Iskandar dan Nur Hidayu: Pasangan Gigih di Sebalik Kejayaan Shawlpublika

SHAWLPUBLIKA ENTERPRISE – Rakan Usahawan PUNB

Apabila ingin membeli baju kurung, ramai wanita pasti menjadi rambang mata kerana kepelbagaian rekaan dan lambakan jenis baju kurung di pasaran. Disebabkan itu, mungkin ada yang menganggap pasaran telah tepu dengan tawaran baju kurung yang bermacam-macam fesyen dan kurangnya peluang untuk memasarkan sesuatu yang baharu.

Walaupun demikian, satu jenama fesyen telah berjaya melakar nama sendiri dalam dunia fesyen tempatan dengan memperkenalkan konsep baju kurung sari. Konsep elegan dan unik ini berasaskan konsep pertembungan budaya, iaitu dengan menggabungkan kain sari tradisional masyarakat India dengan baju kurung tradisional masyarakat Melayu bagi menghasilkan kelainan dalam setiap rekaannya.

Shawlpublika ditubuhkan pada 2014 oleh sepasang suami isteri yang didorong oleh semangat dan dedikasi dalam menampilkan fesyen yang baharu. Shawlpublika merupakan rumah fesyen pertama yang menampilkan konsep baju kurung yang diperbuat daripada kain sari dari India sehingga mampu menarik perhatian peminat baju kurung di Malaysia serta di peringkat antarabangsa.

Pengasas Shawlpublika, Iskandar A. Suffian dan Nur Hidayu Zorkafli, telah menjadikan Shawlpublika sebuah rumah fesyen yang berjaya memperkenalkan perspektif yang baharu pada tradisi yang telah wujud sejak berkurun dahulu, di samping menggabungkan minat Nur Hidayu dalam industri fesyen dengan minat Iskandar dalam bidang keusahawanan.

Sebelum melangkah ke bidang fesyen melalui Shawlpublika pada 2014, pasangan suami isteri ini telah pun mempunyai karier masing-masing. Sungguhpun begitu, Nur Hidayu bukanlah seseorang yang baru menceburi bidang keusahawanan. Sebelum mengasaskan Shawlpublika, Nur Hidayu pernah mempunyai perniagaan tudung.

Antara faktor pemacu konsep baju kurung sari yang boleh dikatakan telah menjadi identiti Shawlpublika adalah minat Nur Hidayu sendiri yang amat gemar dengan baju kurung yang diperbuat daripada kain yang berlabuci. Disebabkan baju kurung seperti ini sangat mahal harganya, Nur Hidayu telah pun mula mencari kain yang sesuai untuk dijadikan baju kurung, terutamanya kain yang sudah siap dihias dengan jahitan manik dan labuci. Akhirnya, beliau memilih kain sari kerana kain jenis ini tidak panas dan sudah siap dijahit labuci dan manik.

Pasangan yang memulakan Shawlpublika dengan memasarkan baju kurung sari ini menghadapi masalah apabila populariti baju kurung sari menyebabkan permintaan meningkat sehingga di luar jangkaan. Pada masa itu, mereka tidak mempunyai pembekal kain sari bagi memenuhi permintaan untuk baju kurung keluaran mereka. Untuk menyelesaikan masalah ini, mereka bercadang untuk ke Chennai, India bagi mencari pembekal kain sari di sana.

Akan tetapi, pada peringkat awal perniagaan itu mereka juga tidak mempunyai apa-apa modal permulaan. Ini telah menjadi penghalang kepada segala usaha mereka untuk mengembangkan Shawlpublika pada peringkat ini. Tanpa modal permulaan, mereka tidak dapat membeli kain sari di India. Mengenangkan masa lampau yang dilalui, Iskandar menceritakan bagaimana pasangan ini mengatasi masalah kekurangan modal yang dihadapi itu.

“Kami tidak mempunyai modal dan ramai yang telah meminta untuk menjadi ejen kami, jadi kami meminta mereka membayar wang pendahuluan sebelum kami bertolak ke Chennai,” ujar Iskandar.

Apabila tiba di bumi India, Iskandar dan Nur Hidayu sekali lagi menghadapi masalah kerana menyedari tidak mempunyai kenalan di sana. Malah menurut Iskandar lagi, setibanya di Chennai, mereka terpaksa mencari Pasar Sari dengan menggunakan Google. Setelah berkenalan dengan pekedai di kawasan itu, mereka berdua telah berangkat ke Surat, iaitu pusat penghasilan dan penjualan kain sari. Akhirnya mereka berjaya menemui pembekal kain sari sekali gus menyelesaikan masalah kekurangan bekalan kain sari untuk dijadikan baju kurung keluaran perniagaan mereka.

Kekurangan modal menjadi kekangan pada awal penubuhan perniagaan ini kerana segala jualan hanya mampu dilakukan secara atas talian. Pada masa itu, pasangan pengasas Shawlpublika ini kekurangan modal untuk menyewa atau memiliki premis fizikal. Setelah tiga tahun beroperasi, mereka berjaya membuka sebuah kedai bagi mengembangkan lagi perniagaan mereka di samping memiliki sebuah kilang menjahit baju kurung sari yang dijual oleh Shawlpublika. Kini, Shawlpublika telah mula memasarkan pakaian berkonsep pakaian harian di samping koleksi baju kurung sari yang menaikkan nama perniagaan ini pada awalnya yang mampu menjana pendapatan melebihi RM1 juta.

Bagi memastikan segala urusan perniagaan Shawlpublika berjalan dengan lancar, pasangan ini telah membahagikan bidang tugas bagi melancarkan perjalanan harian perniagaan mereka. Nur Hidayu menjadi tulang belakang bahagian kreatif, seperti reka bentuk baju kurung, manakala suaminya mengendalikan operasi perniagaan.

Salah satu sebab Iskandar dan Nur Hidayu mampu menjayakan Shawlpublika daripada impian menjadi kenyataan adalah dengan semangat yang kuat dalam mendorong mereka untuk memastikan Shawlpublika tetap diterima dalam dunia fesyen tanah air. Selain itu, mereka turut memiliki semangat berpasukan yang hebat dalam membantu mereka demi memastikan urusan perniagaan mereka sentiasa berjalan dengan lancar.

Kini, Shawlpublika telah menjadi sebuah rumah fesyen yang terkenal dan mempunyai peminat setia. Usaha gigih Iskandar dan Nur Hidayu telah berjaya menaikkan nama Shawlpublika sehingga dikenali ramai dengan reka bentuk baju kurung yang elegan dan unik, dan menjadi salah satu daripada pemain utama dalam Industri Fesyen Malaysia.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *