Laman Sosial Kembangkan Perniagaan

KUALA LUMPUR: Usahawan produk kecantikan, Shera Samsudin, 34, telah berjaya memanfaatkan media sosial untuk untuk mengembangkan pasaran produk kecantikannya.

Beliau telah mengasaskan Getshera International Sdn Bhd yang menawarkan produk kecantikan dengan jenama Getshera. Melalui platform internet, beliau telah memaparkan lebih 20 produknya terutama kepada pelanggan yang menggunakan medium Facebook. Shera mula menjual produk Getshera di rumahnya dan menggunakan kaedah pemasaran secara atas talian sebelum berkembang dengan pesat.

Menyingkap mengenai pengalamannya, Shera telah memulakan beberapa jenis perniagaan lain sebelum memutuskan untuk menceburi perniagaan produk kecantikan. Beliau merupakan graduan Universiti Putra Malaysia (UPM) yang menjadi suri rumah selepas berkahwin pada tahun 2005. Kini sudah lima tahun beliau terlibat mengusahakan produk kecantikan secara langsung, dan pernah menghadapi pelbagai masalah. Beliau kemudian menggunakan media sosial untuk memasarkan produk kecantikannya secara perlahan-lahan dan seterusnya perniagaan beliau telah berkembang pesat akibat kerancakan media sosial pada masa ini.

Ketika ini, Getshera menawarkan produk kecantikan termasuk gincu, Berry Blush, bedak asas, maskara, penggaris mata, set alat solek dan bedak tabur. Sasaran Getshera ialah golongan belia berumur 25 tahun hingga 45 tahun.

“Produk kami yang dijual bermula harga RM55 hingga RM179 kini boleh didapati daripada lebih 100 ejen dan lima stokis terpilih. Ia juga boleh didapati menerusi www.getshera.com,” katanya.

Beliau memiliki pejabat sendiri di Ampang dan dibantu oleh tiga orang pekerja untuk menguruskan pemasaran produk Getshera. Shera mengatakan bahawa syarikatnya telah berjaya menembusi pasaran Brunei pada masa ini dan mensasarkan pasaran Singapura dalam masa beberapa tahun akan datang.

Sumber: BH online 28 Jan 2018

https://www.bharian.com.my/bisnes/usahawan/2018/01/381808/manfaat-laman-sosial-kembang-perniagaan#login

 

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *