Berniaga: Modal Sendiri atau Pembiayaan Perniagaan?

Keperluan modal sebenarnya bergantung kepada jenis dan skala perniagaan yang ingin dijalankan. Jika besar perniagaan, maka besarlah modal yang diperlukan dan sebaliknya. Mendapatkan modal yang diperlukan merupakan salah satu cabaran besar bagi individu yang baru berjinak dalam dunia perniagaan.

Berikut adalah perbandingan antara penggunaan modal sendiri dan pembiayaan kewangan untuk perniagaan anda.

Modal Sendiri
Apabila menggunakan modal sendiri, anda boleh mengurangkan risiko kerugian atau hutang yang tinggi kerana anda tidak perlu membayar sebarang bentuk pembiayaan dan caj-caj lain sekiranya perniagaan diusahakan tidak atau lambat mencapai sasaran keuntungan ditetapkan. Modal sendiri ini boleh diperolehi melalui simpanan kewangan sendiri atau penjualan aset dan barangan berharga.

Apabila menggunakan modal sendiri, anda mengetahui kedudukan kewangan dan dapat mengawal sejauh mana perniagaan boleh dilaksanakan. Ini secara tidak langsung anda boleh merancang dengan lebih teliti sasaran dan strategi perniagaan secara berperingkat bergantung kepada hasil keuntungan dan modal pusingan yang ada.

Modal sendiri juga dapat mendisiplinkan diri untuk berbelanja mengikut keperluan sahaja kerana anda perlu berjimat untuk memastikan perniagaan mampu berkembang selain tidak perlu menunggu lama untuk mendapatkan modal tambahan berbanding membuat pembiayaan bagi kelangsungan perniagaan.

Walau bagaimanapun, modal sendiri juga besar kemungkinan anda perlu melakukan banyak perkara sendiri sekiranya modal yang ada tidak cukup untuk mengupah atau menggaji pekerja. Seeloknya, anda perlu dapatkan sokongan dari penasihat kewangan bertauliah agar dapat memastikan kewangan anda berada pada tahap yang baik dan stabil.

Modal Pembiayaan Perniagaan
Memohon pembiayaan dari institusi kewangan merupakan langkah yang sering diambil oleh usahawan yang ingin memulakan perniagaan. Hasil bantuan kewangan ini dapat membina perniagaan dengan lebih cepat kerana usahawan mampu untuk menyediakan segala keperluan dalam perniagaan.

Apabila membuat pembiayaan, secara tidak langsung anda telah mewujudkan sebuah skor kredit bagi memudahkan perniagaan untuk membuat pembiayaan tambahan pada masa hadapan dengan syarat anda merupakan pembayar balik pinjaman yang baik.

Modal pembiayaan juga memberi peluang kepada usahawan untuk meningkatkan produktiviti dan pengeluaran produk kerana mempunyai sokongan kewangan yang kukuh dan ini dapat melipat ganda keuntungan untuk membayar semula pembiayaan yang diterima. Apatah lagi, terdapat banyak agensi keusahawanan seperti PUNB yang bukan sahaja memberi pembiayaan tetapi juga khidmat nasihat, pemantauan, kursus dan latihan perniagaan yang sememangnya membantu perniagaan untuk berada di landasan yang betul.

Walau bagaimanapun, untuk mendapatkan kelulusan pembiayaan memakan masa dan tenaga selain juga berpotensi untuk tidak mendapat jumlah keseluruhan yang diinginkan. Mulakan dengan membuat pembiayaan dalam skala yang kecil bagi mengelakkan bebanan komitmen bulanan yang tinggi. Jika perniagaan semakin berjaya, barulah anda boleh memikirkan untuk modal tambahan.

Apa-apa pun, dengan membuat pembiayaan dapat memotivasikan diri usahawan untuk berusaha dengan lebih gigih dalam mengembangkan perniagaaan kerana mereka sedar terdapat pembiayaan yang perlu dibayar.

Apa jua bentuk modal yang dipilih, yang penting anda perlu berusaha dengan bersungguh-sugguh dan jangan pernah mengalah. Ingatlah bahawa perniagaan merupakan suatu taruhan dan memerlukan banyak pengorbanan sebelum dapat menikmati imbuhan dari usaha yang telah dicurahkan.

2 Ulasan

  1. Bagi saya awl2 brniaga elok guna modal di tangan atau pinjam famili tak di galakkn utk buat pinjmn.abb kita tak tahu flow bisnes ok ke tak.
    Bagi saya yang dh trlibat denagn lebih 10 tahun beniaga masih lagi mengekalkan bisnes ni memerlukan suntikan pinjaman khas selepas Pendemik. Pinjaman bukan uantuk maintaian bisnes saya tapi untuk melepaskana lagi bisnwns dan menambah baik pasarana .

    1. Hi Rapidah,
      Terima kasih kerana melayari Usahawan Nasional Webzine serta maklum balas yang telah diberikan.
      Layari juga artikel-artikel lain dan kongsikan bersama kenalan anda!

      Jika berminat untuk mendapatkan maklumat berikut, anda boleh hubungi Pusat Khidmat Pelanggan kami di talian 1300 13 7862.

      Terima kasih.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *