Ayaq World Tepati Cita Rasa Pelanggan

AYAQ WORLD – Rakan Usahawan PUNB

Berbekalkan pengalaman berniaga jus mangga di pasar malam secara sambilan dengan modal permulaan sebanyak RM500, Siti Aisyah Kamaruddin berjaya membuktikan bahawa dengan usaha yang gigih, beliau mampu mengecapi kejayaan apabila kini bergelar Pengarah Urusan Kumpulan Ayaq World, sebuah jenama pengeluar minuman buah-buahan yang menjadi pilihan ramai.

Aisyah mula menceburi bidang perniagaan pada 2011 dengan berniaga jus mangga di tapaktapak bazar jualan sekitar Kuala Lumpur. Jelas wanita lulusan bidang perakaunan ini, beliau bersyukur apabila jualan jus mangganya saban hari mendapat sambutan menggalakkan dan dari situ tercetus idea untuk menghasilkan jus mangga botol berbanding sebelum ini yang hanya dibungkus dalam plastik. Idea dan inovasi yang dipraktikkan ini dan ditambah pula sokongan dari suami dan ahli keluarga, ia menaikkan lagi semangat beliau untuk terus mengembangkan perniagaan ke peringkat yang lebih tinggi. Akhirnya, pada 2014, Siti Aisyah telah menubuhkan syarikat Ayaq Mangga yang menjual produk jus mangga segar dan asli.

Dalam kejayaan, pasti ada cabaran dan Siti Aisyah tidak terkecuali. Masih segar diingatannya apabila jus mangga yang dihasilkan telah rosak disebabkan masalah peti sejuk penyimpanan jus tidak dapat berfungsi dengan baik. Sungguhpun begitu, beliau tidak putus harapan dan menjadikan ia sebagai suatu pengajaran dan pengalaman untuk memastikan produk dihasil dapat dijaga dengan baik sehinggalah sampai ke tangan pelanggan.

“Bahkan, hari demi hari saya sentiasa bersemangat. Untuk mengekalkan kualiti produk perniagaan, saya perlu memastikan bekalan mangga yang diperoleh dari seluruh Malaysia dan Thailand segar serta berkualiti agar keenakan jus mangga tersebut dapat dikekalkan,” ujarnya.

Dengan permintaan yang kian meningkat daripada pelanggan, ia sekali gus telah menyuntik semangat Siti Aisyah untuk melangkah lebih jauh dalam mengembangkan jenama Ayaq Mangga. Pada 2017, beliau telah mengambil keputusan untuk menukar nama Ayaq Mangga kepada Ayaq World Sdn Bhd (AWSB). Ini kerana beliau tidak mahu perniagaannya hanya tertumpu kepada penjualan jus mangga semata-mata sebaliknya ingin dikenali sebagai pengeluar minuman jus dalam botol yang berasaskan buah-buahan sebenar. Kini, AWSB menawarkan 8 perisa jus berbeza selain mangga iaitu katira, mata kucing, jagung, durian belanda, teh hijau, nanas, limau nipis dan kedondong.

Penerima anugerah NONA Best Young Entrepreneur Award 2018 ini tidak pernah mendabik dada dengan kejayaan yang dimilikinya sekarang, malah beliau berusaha mencipta peluang perniagaan kepada mereka yang berminat untuk menjadi agen jualan secara dalam dan luar talian bagi menambah pendapatan. Langkah ini secara tidak langsung dapat memperluaskan lagi pasaran minuman jus Ayaq World di seluruh Malaysia. “AWSB kini dalam perancangan memasuki pasaran luar negara seperti Brunei, Singapura dan China,” akhiri beliau.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.