PENGHARGAAN ISTIMEWA ATAS TAMPUK KEPIMPINAN…

Akar Keladi Melilit Selasih

Selasih Tumbuh Di Dalam Taman

Junjungan Budi Sanjungan Kasih

Mesra Kenangan Sepanjang Zaman

Berlabuh sudah tirai tahun 2022 dengan terpahatnya suatu kenangan dua figura kepimpinan, iaitu Yang Hormat Dato’ Haji Ahmad Nazlan Idris dan Encik Abdul Jammi Abdul Karim yang telah menamatkan perkhidmatan mereka di PUNB.

SELAMAT TINGGAL KEPADA SEORANG YANG BERWAWASAN: PENGERUSI YANG MENINGGALKAN LEGASI KEJAYAAN

Yang Hormat Dato’ Haji Ahmad Nazlan Idris mula menerajui pucuk pimpinan sebagai Pengerusi PUNB pada 15 Oktober 2021 sehingga 20 Disember 2022.

Beliau merupakan seorang pemimpin yang amat komited dan cekal memperjuangkan visi dan misi PUNB dalam usaha menyambung legasi pemimpin terdahulu bagi memartabatkan lagi taraf keusahawanan Bumiputera ke suatu tahap yang lebih tinggi.

Di bawah kepimpinan beliau, PUNB kini lebih meluas dengan pembukaan dua buah pejabat cawangan baharu di Jerantut dan Miri selain penambahan ruang tingkat di ibu pejabat PUNB sebagai langkah menstruktur semula suasana pejabat demi keselesaan warga kerja serta para pelanggan yang berkunjung.

Dalam kalangan warga kerja, beliau disifatkan sebagai seorang pengerusi yang mempunyai perwatakan mesra dan mudah didekati, suka berjenaka, bersikap terbuka untuk menerima pendapat tetapi dalam masa yang sama tegas dan telus membuat sebarang keputusan.

Beliau juga merupakan seorang pemimpin yang mementingkan kebajikan warga kerja dan Rakan Usahawan. Atas dasar keperihatinan yang tinggi, beliau turut turun padang membantu mangsa banjir ketika musibah banjir melanda negara.

PUNB amat menghargai segala jasa dan sumbangan serta usaha yang telah dicurahkan sepanjang Yang Hormat Dato’ bersama PUNB. Inspirasi dan perjuangan yang ditinggalkan akan kami teruskan demi pembangunan agenda keusahawanan Bumiputera.

Semoga Yang Hormat Dato’ Haji Ahmad Nazlan diberi kesihatan yang baik dan semoga segala perkara yang diceburi dalam memberi manfaat kepada orang lain akan mendapat kejayaan dan keredhaan Allah SWT.

PENGHORMATAN KEPADA SALAH SEORANG PELOPOR PUNB: JASAMU DIKENANG

Bersama PUNB selama 29 tahun dan merupakan pelopor terawal yang bersama-sama berganding bahu membangun PUNB sehingga menjadi sebuah pusat keusahawanan Bumiputera yang unggul seperti hari ini.

Encik Abdul Jammi Abdul Karim telah memulakan kerjayanya bersama PUNB pada 1 Jun 1993 sebagai Pengurus Projek dan telah diberi kepercayaan oleh Ahli Lembaga Pengarah PUNB untuk menjadi Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif PUNB pada 12 Julai 2011 sehingga 31 Disember 2022.

Dikenali sebagai individu yang tidak pernah lokek dengan senyuman dan sentiasa tenang walaupun berhadapan dengan cabaran tugasan membuatkan setiap warga kerja berasa amat senang apabila bekerjasama dengannya.

Dalam kalangan warga kerja di bawah jabatan seliaannya juga, beliau disifatkan sebagai seorang ketua dan pemimpin yang amat dedikasi, memiliki pemikiran tajam, berpengetahuan luas, mudah mesra selain sering memberi pendapat serta cadangan sebagai penambahbaikan dalam melaksanakan sesuatu tugasan.

Sesungguhnya tempoh 29 tahun perkhidmatan bukanlah singkat dan pasti pelbagai memori yang telah tercipta khususnya bersama warga kerja dan Rakan Usahawan. Jutaan penghargaan atas segala sumbangan, khidmat bakti dan tunjuk ajar yang tiada galang gantinya selama Encik Jammi menggalas tanggungjawab sebagai Ketua Jabatan Hartanah, Ketua Jabatan Perkhidmatan Korporat serta Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif.

Semoga Encik Abdul Jammi terus maju jaya dalam segala aspek lapangan yang diceburi dan dikurniakan kesihatan yang baik serta sentiasa dirahmati oleh Allah SWT.

Selamat Bersara kepada Encik Abdul Jammi Abdul Karim.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *