Beyond Home Therapy Tawar Sesi Terapi Bantu Tahap Perkembangan Kanak-kanak

BEYOND HOME THERAPY – Rakan Usahawan PUNB

BEYOND Home Therapy diterajui oleh Puan Maryam binti Mohd Jamadi sejak 2017. Ianya  menawarkan tiga perkhidmatan berbeza iaitu sesi terapi cara kerja kanak-kanak secara persendirian, sesi latihan berkumpulan iaitu Intensive Development Program (IDP) dan sesi pelaporan pembangunan dan penilaian. Semasa sesi pelaporan pembangunan dan penilaian, ahli terapi akan menilai tahap perkembangan kanak-kanak untuk mencari punca kelewatan perkembangan, jika ada.

Mengenai sesi terapi, ia bergantung kepada masalah yang dihadapi oleh setiap kanak-kanak. Untuk sesi latihan berkumpulan ataupun “playgroup”, ini merupakan sesi bermain bersama kanak- kanak lain (berusia lingkungan 6-8 tahun) untuk membantu meningkatkan kemahiran pertuturan dan perkembangan sosial.

Perniagaan milik Bumiputera ini unik kerana BEYOND Home Therapy sentiasa memastikan setiap pelanggan mendapat perkhidmatan terapi yang terbaik. Maryam menjelaskan, “Setiap kanak-kanak yang dirujuk kepada kami akan dipantau dan dibantu sehabis baik. Selain itu, kami sentiasa bekerjasama dan memberi khidmat nasihat kepada setiap ibu bapa untuk membantu perkembangan anak mereka di rumah.”

Tambahnya, IDP adalah program harian, sesuai untuk ibu bapa bekerja yang mahu anak-anak mereka berada di bawah seliaan ahli terapi cara kerja dan guru berpengalaman dalam mengendalikan anak istimewa.

Di samping itu, asam garam berniaga pasti ada pelbagai cabaran dan Maryam tidak terkecuali dalam hal ini. Cabaran semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) adalah halangan yang terpaksa dihadapi ketika menerajui BEYOND Home Therapy apabila terpaksa menutup operasi sepenuhnya dan memberhentikan beberapa kakitangan berikutan penutupan cawangan di Johor Bahru. Namun begitu, ini bukan alasan untuk beliau tidak meneruskan impiannya untuk mengembangkan perniagaan sendiri.

Baginya, meskipun pesaing utama Beyond Home Therapy ialah syarikat besar atau hospital yang menawarkan lebih banyak perkhidmatan pediatrik dan pasukan rehabilitasi, namun beliau percaya suatu hari nanti Beyond Home Therapy juga boleh setanding dengan syarikat pesaing.

“Berkat keazaman dan ketekunan kami, BEYOND Home Therapy telah mencapai penarafan penuh 5.0 di Google dan Facebook untuk perkhidmatan terbaik dalam kalangan pelanggan setia yang berpuas hati dengan perkhidmatan yang kami sediakan. Penarafan tersebut memberi impak besar kepada syarikat perkhidmatan seperti kami,”kongsi Maryam yang optimis dengan masa depan syarikat.

Selain itu, Maryam turut menerima Anugerah Terapis Cara Kerja Pilihan Pa&Ma pada 2020, Gadis Inspirasi Selangor dan dipilih sebagai wakil Persidangan Wanita Selangor yang diadakan tahun ini. Ini juga boleh meningkatkan jenama BEYOND Home Therapy.

BEYOND Home Therapy berharap kepada mereka yang berminat untuk memulakan perniagaan yang sama, perkara yang paling penting ialah hasrat untuk membantu kanak-kanak. Tambahnya, perkara kedua ialah sabar. Memang bukan mudah menguruskan anak istimewa tanpa kesabaran. Malah beliau turut menegaskan bahawa untuk berjaya, anda perlu menetapkan matlamat dan misi pada masa hadapan.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *