COVID-19 mula memberi impak kepada semua lapisan masyarakat khususnya para peniaga. Ada peniaga yang terpaksa menutup perniagaan dan ada juga yang cuba mengekalkan perniagaan walaupun lebih banyak mengalami kerugian berbanding keuntungan. Antara yang terkesan adalah dua usahawan muda wanita iaitu Nik Ili Khairunnisa binti Nik Razali, pemilik Bulan Madu Boutique dan Noraidila binti Misrun, pemilik Dila Catering & Canopy yang boleh dijadikan sebagai inspirasi. Jom ikuti pengalaman mereka ‘berperang’ untuk meneruskan kelangsungan perniagaan sepanjang COVID-19.

S        :          Ceritakan bagaimana anda boleh menceburkan diri dalam bidang perniagaan?

Ili      :         Ia bermula pada 2012 apabila saya mengambil keputusan untuk berhenti kerja dan mengikut suami pulang ke kampung halaman. Pada saat itu, tercetus idea untuk memulakan perniagaan secara dalam talian. Minat yang mendalam terhadap fesyen telah mendorong saya untuk menghasilkan tudung shawl custome made dengan jahitan tangan. Saya mula menjual pada rakan-rakan di media sosial. Alhamdulillah, sambutan yang diterima amat memberangsangkan di mana jualan syarikat mencecah ribuan ringgit dalam masa yang singkat bagi tahun pertama beroperasi.

Kemudian, saya membuat percubaan dengan memasarkan pakaian ready to wear untuk mempelbagaikan koleksi sedia ada di mana harga yang ditawarkan adalah bermula daripada RM59 sehingga RM129. Pada 2013 pula, saya tampil lebih berani untuk mengembangkan lagi perniagaan dengan menyewa sebuah premis untuk membuka home boutique.

Ekoran sambutan yang menggalakkan, dua tahun kemudian, saya mengambil keputusan untuk berpindah ke butik dengan ruangan lebih besar di lokasi yang lebih strategik.

Pemilik Bulan Madu Boutique, Nik Ili Khairunnisa binti Nik Razali.

Aidila  :         Saya menceburi bidang ini sejak 2018 apabila mula bekerjasama dengan syarikat yang menawarkan perkhidmatan pengurusan majlis perkahwinan. Sejak itu, saya mula merangka perancangan untuk memperluaskan skop pemasaran dengan menyediakan tempat khas bagi menjalankan majlis perkahwinan dengan menawarkan pakej lengkap berkonsepkan ‘Wedding Ballroom’. Dengan Pakej Cuci Tangan Perkahwinan ini, para pelanggan mempunyai dua pilihan harga iaitu RM17,500 (300 tetamu) dan RM18,000 (500 tetamu).

Bukan mudah untuk berada di mana kami berada sekarang kerana kami mengambil masa hampir setahun untuk mengatur strategi bagi melaksanakan pakej eksklusif ini. Akhirnya, De Daisy Wedding Grand Ballroom berjaya dirasmikan pada Oktober 2019 berlokasi di Hotel Summit Signature, Menara Up, Taman OUG, Jalan Kelang Lama, Kuala Lumpur.

Bukti penat lelah Noraidila binti Misrun, pemilik Dila Catering & Canopy adalah dengan kewujudan De Daisy Wedding Grand Ballroom.

S          :           Kongsikan pandangan/perancangan perniagaan ketika berdepan situasi getir seperti ancaman pandemik COVID-19 ini? 

Ili        :         Pada pandangan saya, perancangan untuk menghadapi situasi COVID-19 bagi perniagaan seperti ini adalah saya lebih memberi fokus kepada strategi pemasaran secara berterusan dan juga konsisten. Selain itu, setiap majikan perlu meningkatkan kemahiran kepimpinan untuk memastikan pasukan bergerak seiring kerana setiap kerja akan dilakukan di rumah.

Aidila :          Dalam situasi kekangan pandemik COVID-19 ini, tidak dapat dinafikan kami juga terkesan dengan pergerakan yang sangat terhad. Demi kelangsungan perniagaan, kami memikirkan jalan penyelesaian terbaik iaitu dengan menawarkan studio photoshoot dengan pakej termurah bagi bakal pengantin yang telah menjalani proses pernikahan di pejabat agama.

S        :        Dengan keadaan ekonomi semasa dan COVID-19 sekarang, bagaimana anda memastikan pendapatan dapat terus dijana?       

Ili        :        Ingin saya kongsikan tip bagi semua peniaga khususnya yang menjalankan perniagaan seperti saya, anda harus mempunyai perniagaan sandaran yang dilakukan secara kecil-kecilan dan bukan hanya tertumpu kepada satu perniagaan sahaja. Selain itu, anda harus memantapkan perniagaan sedia ada dengan idea-idea yang lebih bernas sebagai persediaan jika berlaku sesuatu perkara di luar jangkaan.

Antara koleksi yang terdapat di
Bulan Madu Boutique.

Aidila :         Bagi saya, saya berpegang kepada peribahasa Melayu iaitu di mana ada kemahuan, di situ ada jalan. Tidak kira sekecil mana pakej itu, kami tetap akan tawarkan di mana ia secara tidak langsung boleh menjana pendapatan untuk mengekalkan perniagaan yang sedia ada. Ini kerana saya beranggapan pandemik ini bukanlah halangan untuk mematahkan
semangat kami.

Antara hiasan pelamin yang dihasilkan di
De Daisy Wedding Grand Ballroom.

S          :        Apakah tindakan yang dapat anda lakukan untuk terus berdaya saing dalam senario masa depan yang berbeza?

Ili        :        Saya akan lebih fokus untuk mengembangkan perniagaan ke seluruh Malaysia secara dalam talian selain mempertingkatkan sentuhan peribadi dalam setiap pakaian yang dikeluarkan dalam memastikan kesetiaan dan kepercayaan pelanggan kekal serta berterusan.

Malah, saya juga akan berusaha untuk menimba lebih banyak ilmu bagi menambah baik kualiti perniagaan dan pada masa yang sama saya akan memastikan perniagaan yang dijalankan mempunyai nilai dan tarikan tersendiri.

Aidila :         Dengan norma baharu ini, saya berpegang kepada peribahasa Melayu iaitu di mana ada kemahuan, di situ ada jalan. Saya kinimemikirkan pelbagai idea untuk menyediakan pakej lengkap dengan harga berpatutan yang meliputi semua aspek.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *