau maklumat akhir sebelum membuat pembelian.
  1. Penulisan Iklan

Dalam penulisan iklan, panjang pendek tidak menjadi masalah. Yang penting, mesej mestilah mudah difahami serta dapat menyentuh emosi bakal pembeli. Hampir semua orang membuat keputusan berdasarkan emosi. Oleh itu, sentuhan emosi adalah tunjang dalam pengiklanan, melainkan produk penjual begitu unik sehingga iklan yang biasa pun mampu mempengaruhi bakal pelanggan.

  1. Memahami Data

Kesilapan terbesar yang dilakukan oleh pengguna Facebook Ads adalah gagal memahami data yang dipaparkan pada Facebook Ads Manager. Kebanyakan daripada mereka hanya maklum mengenai data kos setiap tindakan (cost per engagement), iaitu maklum balas khalayak terhadap iklan yang dilihat, termasuk melihat foto, komen, sukaan, kongsi, dan sebagainya. Boleh dikatakan 90 peratus pengguna Facebook Ads tidak mengetahui mengenai data kos setiap klik (cost per click) atau kos setiap tanggapan (cost per impression) yang perlu disemak pada bahagian custom di Facebook Ads Manager. Data ini sebenarnya sangat penting untuk mengenal pasti sama ada kos pengiklanan mahal atau murah. Di samping itu, kegagalan memahami data menjadi penyebab penjual tidak dapat mengoptimumkan penggunaan Facebook Ads untuk menjana keuntungan. Contohnya, kadar klik CTR (click through rate) yang rendah biasanya disebabkan oleh iklan yang tidak menarik, atau iklan yang tidak sampai ke khalayak sasaran yang betul.

Ringkasnya, penggunaan Facebook Ads bagi pemasaran produk secara meluas merupakan langkah bijak, namun pengguna perlu mempelajari kaedah yang betul supaya dapat mengoptimumkan keuntungan. Menurut Sifu Jamal, penjual ataupun pengguna Facebook Ads seharusnya mengeluarkan sedikit modal untuk menghadiri seminar atau sesi tunjuk ajar tentang cara melariskan jualan melalui penggunaan Facebook Ads yang betul.

4 Ulasan

  1. Thank you for the info. Memang sangat bermanfaat supaya kita tak melakukan kesilapan yang boleh membuatkan marketing kita tak jadi. Sifu Jamal memang terbaik!

    1. Hello!
      Terima kasih kerana melayari Usahawan Nasional Webzine.
      Ulasan dan sokongan anda amat dihargai.
      Kami berharap dengan maklumat yang dikongsi akan membantu serta menjana beberapa idea untuk perniagaan.

      Untuk makluman anda, Usahawan Nasional Webzine dimiliki oleh Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB).

      Layari juga artikel-artikel lain dan kongsikan bersama kenalan anda!

      Terima kasih.

    1. Hi Intisar,
      Terima kasih kerana melayari Usahawan Nasional Webzine serta maklum balas yang telah diberikan.
      Layari juga artikel-artikel lain dan kongsikan bersama kenalan anda!

      Jika berminat untuk mendapatkan maklumat tentang pembiayaan PUNB, anda boleh hubungi Pusat Khidmat Pelanggan kami di talian 1300 13 7862.

      Terima kasih.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *