Evolusi Elektrik & Elektronik: e-Waste Kini Lubuk Niaga

SCRAP COMPUTER TRADING SDN BHD – Rakan Usahawan PUNB

Sisa elektrik dan elektronik atau lebih dikenali sebagai e-waste perlu dilupuskan secara mesra alam kerana terdapat bahan toksik yang boleh menjejaskan kesihatan manusia dan alam sekitar.  Lazimnya, kediaman dan syarikat akan membuang peralatan elektrik dan elektronik yang telah rosak ke dalam tong sampah seperti bahan buangan yang lain. Hal ini terjadi kerana cara pelupusan e-waste memerlukan tenaga kerja mahir dalam bidang elektrik dan elektronik dan kos yang tinggi.

Mengambil kesempatan dari situasi itu, Rakan Usahawan PUNB, Abdul Haddis Abdul Aziz, pemilik kepada Scrap Computer Trading Sdn Bhd merasakan ia adalah peluang dan masa terbaik untuk membuka perniagaan yang menawarkan perkhidmatan mengumpul dan melupus e-waste. Beliau mengambil keputusan untuk meninggalkan kerjaya sebagai pensyarah dan memulakan perniagaan daripada pangsapuri yang disewa bersama isterinya pada 2004. Alhamdulillah, kini beliau berjaya menjalankan operasi perniagaan di sebuah kilang yang terletak di Taman Seri Muda, Shah Alam, Selangor.

“Tidak ramai yang tahu bahawa setiap komponen dalam peranti dan perkakasan elektrik mempunyai nilai. Bak kata pepatah Inggeris, ‘One man’s trash is another man’s treasure’, sehubungan itu, Scrap Computer Trading (SCT) nekad mengumpul dan mengguna semula komponen ini untuk menjana pendapatan selain menyediakan khidmat pelupusan e-waste untuk melindungi alam sekitar,” kata Abdul Haddis.  

Seperti perniagaan yang lain, di awal penubuhan SCT turut menghadapi cabaran dalam memperkenalkan perkhidmatan mereka memandangkan tahap kesedaran masyarakat terhadap kitar semula e-waste masih rendah. Bagi mengatasi masalah ini, Abdul Haddis bersama pasukannya mengambil inisiatif mengadakan kempen kesedaran kitar semula e-waste. Secara tidak langsung, inisiatif ini bukan sahaja memberi pendedahan dan kesedaran kepada masyarakat malah turut memperkenalkan syarikat dan perkhidmatan SCT.

Pekerja SCT sentiasa memastikan setiap komponen dapat diguna semula sebaik mungkin

Selain itu, dalam memperkasa kesedaran kitar semula e-waste, SCT turut menyediakan pusat kitar semula e-waste dikenali sebagai ‘Recycling & Buy-Back’ yang terletak di AEON Bukit Raja, Klang. Ini untuk memupuk budaya kitar semula di kalangan masyarakat dan menyenangkan pengunjung ke pusat beli-belah ini yang ingin melupuskan peranti dan perkakasan elektrik. Daripada e-waste dibuang begitu sahaja, lebih baik dijual untuk kitar semula dan mendapat insentif dalam bentuk wang selain memelihara alam sekitar.

Langkah ke hadapan, SCT merancang untuk meningkatkan lagi kempen kesedaran kepentingan kitar semula e-waste. Selain itu, SCT juga ingin membuka peluang kepada mereka yang berkemahiran untuk menonjolkan bakat sekaligus mencipta peluang-peluang pekerjaan dalam bidang ini. Menurut Abdul Haddis, perniagaan ini bukan berkisar tentang pelupusan sahaja, bahkan memerlukan seseorang yang berpengetahuan dan mahir berkaitan ilmu elektrik dan elektronik dalam memastikan setiap barangan yang dikitar semula adalah bermanfaat. 

Sebelum mengakhiri temu bual ini, Abdul Haddis sempat menitipkan pesanan buat usahawan, “Menjalankan perniagaan tidak mudah kerana kita perlu sentiasa belajar dan ingat pelbagai perkara, namun dengan formula yang betul, saya percaya kita boleh mencapai matlamat utama,” akhiri Abdul Haddis.

2 Ulasan

  1. Assalamualaikum Wbt,

    Saya berminat untuk menceburi perniagaan e-waste ini. Sekarang saya telah menceburi secara serius dalam bidang baik bulih peti, mesin basuh dan peralatan letrik semasa negera di landa Covid.

    Saya berhasrat untuk meneroka lebih banyak bidang khususnya perniagaan e waste ini.

    Saya mempunyai Diploma perakaunan dengan pengalaman perkaunan selama 20 tahun serta pengalaman baik pulih selama 3 tahun.

    1. Hi Yusoff,
      Terima kasih kerana melayari Usahawan Nasional Webzine serta maklum balas yang telah diberikan.

      Sila emel maklumat seperti butiran diri dan nombor telefon ke customerservice@punb.com.my atau anda boleh hubungi Pusat Khidmat Pelanggan kami di talian 1300 13 7862 untuk sebarang maklumat lanjut.

      Layari juga artikel-artikel lain dan kongsikan bersama kenalan anda!
      Terima kasih.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *