‘Spokeperson’ Produk Sendiri

Pasti tajuk artikel ini mengingatkan anda kepada Dato’ Seri Dr. Hajah Vida atau Dato’ Vida, pengasas Vida Beauty Sdn Bhd dan Dato’ Aliff Syukri, pengasas D’Herbs Holdings (M) Sdn Bhd. Memilih diri sendiri sebagai duta, kedua-dua ahli perniagaan ini sering muncul di pelbagai media cetak dan elektronik untuk mempromosikan perniagaan dan produk keluaran syarikat mereka.

Ada pihak yang meluat, namun tidak kurang juga yang memuji keberanian kedua-dua usahawan kosmetik ini. Persoalannya, adakah menjadi duta kepada syarikat sendiri lebih kepada suatu kebaikan atau mengundang persepsi negatif dalam kalangan masyarakat? Artikel ini ada jawapannya.

 Apa Itu Duta Perniagaan?

Duta membawa maksud seseorang yang bertugas sebagai wakil atau utusan. Dalam bidang perniagaan, duta adalah jurucakap atau wakil yang membawa nama syarikat perniagaan diwakili mereka.

Mengulas berkenaan makna duta perniagaan, Shakira Brown, Ketua Pegawai Eksekutif SMB Strategic Media LLC, sebuah syarikat pemasaran yang terkemuka di New Jersey, Amerika Syarikat, mendefinisikan duta perniagaan sebagai “seseorang yang suka dan percaya dengan jenama perniagaan anda dan sentiasa memuji perniagaan serta produk anda secara lisan melalui media sosial atau testimoni”.

Menurut, penulis buku The Art of Social Media, Peg Fitzpatrick, menyatakan bahawa duta perniagaan merupakan “jambatan yang menghubungkan orang ramai dengan sesebuah syarikat, merangkap ketua pasukan sorak dan sebagai sumber maklum balas positif bagi syarikat secara dalam dan luar talian”.

Dalam kata lain, duta ialah orang yang dilantik oleh sesebuah perniagaan bagi mewakili atau menjadi jurucakap bagi pihak mereka.

Sebagai contoh, iklan susu pekat Dairy Champ, orang ramai pasti akan terbayang imej air batu campur berwajah Dato’ Seri Vida dan teh tarik buih berwajah Dato’ David Arumugam. Faktor ini secara langsung menarik minat orang ramai untuk mendapatkan produk daripada syarikat minuman itu. Begitulah kuatnya impak duta produk dan perniagaan.

Peranan Duta Perniagaan

Apakah peranan sebagai seorang duta perniagaan?Sebenarnya, mereka memainkan peranan yang besar dan meluas. Antaranya meningkatkan kesedaran orang ramai berkenaan jenama atau produk keluaran serta profil syarikat yang diwakili  selain menaikkan jumlah jualan dan keuntungan. Jangan terkejut! Mereka juga ada Petunjuk Prestasi Utama (KPI).

Menjadi tanggungjawab seorang duta untuk mewakili syarikat dalam sesebuah acara, berkongsi pengalaman atau petua secara dalam dan luar talian, menerangkan kelebihan produk atau perkhidmatan syarikat kepada orang ramai dan menyampaikan maklum balas pengguna kepada pihak syarikat berkenaan produk atau perkhidmatan yang ditawarkan.

Tidak dinafikan, duta perniagaan adalah antara penyelesaian yang paling mudah dan berkesan dalam menjalankan aktiviti pemasaran bagi sesebuah perniagaan.

Ambil sahaja contoh jenama telefon pintar Vivo, sebaik sahaja melantik Dato’ Siti Nurhaliza sebagai dutanya, booom! Telefon pintar Vivo tersenarai sebagai antara syarikat telekomunikasi yang mempunyai jualan tertinggi dalam masa singkat.

Menurut Pengarah Urusan Vivo Malaysia, Mike Xu, syarikat itu telah menguasai 10% daripada keseluruhan pasaran telefon pintar di negara ini. Semestinya, belanjawan pemasaran yang besar banyak membantu termasuklah pengaruh dutanya yang sememangnya kuat.

Sekiranya anda tertarik dengan strategi ini, beberapa perkara perlu dipertimbangkan seperti bajet belanjawan bagi melantik seorang duta, matlamat dan tugas duta berkenaan secara spesifik (KPI), penyenaraian beberapa orang calon sebelum pemilihan dibuat, temu duga calon-calon berkenaan untuk berkongsi pandangan dan pendapat berkenaan produk atau perkhidmatan yang ditawarkan perniagaan dan akhirnya, pelantikan serta sidang akhbar (terutamanya jika duta tersebut dikenali) untuk menghebahkan pelantikan tersebut.

Ciri-ciri Seorang Duta Perniagaan 

Dalam proses menyenarai pendek calon duta yang sesuai, anda perlulah mengambil perhatian terhadap beberapa ciri penting yang perlu ada pada seorang jurucakap supaya hanya mereka yang benar-benar sesuai sahaja akan dilantik sebagai wajah perniagaan anda.

Jadi, apakah antara ciri-ciri yang perlu ada pada seorang duta? Perkara yang paling penting ialah duta itu perlulah serasi dan yakin dengan produk atau perkhidmatan yang diwakilinya. Beliau juga perlu mengenali syarikat dan produk atau perkhidmatan dengan baik..

Selain itu, imej seseorang duta juga perlu bersesuaian dengan latar belakang syarikat. Contohnya tidak sesuai untuk melantik orang yang buta teknologi untuk mewakili syarikat telekomunikasi atau orang yang tidak mengamalkan gaya hidup yang sihat untuk mewakili produk kesihatan.

Kebiasaannya, duta dilantik secara kontrak untuk tempoh setahun dan sekiranya kedua-dua pihakberpuas hati dengan kontrak dan hasil kerja yang diberikan , khidmat duta tersebut akan disambung pada tahun berikutnya.

Bagaimanakah pula dengan bayarannya? Purata bayaran yang diterima oleh duta produk dan perniagaan di Malaysia bermula daripada puluhan ribu hingga ratusan ribu ringgit. Malah, untuk duta selebriti, bayarannya mampu mencecah jutaan ringgit! Bayaran ini tertakluk kepada beberapa faktor, seperti tahap populariti dan pengaruh, tempoh penajaan dan komitmen duta serta penaja.

Duta: Tempatan atau Luar Negara

Di Malaysia, duta-duta yang dipilih kebanyakannya adalah artis atau ahli sukan yang terkenal  contohnya seperti Dato’ Siti Nurhaliza, Yuna, Mat Dan, Safee Sali dan Dato’ Lee Chong Wei. Namun begitu, di negara luar, tidak semestinya selebriti terkenal untuk menjadi seorang duta. Ya, mereka tidak hanya melantik selebriti sebagai duta perniagaan!

Duta bukan selebriti selalunya adalah mereka yang aktif dan mempunyai ramai pengikut di laman-laman media sosial utama seperti Facebook, Instagram dan Twitter.

Namun begitu, tugasan sebagai duta sedikit berlainan di mana mereka perlu sentiasa aktif memuat naik dan mengemas kini laman sosial media persendirian atau yang dibuat khas oleh syarikat dalam mempromosi produk atau perkhidmatan yang diwakilinya. Kapsyen yang dimuat naik perlulah asli, bermanfaat, dan yang paling penting, haruslah menarik. Jika memenuhi ciri-ciri berkenaan, sudah pasti akan mendapat sambutan orang ramai.

Kini, perniagaan tempatan jugacenderung untuk melantik duta bukan dalam kalangan artis. Mereka dikenali sebagai tukang pengaruh (influencer) media sosial dan selalunya berasal daripada kalangan blogger. Berbeza dengan duta sebenar, kos upahan tidak begitu tinggi, jadi mereka sesuai untuk dilantik oleh perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Antara blogger yang terkenal ialah Beautiful Nara, Ben Ashaari, Hong Kiat, Kampungboy Citygal, Maria Elena, Paul Tan, Hong Kiat dan Yuyu Zulaikha. Masing-masing mempunyai demografi pengikut yang tersendiri dengan minat yang berlainan. Terdapat juga laman-laman sesawang khas untuk mendapatkan khidmat tukang pengaruh media sosial ini seperti SushiVid, ChurpChurp dan SocialGrooves yang memudahkan kerja.

Menjadi Duta Perniagaan Sendiri?

Sekiranya anda tidak berjaya untuk mencari selebriti atau orang awam yang sesuai untuk menjadi duta produk atau  perkhidmatan untuk perniagaan anda, mengapa tidak anda sahaja yang menjadi duta untuk perniagaan sendiri?

Amalan ini tidaklah asing di Malaysia dengan kehadiran Datuk Seri Vida dan Dato’ Aliff Syukri sebagai ikon dan jurucakap untuk produk mereka di segenap pelosok media. Sama seperti melantik orang luar sebagai duta perniagaan, antara langkah yang perlu diambil oleh anda adalah aktif di laman sosial.

Anda tidak boleh kekok atau segan untuk beraksi di hadapan kamera sama ada secara langsung atau semasa sesi temu ramah. Inilah ciri yang paling susah dipenuhi sebenarnya. Seperkara lagi, anda mungkin akan mula dikenali ramai dan privasi mungkin akan hilang.

Jika anda sanggup menghadapi natijah menjadi duta perniagaan sendiri, maka jawapan kepada tajuk artikel ini ialah: Mengapa tidak? Kos perniagaan juga dapat dijimatkan. Tiada orang yang lebih mengenali syarikat dan produk atau/perkhidmatan anda selain diri sendiri. Adakah anda cukup berani untuk menjadi duta syarikat sendiri?

6 Ulasan

  1. Assalamualaikum..saya nak bertanya, apakah jenis2 bayaran yang harus diterima bagi seseorang duta produk ya?

    1. Wa’alaikumsalam,
      Terima kasih kerana melayari Usahawan Nasional Webzine.
      Ulasan dan sokongan anda amat dihargai.

      Jenis-jenis bayaran bagi seseorang duta produk kebiasaannya ditentukan atas perbincangan dan persetujuan kedua-dua belah pihak seperti yang termeterai dalam kontrak yang ditandatangani.

      Untuk maklumat lanjut, tuan boleh layari link ini –> https://www.repsly.com/blog/field-team-management/brand-ambassador-job-definition-description-salary#sal

      Kami berharap dengan maklumat yang dikongsi akan membantu serta menjana beberapa idea untuk perniagaan.

      Untuk makluman anda, Usahawan Nasional Webzine dimiliki oleh Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB).

      Layari juga artikel-artikel lain dan kongsikan bersama kenalan anda!

      Terima kasih.

    1. Salam Sejahtera Rahsia Quali,

      Terima kasih kerana melayari Usahawan Nasional Webzine.

      Jika berminat untuk mendapatkan pembiayaan perniagaan daripada PUNB, anda bolehlah kunjungi Ibu Pejabat atau Pejabat-pejabat Wilayah PUNB yang berdekatan.
      Anda juga boleh mendapatkan maklumat lanjut tentang kami di http://www.punb.com.my

      Sebarang pertanyaan, bolehlah hubungi Pusat Khidmat Pelanggan kami di talian 1300 13 7862.

      Kami berharap dengan maklumat yang dikongsi akan membantu serta dapat menjana idea untuk perniagaan anda.

      Layari juga artikel-artikel lain dan kongsikan bersama kenalan anda!
      Terima kasih.

    1. Hello Riya,

      Your welcome and thank you for visiting Usahawan Nasional Webzine.
      Your feedback is highly appreciated.

      Don’t forget to visit and share our articles with your friends.
      Thank you.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *