Tatéh Kini Berlari

BABYMAMA TRADING SDN BHD – Rakan Usahawan PUNB

Jenama Tateh tidak lagi asing di kalangan pasangan suami isteri yang ingin mencari keperluan barangan penjagaan ibu dan bayi. Selain barangan kelengkapan bayi, Butik Tateh yang diuruskan oleh Babymama Trading Sdn Bhd ini turut mementingkan penjagaan kesihatan ibu sepanjang proses berpantang.  

Jom ikuti soal jawab bersama pengasasnya, Siti Shafurah Abas tentang pengalaman beliau menguruskan jenama pilihan ibu bapa ini.

S: Apakah perbezaan Tateh berbanding jenama-jenama lain?

J: Tateh menawarkan produk-produk barangan keperluan penjagaan bayi dan juga bagi ibu yang sedang berpantang. Apabila para pelanggan berkunjung ke butik Tateh, mereka bukan sahaja boleh mendapatkan barangan, malah turut dibekalkan dengan ilmu tentang penjagaan bayi, cara penyusuan  serta kaedah berpantang yang betul daripada kakitangan kami yang terlatih dan berpengalaman terutama bagi pasangan yang sedang membuat persiapan terakhir.

Inilah keistimewaan Tateh.

Setsuri – set berpantang yang boleh didapati di butik Tateh

S: Bagaimana Tateh menjaga hubungan dengan pelanggan?
J:
Matlamat utama Tateh adalah memastikan pelanggan mendapat barangan yang diperlukan dan berpuas hati dengan perkhidmatan yang ditawarkan. Ini kerana Tateh tidak hanya mahu menjadi penjual barangan keperluan bayi sahaja sebaliknya menjadi tempat rujukan bagi pasangan ibu bapa yang menyambut kelahiran cahaya mata. Disebabkan ini, setiap tenaga kerja kami mendapat latihan dan pemantauan berterusan supaya pelanggan kekal setia dan percaya dengan Tateh.

S: Apakah motivasi yang mendorong anda dalam memimpin Tateh?
J:
Sebagai seorang usahawan dan juga ibu kepada empat orang anak, saya berasa amat berpuas hati apabila dapat memberi jalan penyelesaian kepada mereka yang mempunyai sebarang kemusykilan terutama dalam penjagaan bayi dan sepanjang proses berpantang. Ini kerana, seperti para ibu lain, saya juga mahukan yang terbaik khususnya perkara melibatkan penjagaan diri dan anak.

Jika dahulu, tidak banyak pusat atau tempat rujukan penjagaan bayi selain daripada hospital dan klinik. Oleh sebab itu, saya mengambil inisiatif ini untuk mewujudkan Tateh. Pengalaman ini menjadi pemangkin inspirasi dalam terus membawa jenama Tateh ke tahap yang lebih tinggi.

S: Menjejak 2020 ini, apakah pendekatan baharu yang telah dirancang untuk Tateh?

J: Dalam usaha bagi memastikan Tateh kekal sebagai pilihan utama, kami akan sentiasa mempertingkatkan promosi dan strategi pemasaran agar Tateh akan lebih dikenali. Salah satu caranya adalah dengan menghasil dan menjual produk-produk berdasarkan permintaan dan keperluan pelanggan. Disinilah pentingnya mengekalkan hubungan yang baik dengan pelanggan kerana mereka merupakan faktor utama kejayaan sesebuah perniagaan.

Selain itu, kami juga sentiasa membuat persediaan dalam memperkemaskan lagi ilmu-ilmu berkaitan penjagaan bayi dan berpantang agar dapat memberikan perkhidmatan terbaik untuk para pelanggan kami.

Tateh juga akan mempergiatkan lagi kempen-kempen kesedaran dan maklumat keselamatan penjagaan anak, contohnya kepentingan penggunaan Child Restraint System (CRS) atau kerusi keselamatan kanak-kanak seperti yang diwajibkan oleh pihak Kerajaan.

S: Di mana anda melihat Tateh untuk 5 tahun yang akan datang?
J:
 Kami merancang untuk memperkembangkan lagi sayap perniagaan Tateh daripada 18 cawangan kepada 25 cawangan dalam jangka masa 5 tahun akan datang. Pada masa yang sama, kami memastikan setiap cawangan Tateh dapat mencatatkan keuntungan yang memberangsangkan melebihi daripada sasaran yang telah ditetapkan. 

Selain itu, kami juga merancang untuk menambah baik program pembangunan warga kerja Tateh melalui pemahaman dan peningkatan ilmu khususnya tentang produk dan servis perkhidmatan ditawarkan bagi memastikan para pelanggan Tateh berpuas hati.

Antara produk lain yang ditawarkan oleh butik Tateh

S: Apakah nasihat anda kepada mereka yang ingin dan telah menjadi usahawan?

J: Secara peribadi, seorang usahawan itu tidak boleh mempunyai sikap suka bertangguh dalam melakukan sesuatu perkara, baik dalam perniagaan mahupun kehidupan peribadi. Sikap ini bakal merugikan bukan sahaja masa malah wang dan tenaga. Harus mempunyai semangat mahu maju ke hadapan dan sentiasa berfikir serta bertindak satu langkah ke hadapan daripada orang lain dan jangan pernah putus asa. Tetapkan matlamat dan sasaran yang boleh diukur dan ada garis masa yang jelas. Sekiranya matlamat ini tercapai lebih awal, jangan terlalu selesa dan tetapkan matlamat baru yang lebih besar. 

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *