Pemilik Amni Home Décor Mahu Buka Pusat Sehenti

SYARIKAT RAMAN & AIZA GROUP SDN BHD – Rakan Usahawan PUNB

Jalan menuju kejayaan bukanlah titian yang mudah, namun berkat usaha Abdul Raman Jaafar yang sememangnya meminati bidang perniagaan sejak kecil, beliau kini berjaya membina empayar perniagaan bersama isterinya, Aiza Idrus.

Syarikat Raman & Aiza Group Sdn Bhd milik Abdul Raman dan Aiza ditubuhkan sejak 9 April 2002 dengan modal berbayar sebanyak RM70 ribu.

Menurut Abdul Raman, beliau dan isterinya mengusahakan sebuah butik pengantin iaitu Butik Cantik Bridal House.

“Pada peringkat awal, saya membuka butik pengantin secara kecil-kecilan di rumah di Taman Dimensi, Alor Gajah. Bagaimanapun saya akhirnya berjaya memperoleh pinjaman bank untuk membeli sebuah bangunan kedai di Masjid Tanah untuk dijadikan butik pengantin,” katanya.

Jelasnya, kejayaan yang diperoleh menerusi pembukaan butik pengantinnya membuatkan beliau dan isteri memutuskan untuk menyewa sebuah lagi kedai di bangunan sama untuk mengembangkan perniagaan ke bidang hiasan dalaman di atas jenama Amni Home Décor.

Emapayar Amni Home Decor.

“Sehingga kini, Amni Home Décor bertapak kukuh dengan bantuan tenaga kerja yang terdiri daripada lapan tukang jahit, enam tukang pasang dan tiga pegawai jualan dan pemasaran,” katanya lagi.

Abdul Raman kini berhasrat untuk menawarkan perniagaan francais kepada sesiapa sahaja yang mempunyai minat dalam bidang yang sama. Dalam masa sama, beliau turut berharap untuk membuka pusat sehenti pemborong kain terbesar di Melaka.

“Saya mahu berjaya dalam bidang ini, saya mahu menjadi usahawan yang boleh menjadi contoh kepada anak bangsa yang ingin berniaga,” ujarnya.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *