Persekitaran ergonomik di tempat kerja memberi kesan jangka masa panjang yang baik kepada kesihatan pekerja dan produktiviti sesebuah syarikat secara amnya.
Ergonomik merupakan kajian tentang hubungan antara pekerja dengan persekitaran tempat kerja. Secara mudahnya, ergonomik merangkumi kemampuan pekerja menggunakan sesuatu peralatan berkaitan tugasan untuk menghasilkan kualiti kerja yang optimum dalam persekitaran yang selamat dan berkesan.
Tahukah anda persekitaran yang kurang ergonomik boleh membawa kepada penyakit seperti muskuloskeletal (MSD) yang mengganggu fungsi sendi, ligamen, otot, saraf dan lebih parah tulang belakang.
Sebagai usahawan dan majikan, amat penting untuk mewujudkan persekitaran ergonomik ini. Mengapa? Berikut adalah beberapa kelebihannya:
a) Mengurangkan kos
Pelaburan dalam mewujudkan persekitaran yang ergonomik untuk pekerja dapat mengurangkan kos tambahan yang mungkin perlu ditanggung oleh majikan sekiranya berlaku sebarang kecederaan disebabkan oleh kurang mempraktikkan langkah ini.
b) Meningkatkan produktiviti
Tempat kerja yang ergonomik mempengaruhi semangat pekerja untuk menjadi lebih produktif dalam menjalankan tugasan memandangkan mereka berasa selesa dan selamat.
c) Mengekalkan kesetiaan
Pekerja akan berasa lebih dihargai apabila majikan sanggup membuat pelaburan bagi memastikan keselesaan dan kesihatan mereka dipelihara. Ini mendorong mereka berkhidmat lebih lama dan memberikan hasil serta kualiti kerja yang terbaik untuk perniagaan anda.
Jadi, sebagai usahawan dan majikan, tidak rugi untuk anda menitikberatkan hal ini kerana ia dapat memberi ‘pulangan’ yang baik untuk perniagaan anda.
Jika belum mempraktikkan langkah ergonomik ini, anda boleh mulakan dengan stesen kerja bagi setiap pekerja. Minta pandangan mereka serta gabungkan dengan idea ergonomik yang anda miliki agar dapat mewujudkan persekitaran tempat kerja yang lebih sihat.
Selamat mencuba!