Perubahan globalisasi ekonomi telah membuka banyak peluang perniagaan terutama bagi usahawan yang ingin mengembangkan perniagaan mereka ke luar Negara. Memetik penulisan bertajuk “Dunia tanpa sempadan… potensi untuk perniagaan” menerusi laporan Utusan Online pada 2014, Negara kita melalui proses liberalisasi di mana perjanjian pembukaan pasaran dimeterai antara negara bagi membolehkan barang-barang dagangan, perkhidmatan, modal dan pelaburan bebas keluar masuk.
Secara tidak langsung, hal ini membuka mata ramai pihak untuk mengambil peluang menceburkan diri dalam bidang perniagaan. Bukan sahaja masyarakat, malah selebriti tempatan juga tidak ketinggalan mencipta nama dalam bidang ini.
Jom kenal tiga selebriti ini yang berjaya melebarkan empayar perniagaan mereka ke persada dunia, wow sangat!
Naelofar Hijab
Naelofar Hijab adalah jenama tudung bertaraf antarabangsa yang telah mengeluarkan lebih 80 koleksi hijab sejak 2014. Bernaung di bawah syarikat NH Prima International, Naelofar Hijab yang diasaskan oleh Neelofa, atau Noor Neelofa Mohd Noor ini memiliki lebih 700 pengedar di 38 buah negara termasuklah Eropah, Afrika dan negara Timur Tengah. Selain Naelofar Hijab, NH Prima International memasarkan pelbagai produk lain yang mensasarkan kepada golongan muslimah, seperti telekung, sejadah dan pakaian. Syarikat ini juga turut mengeluarkan produk kanta lekap di bawah jenama Lofalens, di samping suplemen kesihatan dan kecantikan di bawah jenama BellaVita.
Hanya selepas setahun ditubuhkan, Naelofar Hijab telah mencatatkan nilai jualan sebanyak RM50 juta, iaitu melebihi dua kali ganda sasaran yang ditetapkan. Selaku pengasas syarikat, Neelofa bijak menggunakan platform media sosial peribadi seperti Instagram untuk mempromosikan jenama hijabnya. Dengan jumlah pengikut yang mencecah 6.7 juta, pelakon, pengacara dan usahawan jelita ini sering bereksperimen dengan gaya pemakaian tudung yang elegan dan ‘chic’ dan ini secara tidak langsung membantu mempromosi serta melariskan jualan hijab secara dalam talian.
Neelofa menjadi selebriti fesyen muslimah Malaysia pertama yang melangkah ke pentas antarabangsa setelah dilantik menjadi duta syarikat Swarovski selain menjalinkan hubungan kerjasama dengan Naelofar Hijab. Jenama Naelofar Hijab terus mengorak langkah ke persada dunia apabila menandatangani perjanjian kontrak bersama agensi pengurusan bakat di United Kingdom dan Perancis.
FashionValet dan dUck
Idea untuk mewujudkan gedung fesyen dalam talian, FashionValet tercetus apabila trend beli-belah secara dalam talian bermula di Eropah. Berhasrat untuk mengetengahkan budaya sama di Malaysia, penulis blog serta ikon fesyen muslimah, Datin Vivy Yusof bersama suami kemudiannya menubuhkan FashionValet yang memasarkan pelbagai produk antaranya pakaian, aksesori, kasut serta produk kecantikan.
FashionValet telah membuka butik di Singapura, Brunei dan Malaysia serta turut mempunyai pelanggan dalam talian di 15 buah negara termasuklah United Kingdom, Amerika Syarikat dan Australia. Bermula dengan hanya 10 jenama ditawarkan, FashionValet kini memasarkan lebih 500 jenama pereka fesyen di Asia Tenggara kepada pelanggan di seluruh dunia.
Jenama dUck pula merupakan salah satu jenama yang dijual oleh FashionValet. Pada awalnya, dUck hanya memberi tumpuan kepada koleksi hijab, namun kini dUck turut menampilkan pelbagai produk lain termasuk koleksi alat tulis, beg tangan, kosmetik serta aksesori rumah. Butik dUck boleh dikunjungi di pusat-pusat membeli-belah utama seperti Pavilion Kuala Lumpur dan Suria KLCC.
SimplySiti
Jenama produk kosmetik dan kecantikan, SimplySiti diasaskan oleh penyanyi tersohor nombor satu Negara, Dato’ Sri Siti Nurhaliza Tarudin pada Mac 2010. Pada awal kemunculan, SimplySiti menampilkan dua rangkaian produk, iaitu produk solekan dan produk penjagaan kulit yang terus mendapat sambutan memberangsangkan selepas dilancarkan.
Jenama SimplySiti kini menawarkan 10 rangkaian produk termasuklah penjagaan kulit, kosmetik serta minyak wangi. Penghasilan produk-produk ini istimewa kerana kandungan, formula, warna dan tekstur ditentukan oleh pelantun lagu ‘Biarlah Rahsia’ itu sendiri. Rangkaian produk SimplySiti boleh didapati di Watson’s, Guardian dan Aeon Wellness. Produk ini juga turut dijual di butik milik penyanyi ini iaitu Creación & SimplySiti. Di samping itu, laman sesawang simplysiti.com.my dibangunkan untuk memudahkan pembeli mendapatkan produk ini.
Pada 2016, SimplySiti mula melangkah ke pasaran global apabila menjalinkan kerjasama dengan syarikat penerbangan tambang murah, AirAsia, menerusi pengenalan dua produk eksklusif edisi khas iaitu Simply Elegant 2 Way Cake dan Simply Elegant Lip Gloss Duo edisi AirAsia yang dijual dalam semua penerbangan AirAsia dan AirAsia X.
SimplySiti juga sudah menembusi pasaran Brunei dan dijangka akan meneroka pasaran Indonesia pada tahun ini. Produk ini juga akan dieksport ke negara-negara lain seperti Singapura dan negara Timur Tengah. Menjelang 2020, syarikat produk kecantikan dan kosmetik ini mensasarkan sebanyak 60% jualan produk dari pasaran luar Negara.