Oh Aromah! Jenama Kebanggaan HN Varitas

H.N VARITAS COMPANY – Rakan Usahawan PUNB

Di sebalik kejayaan yang dikecapi kini, tersirat seribu satu cabaran yang dilalui oleh pasangan suami isteri, Hazizi Halena dan Norasikin Rambli dalam mengusahakan produk serbuk minuman pelbagai perisa dengan menggunakan formula khas yang direka sendiri. Dengan hanya berbekalkan modal sebanyak RM300 untuk berniaga air secara kecil-kecilan di hadapan rumah, Norasikin tekad memasang impian untuk menubuhkan syarikat sendiri dan kini hasratnya tercapai dengan tertubuhnya syarikat HN Varitas.

12 tahun bukanlah jangka waktu yang singkat untuk menempa nama dalam dunia perniagaan. Siapa sangka kesukaran yang dihadapi dalam mendapatkan bekalan serbuk minuman menjadi asbab kepada penghasilan serbuk minuman jenama ‘Oh Aromah!’ yang kini bukan lagi asing dan mendapat permintaan yang menggalakkan di Bumi Kenyalang.

Jerit perih berulang-alik ke Sibu untuk mendapatkan bekalan daripada stokis dari Semenanjung ternyata tidak sia-sia. Menurut pemegang Ijazah Sarjana dalam jurusan Sains Pembelajaran, Universiti Malaysia Sarawak ini, kini HN Varitas telah menghasilkan lebih 40 perisa, jus dan pati minuman yang boleh digunakan untuk membuat minuman ice blended dan jualan air balang. “Perisa coklat dan kopi adalah antara produk yang mendapat permintaan tertinggi setakat ini. Alhamdulillah, dalam sehari jualan boleh mencecah 50 hingga 100 kilo dengan anggaran RM30,000 sebulan,” jelasnya.

Tambah Norasikin, HN Varitas turut menggunakan platform pemasaran aplikasi Shopee dan ia mendapat sambutan yang amat memberangsangkan. Pemilihan jualan menggunakan aplikasi ini adalah bertujuan untuk menawarkan pengalaman pembelian yang lebih mudah kepada para pelanggan. Berbekalkan pengalaman dan kemahiran yang dimiliki, HN Varitas tidak lokek untuk membantu para usahawan lain khususnya Bumiputera dengan menawarkan perkhidmatan penghasilan produk serbuk minuman mengikut cita rasa mana-mana usahawan yang ingin berniaga menggunakan jenama sendiri.

Selain itu, Norasikin juga telah membuka peluang perniagaan terutama kepada golongan belia yang berminat untuk mempelajari dan menceburi dunia keusahawanan melalui program berniaga ‘Air Balang Nang Kaw’ yang terdiri daripada perisa coklat dan kopi khasnya. Inisiatif ini secara tidak langsung dapat memberi pendedahan kepada golongan belia untuk menjadikan dunia keusahawanan sebagai kerjaya pilihan selain mampu membantu meraih pendapatan sampingan.

Sejajar dengan usaha tersebut, HN Varitas merancang untuk memiliki kilang sendiri dan menyediakan lebih banyak perisa dan produk minuman selain ingin meluaskan pasaran ke seluruh Malaysia serta menembusi pasaran Brunei.

Pasangan suami isteri ini percaya, rahsia kejayaan sesebuah perniagaan adalah sentiasa konsisten walaupun kemajuan dikecapi itu sedikit. Teruskan momentum perniagaan dan harus bijak mengatur strategi agar kekal kompetitif dan berdaya tahan.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *