Trend Perniagaan Mula Sendiri!

Anda berminat untuk memulakan perniagaan sendiri tetapi tidak mempunyai modal yang besar? Atau anda masih tercari-cari perniagaan yang sesuai untuk menjana pendapatan sampingan tanpa memerlukan modal permulaan yang banyak? Jangan risau! Di bawah, kami senaraikan beberapa jenis perniagaan modal rendah berasaskan perkhidmatan yang popular pada masa kini.

Ramai yang menceburi perniagaan ini kerana modus operandinya mudah dan fleksibel. Namun harus diingat! Ia memerlukan kemahiran tertentu berdasarkan jenis perkhidmatan yang ditawarkan. Untungnya jika menceburkan diri dalam perniagaan ini, modal yang diperlukan tidak terlalu tinggi berbanding bidang lain terutama jika melibatkan pembelian stok barangan atau penyewaan pejabat. Dalam erti kata lain, ia boleh dijayakan dengan modal minimum dan mampu dilakukan oleh sesiapa sahaja dengan usaha yang gigih.

Pembersihan Rumah/Pejabat

Umum sedar akan kewujudan perkhidmatan pembersihan rumah dan pejabat sejak era 90an. Apatah lagi dengan kemajuan teknologi hari ini, semakin banyak syarikat baru muncul menawarkan perkhidmatan sedemikian secara dalam talian.

Perkembangan ini menunjukkan perkhidmatan sebegini mempunyai permintaan yang tinggi. Laman sesawang seperti Maideasy, MaidACall, Tidy N Shines dan ServisHero adalah antara nama yang tidak asing lagi dalam industri ini (Bagi pengguna Internet, sekurang-kurangnya!).

Seperti perniagaan perkhidmatan yang lain, kadar bayaran bagi perkhidmatan pembersihan tertakluk pada jenis tugasan dan tempoh perkhidmatan.

Apa jua bidang diceburi haruslah mempunyai kemahiran khusus bagi memastikan hasil kerja memuaskan hati pelanggan. Perkara paling penting adalah mencari dan membina kepercayaan pelanggan. Ia bukanlah sesuatu yang mudah dilakukan, tetapi jika halangan itu dapat diatasi dan anda cekap dalam melakukan kerja pembersihan, pengesyoran pelanggan kepada bakal pelanggan lain pasti akan banyak membantu perniagaan anda.

 Penjagaan Bayi/Kanak-kanak

Perkhidmatan ini sangat sesuai dijalankan oleh golongan wanita terutamanya suri rumah yang ingin menambah pendapatan isi rumah keluarga atau mereka yang bercadang untuk beralih kerjaya bekerja di rumah.

Hasil pendapatan daripada perkhidmatan ini bergantung pada bilangan bayi dan kanak-kanak yang dijaga. Dengan purata pendapatan antara RM 400 hingga RM 600 untuk seorang kanak-kanak, jumlah pendapatan anda boleh melebihi RM 2,000 sebulan.

Khidmat penjagaan bayi dan kanak-kanak dapat dijalankan dari rumah. Kebiasaannya perkhidmatan ini dijalankan dari jam 7 pagi hingga 7 malam dan caj lebih masa akan dikenakan (Sekitar RM 10 hingga RM 50 sejam) sekiranya pelanggan melebihi tempoh yang ditetapkan.

Selain itu, anda juga boleh menawarkan perkhidmatan jagaan harian atau transit untuk mereka yang mempunyai anak-anak bersekolah, sama ada pada sebelah pagi atau petang. Seperti perkhidmatan pembersihan rumah juga, terdapat beberapa syarikat dalam talian yang menyediakan perkhidmatan ini seperti Malaysia Babysitter dan MyBabysitter, yang boleh digunakan sebagai platform lonjakan bagi menempatkan jenama anda sebelum menubuhkan syarikat sendiri.

Penyediaan Makanan

Sentiasa mendapat pujian untuk masakan anda? Jika ya, anda mungkin boleh menceburi bidang penyediaan makanan atau katering.

Jika dilihat di laman sosial, semakin ramai yang memberanikan diri untuk memulakan perniagaan dalam bidang ini. Perkhidmatan seperti ini sangat diperlukan terutama bagi mereka yang bujang dan tidak mempunyai masa atau malas untuk memasak. Malah, ada juga yang turut menawarkan menu sihat bagi yang mementingkan penjagaan dan kesihatan diri.

Apakah strategi pemasaran paling berkesan untuk mempromosikan perkhidmatan anda? Sudah tentulah media sosial! Facebook, Instagram dan Twitter adalah medium terpantas, murah dan cepat bagi mereka yang ingin memperkenalkan perkhidmatan disediakan. Selain itu, anda juga boleh menggunakan pelbagai platform dalam talian dan aplikasi telefon yang menyediakan khidmat kempen pemasaran dan penghantaran makanan seperti Foodpanda dan Grab seandainya anda tidak sempat untuk menguruskannya sendiri. Umum mengetahui bisnes makanan sentiasa ada permintaan dan menguntungkan. Anda berminat?

Fotografi dan Videografi

Berbekalkan sebuah kamera, sebuah komputer dan bakat, anda boleh menceburi bidang fotografi dan videografi. Bermula sekitar 2010, semakin ramai individu yang menawarkan perkhidmatan ini sama ada sepenuh masa mahupun sambilan kerana kini, kedua-dua peralatan asas tersebut mampu untuk dimiliki.

Sebagai permulaan, anda boleh mengiklankan perkhidmatan ini di laman sosial peribadi sebagai promosi pengenalan. Anda juga boleh menggunakan platform ini untuk mendapatkan klien yang memerlukan khidmat sedemikian. Setelah perkhidmatan semakin dikenali, anda boleh membina laman sesawang syarikat sendiri untuk mengukuhkan jenama perniagaan anda. Malah, anda juga boleh bekerjasama dengan syarikat lain yang telah lama bertapak dalam industri bagi melebarkan jaringan perniagaan.

Bagaimana pula dengan pulangan bagi bidang ini? Berdasarkan harga pasaran semasa, harga untuk perkhidmatan fotografi sahaja bermula daripada RM 550 untuk pakej asas seperti majlis pertunangan, akikah mahupun sambutan hari lahir (termasuk album gambar, DVD gambar majlis, dan poster berbingkai) hingga RM 2,800 bagi pakej lengkap perkahwinan (beberapa jenis album gambar, DVD, poster berbingkai dan sesi fotografi luar).

Untuk videografi pula, harganya bermula daripada RM 1,300 hingga RM 7,000 untuk pakej lengkap bagi sebuah majlis (termasuk rakaman acara oleh seorang atau lebih jurugambar video dan DVD).

Ejen Drop-ship

Pasti sudah ramai pengguna Internet di luar sana pernah membeli barangan melalui ejen-ejen drop-ship bukan? Pernah tertanya, layakkah anda untuk menjadi seorang ejen drop-ship? Jangan risau. Anda sememangnya layak! Ejen drop-ship secara asasnya ialah orang tengah antara pemborong atau pengeluar produk dengan pengguna atau pembeli.

Bagaimana untuk menjalankan bisnes sebegini? Jawapannya mudah sahaja. Langkah pertama yang perlu dilakukan adalah mendaftar sebagai ejen drop-ship produk diinginkan. Kemudian, anda hanya perlu mencari prospek atau pembeli yang mahukan sesuatu produk tetapi tidak dapat membelinya sendiri (mungkin kerana produk tersebut sukar untuk didapati). Seterusnya, anda perlu memaklumkan kepada pemborong atau pengeluar produk tentang butiran penting pembeli seperti nama, alamat pengeposan dan barangan yang ditempah bagi memudahkan urusan jual beli.

Sebagai ejen drop-ship, anda tidak perlu menyimpan stok barangan. Peranan anda dalam sistem perniagaan ini berbeza dengan stokis atau peniaga biasa yang perlu melaburkan wang untuk membeli dan menyimpan stok barangan secara pukal.

Akan tetapi, terdapat juga ejen drop-ship yang membeli terus produk daripada pemborong secara pukal pada harga yang rendah dan memasarkan produk itu dengan mengambil sedikit untung daripada harga kos. Semuanya bergantung kepada individu itu sendiri.

Dengan kadar keuntungan yang agak tinggi serta komitmen yang rendah, ramai yang memulakan perniagaan ini dan kini sudah memiliki bisnes besar. Bak kata pepatah, sikit-sikit, lama-lama jadi bukit.

Transkripsi Audio

Anda mampu menaip tanpa melihat papan kekunci? Rakan-rakan anda terpegun dengan kelajuan anda menaip? Apa kata anda cuba kerjaya ini. Sebagai langkah permulaan, anda boleh sertai syarikat seperti I-Yuno, Scribe dan Elite Translations Asia untuk menimba pengalaman asas sebagai pentranskripsi audio bebas dengan hanya berbekalkan sebuah set komputer asas dan capaian Internet sahaja.

Namun, sekiranya ingin terus bekerja sendiri, bolehlah mengiklankan perkhidmatan transkripsi audio anda di laman sesawang antarabangsa seperti Freelancer, Upwork dan Guru (perkhidmatan dibayar dalam dolar Amerika) atau di laman sesawang tempatan seperti Freelancing.com, Freelancing.my dan Mudah.my bagi prospek tempatan.

Namun begitu, kadar ini boleh meningkat sehingga RM 6 seminit, bergantung kepada kepantasan khidmat anda. Jika anda menjalankan perusahaan ini secara sepenuh masa, tidak mustahil untuk anda menerima lebih RM 2,000 sebulan! Anda mampu?

Kesimpulan

Selain perusahaan yang disenaraikan di atas, perniagaan berasaskan perkhidmatan lain seperti pemanduan kenderaan perkongsian, khidmat penghantaran barang, pemasukan data dan blogger (anda boleh sertai Nuffnang- sebuah komuniti blog pengiklanan terkemuka dunia) turut berpotensi untuk dilakukan secara sepenuh masa atau sambilan sahaja. Jadi, tunggu apa lagi? Jom mulakan bisnes anda sendiri hari ini.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *