9 Tips untuk Reka Iklan Sepanduk yang Mantap Lagi Memukau

Banner ad atau iklan sepanduk sering membanjiri pengguna web. Tujuan iklan sepanduk adalah untuk menarik pengguna ke laman web pengiklan. Ada dua senario yang mungkin terjadi: pertama, pengguna akan mengabaikan atau tutup sahaja iklan itu. Kedua, pengguna akan klik gambar atau bebutang untuk mengetahui dengan lebih lanjut mengenai iklan tersebut.

Mengapakah ada iklan sepanduk yang langsung tidak dihiraukan pengguna, manakala ada pula yang berjaya menarik perhatian mereka? Pengguna sebenarnya tertarik kepada reka bentuk sepanduk yang menawan. Apakah reka bentuk iklan sepanduk yang hebat, menonjol dan memukau pengguna pada pandangan pertama? Di bawah ini diringkaskan tip paling hebat untuk reka bentuk iklan sepanduk yang menarik:

 

1          Guna fon yang menarik

Terdapat banyak jenis fon (font) yang boleh digunakan. Ada yang standard, ada yang seperti tulisan tangan, dan ada juga huruf blok. Penggunaan fon tertentu boleh mempengaruhi mood, seperti ceria, serius dan santai.

  • Gunakan dua atau lebih fon supaya iklan anda lebih berkesan.
  • Pilih warna dengan berhati-hati, sesuai dengan khalayak sasaran.
  • Pastikan teks mudah dibaca, sama ada menggunakan komputer, tablet atau telefon pintar.
  • Pengguna mungkin warga emas atau kanak-kanak. Pastikan pengguna dapat memahami iklan anda dalam masa dua saat, apa jua peringkat umur mereka.

 

2          Pilih imej dan fon yang sepadan

Iklan sepanduk akan kelihatan lebih menyerlah jika menggunakan fon yang menarik dan kreatif, berserta dengan gambar atau imej. Iklan sepanduk yang dihiasi imej lebih berkemungkinan untuk menarik perhatian pengguna berbanding sepanduk yang hanya diisi dengan teks. Iklan sepanduk yang bersertakan gambar selalu mendapat lebih banyak komen, sukaan dan klik.

  • Warna fon boleh disesuaikan dengan warna imej, atau boleh juga berkontras.
  • Imej boleh berupa gambar foto mahupun ilustrasi, dan boleh berupa imej statik atau beranimasi.
  • Buat permulaan, gunakan imej statik supaya perhatian pengguna bertumpu kepada mesej.
  • Jika menggunakan animasi, pastikan tempohnya tidak melebihi 15 saat dan tidak diulang (loop) lebih daripada tiga kali. Imej yang terlalu banyak bergerak mungkin menjengkelkan bagi pengguna. Bidang (frame) terakhir boleh dijadikan laungan untuk bertindak (call to action) yang jelas.
  • Fon dan imej perlu secocok. Jika menggunakan gambar yang kelihatan ceria, fon harus menonjolkan perasaan yang sama.

 

3          Pendek dan mesra

Jika mengiklan produk, pastikan produk itu menjadi fokus iklan sepanduk anda. Jangan muatkan terlalu banyak maklumat sehingga pengguna hilang tumpuan dan minat. Masukkan maklumat yang penting sahaja.

  • Cukup dengan memuatkan satu imej, satu mesej dan satu pesanan sahaja.
  • Biar pendek, bernas, dan mesra.
  • Maksud iklan sepanduk perlu difahami pengguna dalam masa dua saat.
  • Pengguna mesti terdorong untuk klik iklan tersebut.

 

4          Saiz yang mudah dan sesuai

Ada banyak saiz iklan sepanduk yang boleh dipilih. Antara yang popular ialah:

  • 728 piksel × 90 piksel. Sepanduk jenis ini dikenali sebagai papan pendahulu atau leaderboard, biasanya dipaparkan di atas atau di bawah halaman.
  • 300 piksel × 250 piksel. Sepanduk seperti ini berbentuk segi empat tepat sederhana dan biasanya ditempatkan disebelah kanan halaman atau diselitkan di antara perenggan teks.
  • 300 piksel ×600 piksel, iaitu sepanduk separuh halaman.
  • 300 piksel × 50 piksel dan 320 piksel ×100 piksel ialah saiz yang sesuai untuk dilihat pada paparan telefon pintar.

 

5          Susun atur dan hierarki

Susun atur sangat penting dalam mereka bentuk sepanduk. Ada imej yang sesuai dijadikan latar belakang dan ada yang perlu ditonjolkan. Iklan sepanduk yang kelihatan seimbang akan meningkatkan trafik ke laman web anda. Ingat lima perkara ini:

  • Teks perlu diletakkan di kedudukan yang sesuai supaya sedap dipandang dan elemen penting mendapat perhatian. Saranan nilai ialah mesej untuk menunjukkan khidmat atau produk yang anda tawarkan. Mesej ini menghebahkan diskaun atau harga menarik agar pelanggan terpaut. Menawarkan diskaun hebat pasti mendorong pengguna untuk klik bebutang tindakan.
  • Bebutang tindakan (call-to-action button) mesti dijadikan titik tumpuan sepanduk agar dapat merangsang serta mempelawa pengguna untuk klik. Biasanya bebutang diletakkan di sudut bawah sebelah kanan. Frasa seperti “Ketahui Lebih Lanjut”, “Beli Sekarang”, “Mulakan Sekarang” atau “Lihat Sekarang” ialah contoh yang biasa kita lihat.
  • Logo syarikat mestilah jelas dan cukup menonjol tetapi tidak sampai menenggelamkan saranan nilai serta tindakan.
  • Warna yang terang.

 

Kebanyakan laman web menggunakan warna putih sebagai warna latar. Oleh itu, iklan sepanduk anda perlu berwarna terang. Jika sepanduk berwarna putih, gunakan sempadan kelabu 1 piksel di sekeliling sepanduk. Gunakan warna yang kontras untuk bebutang tindakan.

 

7          Pastikan khalayak sasaran anda

Pilihan warna, fon dan imej perlu disesuaikan dengan khalayak sasaran. Misalnya, warna merah muda lembut sesuai jika khalayak sasaran ialah gadis remaja. Matlamat akhir iklan ialah untuk menjual tetapi untuk mencapai matlamat ini, iklan mestilah menarik perhatian pengguna terlebih dahulu. Jika pengguna tidak membeli pun, sekurang-kurangnya mereka tahu apa yang anda jual.

 

8          Produk ialah bintangnya

Jadikan produk atau logo titik tumpuan iklan sepanduk. Jika produk atau logo berwarna terang, elakkan warna latar dan teks yang berwarna-warni. Mesej dan produk akan tenggelam kerana semua elemen di dalam sepanduk bersaing untuk menarik perhatian pengguna.

 

9          Simpan dengan betul

Tip ini paling penting. Simpan fail anda dengan baik. Jika fail terlalu besar atau tidak menggunakan format yang betul, pengguna pasti hilang sabar menunggu fail dimuat naik.

  • Saiz yang melebihi 150 kB akan ditolak oleh Google.
  • Format yang biasa digunakan ialah PNG and JPG untuk paparan statik dan GIF untuk paparan beranimasi.

 

Reka bentuk yang lemah:

Ilustrasi 1: Contoh reka bentuk banner yang lemah

  • Terlalu banyak mesej di dalam ruang yang kecil.
  • Nampak semak dan mengelirukan.
  • Bebutang tindakan tidak menonjol.
  • Imej di belakang teks dan bebutang tindakan tidak menarik dan tidak berkesan.
  • Kepercayaan pengguna kepada jenama terkikis kerana reka bentuk yang lemah.

 

Reka bentuk yang menarik:


     Ilustrasi 2: Contoh reka bentuk banner yang menarik

  • Sepanduk ini cukup jelas dan menarik.
  • Teks digunakan secara minimal dan iklan tidak kelihatan semak.
  • Warna biru membuat fon putih tampak hebat dan mudah dibaca.
  • Bebutang jelas dan pasti anda juga ingin klik sekarang.
  • Imej diletakkan di tengah-tengah di antara teks dan bebutang, supaya bebutang tidak tenggelam dalam reka bentuk.
  • Saiz bebutang dibesarkan dan berwarna merah supaya jelas.
  • Teks bebutang berwarna putih dan besar supaya mudah dibaca.

 

Nasihat akhir, tonjolkan produk dengan jujur dan jelas. Reka bentuk sepanduk biarlah ringkas. Jika terlalu banyak imej, animasi, warna, dan fakta, pengguna akan hilang tumpuan dan mesej anda gagal.

Sumber: Effective Banner Designs: Real World Examples

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *