Roti Segar Mekar Masih Utuh

ROTI SEGAR MEKAR ENTERPRISE – Rakan Usahawan PUNB

Mendapat dorongan daripada ayahnya yang telah bergiat dalam bidang bakeri dan pastri selama 40 tahun sejak 1981 sehingga sekarang, Puan Nur Hanina binti Mior Ariffin telah menyimpan impian untuk mewarisi syarikat pembuatan makanan itu pada masa hadapan. Beliau kini merupakan rakan kongsi dalam syarikat tersebut menjelaskan, hal ini terjadi demikian kerana perniagaan yang dijalankan menepati minat dan kehendaknya memandangkan bidang ini semakin berkembang maju di Malaysia selain ingin menyahut saranan kerajaan dalam melahirkan usahawan Bumiputera yang berjaya.

Tambah Hanina, selain menghasilkan roti, kek dan produk pastri yang lain, Roti Segar Mekar Enterprise turut menghasilkan biskut raya setiap kali menjelang musim perayaan seperti Hari Raya Aidilfitri. Beliau bersyukur kerana permintaan terhadap biskut raya keluaran syarikatnya mendapat sambutan yang amat menggalakkan setiap tahun. Malah, produk yang dihasilkan ini juga berjaya dipasarkan secara meluas dan mendapat permintaan yang tinggi terutamanya di kawasan negeri Perak, Pulau Pinang dan Kuala Lumpur. Walau bagaimanapun, dalam perniagaan, pasti ada persaingan.

Menurut Hanina, pesaing utama Roti Segar Mekar Enterprise terdiri daripada syarikat milik bukan Bumiputera. Namun begitu, beliau melihat persaingan ini sedikit sebanyak membantu pihak syarikat untuk memperbaiki kelemahan yang ada dalam pelbagai sudut seperti menitikberatkan lagi aspek kebersihan dan mutu keluaran produk agar terus mendapat kepercayaan pelanggan. Sebagai bukti, pihak syarikat telah menerima pengiktirafan sijil MeSTI daripada Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) serta sijil Halal daripada Jabatan Kamajuan Islam Malaysia (JAKIM).   

Bercerita mengenai cabaran sepanjang mengendalikan perniagaan ini, beliau berkata, cabaran terbesar yang terpaksa dihadapi adalah ketika berlakunya kegawatan ekonomi pada tahun 1997 dan 2007 hingga 2010. Syarikat turut berhadapan krisis kewangan sehingga mengalami kemerosotan jualan.

Apabila keadaan ekonomi semakin stabil, Hanina tampil berani apabila membeli sebidang tanah untuk mendirikan bangunan baharu. Melalui bangunan baharu ini, syarikat terus berkembang dan kini mampu menyediakan tempat latihan praktikal/amali bagi pelajar-pelajar pusat institusi pendidikan seperti Kolej Vokasional, Kolej Komuniti, Pusat Latihan RISDA, Pusat Latihan FAMA, Pusat Latihan Pertanian, Politeknik dan banyak lagi. Latihan praktikal/amali yang dijalankan selama tiga bulan adalah bagi melengkapkan modul pembelajaran dalam bidang membuat roti, kek, biskut dan pastri.  

Bagi Hanina, pemilihan lokasi perniagaan yang strategik amat penting terutama perniagaan yang sama industri sepertinya dan cuba elakkan daripada berada dalam satu kawasan yang sama dengan pesaing perniagaan.

Sebagai kata-kata nasihat kepada yang bercita-cita untuk menjadi usahawan, pesan Hanina, “Seseorang itu harus melengkapkan diri dengan ilmu dan ketahanan diri bagi menghadapi setiap cabaran yang mendatang.”

2 Ulasan

  1. Hi. Saya penulis buku teks Pendidikan Moral Tahun 6 bagi sekolah rendah. Saya perlukan maklumat dan gambar mengenai usahawan roti ini untuk dimuatkan dalam penulisan saya. dengan siapakah saya patut hubungi? terima kasih.

    1. Author

      Hi Kugan,
      Terima kasih kerana melayari Usahawan Nasional Webzine serta maklum balas yang telah diberikan.
      Layari juga artikel-artikel lain dan kongsikan bersama kenalan anda!

      Jika berminat untuk mendapatkan maklumat berikut, anda boleh hubungi Pusat Khidmat Pelanggan kami di talian 1300 13 7862.

      Terima kasih.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *