Fast Bikes Kembangkan Empayar Motosikal Triumph

FAST BIKES SDN BHD – Rakan Usahawan PUNB

Fast Bikes bukan lagi nama asing dalam dunia pengedaran motosikal berkuasa tinggi jenama Triumph di Malaysia. Sebagai pengedar tunggal produk keluaran United Kingdom itu, Fast Bikes telah mengembangkan perniagaan di dua negeri iaitu Sabah dan Pulau Pinang.

Keupayaan Ketua Pegawai Eksekutif Fast Bikes Sdn Bhd, Dato’ Razak Al Malique bin Hussain membawa masuk jenama antarabangsa ini ke Malaysia telah memecah tradisi perniagaan motosikal berkuasa tinggi yang selama ini dimonopoli oleh golongan bukan Bumiputera.

Menurut beliau, sambutan menggalakkan yang diterima daripada para penunggang motosikal tegar di Negara ini menjadi satu suntikan semangat kepada dirinya untuk terus berusaha meluaskan lagi pengedaran motosikal Triumph yang bercirikan reka bentuk klasik dan moden di pasaran Malaysia.

Di awal penglibatannya pada 2010, Dato’ Razak merupakan seorang penjual motosikal jenama Triumph yang menjalankan operasi perniagaan di sebuah lot rumah kedai yang terletak di Kampung Pandan, Kuala Lumpur. Pada ketika itu, sasaran jualan untuk sebulan hanyalah sebanyak dua hingga tiga buah motosikal sahaja.

Namun, setelah tiga tahun beroperasi, syarikatnya berjaya meraih peningkatan jualan yang memberangsangkan. Menyedari akan kehebatan dan potensi jenama motosikal ini di pasaran, beliau mula memasang cita-cita untuk mengembangkan perniagaan dengan menjadi francaisor utama Triumph di Malaysia.

“Sehingga kini, Fast Bikes telah berjaya meluaskan perniagaannya dengan membuka peluang kepada tiga pengedar motosikal di Pulau Pinang, Johor dan Sarawak,” katanya.

Untuk perkembangan terkini, Fast Bikes telah memperkenalkan rangkaian klasik moden Triumph 2019 apabila melancarkan lima model baharu untuk pasaran tempatan. Model baharu itu terdiri daripada Street Twin, Street Scrambler, Scrambler XC, Scrambler XE dan Speed Twin.

Mengulas tentang cerita disebalik kejayaan syarikat, pelbagai cabaran yang telah ditempuhi oleh Dato’ Razak antaranya apabila beliau terpaksa melalui proses yang agak rumit dalam permohonan perjanjian francais bersama syarikat induk Triumph di UK untuk memberi peluang kepada beliau membuka francais motosikal Triumph di Malaysia.

Namun begitu, kerumitan tersebut langsung tidak mematahkan semangatnya untuk terus berusaha. Dengan bantuan daripada seorang rakan, beliau akhirnya berjaya menghubungi pihak pengurusan tertinggi Triumph bagi membentangkan rancangan perniagaan beliau.

Walaupun proses perjanjian mengambil masa hampir dua tahun, namun, Alhamdulillah, berkat usaha gigihnya, Triumph akhirnya meluluskan permohonan tersebut dan memberikan kepercayaan kepada Dato’ Razak untuk membuka francais jenama motosikal itu di Malaysia.

Bantuan pembiayaan daripada PUNB juga tiba pada masa yang sangat tepat. Suntikan modal yang diterima pada 2013 itu telah digunakan untuk memulakan operasi perniagaan francais tersebut.

Dato’ Razak menitip nasihat kepada para usahawan muda yang ingin mengorak langkah dalam dunia perniagaan supaya tidak menjadikan faktor wang ringgit sebagai pendorong utama untuk maju ke hadapan. Sebaliknya, beliau menekankan sifat keikhlasan dalam perniagaan dan usaha yang berterusan adalah tunjang utama kejayaan sesebuah perniagaan agar lebih diberkati oleh Allah S.W.T.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *