Bagi dunia pekerjaan, tahap kecemerlangan dalam bidang pengajian memberi kelebihan dan daya saing kepada calon pekerja. Malah, kebanyakan pekerjaan dalam sektor profesional dan korporat menuntut seseorang individu untuk memiliki latar belakang pendidikan sekurang-kurangnya di peringkat Sarjana Muda.
Jom semak lima bidang pengajian yang menjanjikan peluang kerjaya yang lebih terbuka pada masa akan datang.
Manalah tahu, anda mungkin boleh mulakan perniagaan atau menjadi rakan kongsi syarikat yang berkaitan dengan bidang pengajian di bawah!
Sains Komputer & Teknologi Maklumat
Dalam arus modenisasi masa kini, kita tidak dapat menafikan bidang pengajian ini semakin mendapat tempat di negara kita. Secara asasnya, bidang ini memberi pendedahan tentang manipulasi data, reka bentuk, pemprosesan maklumat, penghasilan keputusan yang cepat, cekap dan tepat serta sistematik.
Sebagai masyarakat yang maju, kebergantungan kita terhadap penggunaan teknologi sangat tinggi di mana kebanyakan urusan seharian, baik perniagaan mahupun persendirian sedikit sebanyak melibatkan sistem teknologi yang sentiasa di hujung jari. Jadi, masalah gangguan pada sistem berteknologi adalah suatu yang sukar diterima oleh masyarakat.
Di sinilah kemahiran dalam bidang ini amat diperlukan; di mana kita memerlukan lebih banyak kepakaran untuk membangun dan menyokong penggunaan sistem baharu serta menyelesaikan masalah yang dihadapi.
Antara peluang kerjaya yang sering ditawarkan termasuk Pembangun Perisian (Software Developer), Penganalisis Sistem Komputer (Computer Systems Analyst) dan Pentadbir Sistem Rangkaian (Network Systems Administrator).
Perakaunan
Seramai 60 ribu akauntan profesional akan diperlukan menjelang 2020. Menurut laporan akhbar Utusan bertajuk ’60,0000 akauntan, tercapaikah?’ bertarikh 20 Januari 2018, keperluan ini perlu direalisasikan sekiranya negara ingin mencapai status negara berpendapatan tinggi menerusi Transformasi Ekonomi dan Rancangan Malaysia ke-11.
Malah, menurut laporan sama, kerajaan juga meletakkan sasaran untuk melahirkan 60,000 akauntan bertauliah dengan nisbah seorang akauntan dengan 500 penduduk menjelang 2020 sebagai menyokong usaha transformasi negara!
Di negara ini, kerjaya sebagai akauntan menjanjikan pendapatan tinggi, sama seperti peguam, doktor, jurutera dan juruukur. Apa yang lebih menarik, kerjaya ini juga dikatakan tidak terkesan dengan naik turun prestasi ekonomi kerana peranan mereka sentiasa diperlukan oleh organisasi perniagaan sepanjang masa.
Pekerjaan yang sering menjadi rebutan dalam bidang perakaunan termasuklah juruaudit, perunding cukai, pegawai eksekutif akaun, akauntan pengurusan dan pengawal kewangan.
Berdasarkan Laporan Tahunan Institut Akauntan Malaysia (MIA) 2017/2018, sehingga 30 Jun 2018, keahlian akauntan berdaftar adalah sebanyak 34,655 ahli. Angka itu mencatatkan peningkatan sebanyak empat peratus berbanding tahun sebelumnya iaitu 33,294 ahli.
Apa tunggu lagi? Jom jadi akauntan!
Kesihatan dan Keselamatan Pekerjaan
Ramai yang masih tak tahu bahawa sebenarnya, Pegawai Keselamatan dan Kesihatan memainkan peranan penting dalam memastikan keperluan, keselamatan serta kesihatan pekerja sentiasa dilindungi. Tugas mereka meliputi pemeriksaan persekitaran tempat kerja serta memastikan pekerja mengikut piawaian keselamatan yang telah ditetapkan.
Menerusi laporan Critical Occupations List (COL) 2018, permintaan terhadap tenaga pakar dalam bidang ini semakin bertambah dan dijangka akan terus meningkat seiring dengan perkembangan negara.
Pemegang Ijazah dalam bidang pengajian berkaitan kesihatan dan keselamatan pekerjaan sesuai untuk menjawat jawatan sebagai Pegawai Keselamatan Industri, Pegawai Keselamatan Teknikal dan Pegawai Keselamatan & Kesihatan Pekerjaan.
Kimia
Berdasarkan laporan Critical Occupational List (COL) 2018, negara kita dilaporkan mengalami kekurangan pakar dalam bidang kimia.
Ramai antara kita yang terlepas pandang bahawa sebenarnya, bidang ini amat diperlukan terutamanya dalam industri pembuatan dan farmaseutikal. Antara kerjaya yang mendapat permintaan tinggi termasuklah penyelidikan dan pembangunan (R&D), pembangunan produk, kawalan dan pakar pencelupan. Namun, bilangan calon yang berkelayakan tidak mencukupi untuk mengisi jawatan kosong yang ditawarkan.
Kekurangan ahli kimia sedikit sebanyak turut menjejaskan ujian kes jenayah di Malaysia yang menyebabkan kelewatan keputusan ujian makmal memandangkan ia hanya boleh dikendalikan oleh ahli kimia sahaja.
Berminat nak jadi seorang ahli kimia? Anda perlu memiliki sekurang-kurangnya Ijazah Sarjana dalam bidang kimia tau! Bagaimanapun, kebanyakan pekerjaan penyelidikan memerlukan kelayakan sehingga ke peringkat PhD.
Kejuruteraan
Malaysia memerlukan seramai 200 ribu jurutera pelbagai bidang menjelang 2020 sedangkan menurut Institut Kejuruteraan Malaysia (IEM), jumlah jurutera profesional dan bertauliah di seluruh negara yang berdaftar dengan Lembaga Jurutera Malaysia (BEM) setakat ini baru mencecah 130,000 orang.
Ini peluang baik bagi graduan kejuruteraan!
Bidang kejuruteraan semakin mendapat tempat di hampir ke semua institusi pengajian tinggi selain turut diberi pendedahan di peringkat menengah lagi.
Antara kepakaran yang mendapat permintaan tinggi termasuk jurutera awam, jurutera mekanikal, jurutera kimia, jurutera elektrik/elektronik, jurutera mekatronik dan jurutera perlombongan selain keperluan bagi juruteknik kejuruteraan elektrik, juruteknik kejuruteraan mekanikal dan juruteknik kejuruteraan jaminan kualiti.
Masih kurang pasti dengan pilihan anda? Ingin tahu dengan lebih lanjut? Pastikan anda rujuk laporan Critical Occupations List (COL) yang dikeluarkan oleh TalentCorp Malaysia!
Image credit: Freepik
Artikel berkaitan:
http://www.utusan.com.my/pendidikan/kampus/60-000-akauntan-diperlukan-1.585391#ixzz5kqpPJRX0
Good info!