5 Tip Mengekalkan Kesetiaan Pekerja

Pekerja atau kakitangan adalah tulang belakang sesebuah organisasi. Pekerja yang menghasilkan kerja yang berkualiti menentukan pencapaian misi dan visi sesebuah organisasi.

Jangan terkejut, satu fakta menerusi sebuah kajian oleh Taleo Research (2009) mengatakan, pekerja yang setia akan menjana sehingga satu pertiga hasil pendapatan organisasi! Tapi, bagaimanakah caranya bagi memastikan seseorang pekerja itu setia kepada sesebuah organisasi? Berikut adalah 5 tip yang dapat mengekalkan kesetiaan pekerja:

Tempat Kerja Yang Menarik

Wujudkan sebuah tempat kerja yang menarik dan menyeronokkan untuk kakitangan anda. Sediakan pelbagai kemudahan seperti ruang rehat dan santai, bilik perbincangan dan surau yang selesa. Jangan lupa, sediakan juga kemudahan seperti mesin layan diri yang menjual minuman dan makanan ringan.

Mewujudkan suasana bekerja seperti di rumah sendiri (work like at home) merupakan suatu inisiatif yang dapat meningkatkan kesetiaan pekerja kepada organisasi. Suasana seperti ini dapat mengurangkan tekanan. Bekerja tanpa kawalan dan peraturan yang ketat juga dapat memberi kepuasan kepada pekerja dalam melakukan tugasnya dengan sepenuh hati.

Komunikasi Yang Baik

Sesebuah organisasi akan beroperasi dengan lebih cekap jika pekerja tiada halangan berkomunikasi antara satu sama lain. Masalah komunikasi biasanya terjadi akibat perbezaan pendapat dengan rakan sekerja atau hubungan yang tidak baik antara pengurus dan pekerja. Bekerjasama, berbincang, bertukar pendapat, sedia menerima teguran dan hormat-menghormati ialah contoh amalan komunikasi yang baik.

Sebagai majikan, anda perlu membina hubungan yang sihat dengan pekerja dan tidak hanya mengeluarkan arahan semata-mata Berikan pekerja anda peluang untuk mengetengahkan pandangan, pendapat dan idea kreatif mereka. Salah satu langkah bijak untuk menggalakkan pekerja menyalurkan pendapat dan idea ialah dengan menyediakan peti cadangan di ruangan pejabat anda.

Kepercayaan

Bukan mudah mewujudkan rasa saling percaya dalam kalangan pekerja. Salah satu cara adalah dengan memperbanyakkan program pembinaan pasukan atau team building. Program sebegini dapat menanam semangat kekitaan dalam diri pekerja seterusnya meningkatkan kebolehan pekerja untuk bekerja secara berkumpulan serta meningkatkan kebersediaan mereka untuk saling membantu.

Latihan dan Pendidikan

Kebanyakan pekerja menyertai sesebuah organisasi bukan sekadar untuk mendapat gaji tetapi juga untuk membina kerjaya. Oleh itu, sebagai majikan, anda harus menyediakan program latihan dan peluang pendidikan bagi pekerja yang berhasrat untuk meningkatkan prestasi diri baik dari segi kerjaya mahupun tahap pendidikan mereka.

Salah satu cara untuk mewujudkan kesetiaan dalam kalangan pekerja adalah dengan menawarkan pembiayaan pendidikan atau biasiswa. Inisiatif ini akan memberikan peluang kepada pekerja yang inginkan kemajuan secara peribadi selain menunjukkan tanda sokongan majikan terhadap pekerjanya untuk terus berjaya.

Ganjaran atau Penghargaan

Memberi ganjaran atau penghargaan kepada pekerja yang berprestasi cemerlang dapat meningkatkan lagi motivasi mereka untuk bekerja dengan lebih gigih dan bersemangat. Ganjaran yang diberikan tidak semestinya dalam bentuk kewangan sahaja. Anugerah kakitangan cemerlang atau jamuan makan tengah hari merupakan suatu ganjaran yang amat dihargai oleh pekerja disamping kenaikan pangkat bagi mereka yang layak. Penghargaan yang diterima ini secara tidak langsung memberi galakan dan meningkatkan kesetiaan pekerja.

Jadi, sebagai majikan, anda haruslah menghargai dan menjaga kebajikan pekerja kerana mereka adalah aset paling berharga yang menjamin masa depan organisasi. Berikan sokongan dan galakan sewajarnya terhadap pekerja anda. Lagipun, pekerja hanyalah manusia biasa. Take care of their emotions, they will take care of you.

Credit image: Freepik

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *