Ish, malulah kalau keluar rumah dengan badan berbau! Apatah lagi dengan cuaca yang tidak menentu sekarang, badan asyik berpeluh saja. Nasib baik ada De’Xandra Eau De Parfum.
Hanya dengan satu semburan, hilang terus bau kurang menyenangkan. De’Xandra Eau De Parfum adalah minyak wangi mesra solat yang berjaya menempa nama sebagai antara jenama minyak wangi pilihan di Negara kita.
Beroperasi dibawah pentadbiran Oshien2U Sdn Bhd, syarikat ini semakin maju sejak penubuhannya pada 2015. Pada tahun pertama pelancaran minyak wanginya sahaja, mereka berjaya memperoleh hasil jualan sehingga RM7 juta. Kejayaan De’Xandra terbukti apabila menerima pelbagai anugerah, antaranya The Brandlaureate World Halal Awards 2018 dan Top 10 Malaysia’s Inspiring Entrepreneur Awards 2017.
Walau bagaimanapun, tidak ramai yang mengetahui figura di sebalik syarikat minyak wangi ini. De’Xandra dimiliki sepenuhnya anak melayu Bumiputera yang diasaskan oleh Ernayanee Nur Julaimi.
Ernayanee Nur atau lebih mesra dipanggil Erna merupakan anak sulung daripada empat adik-beradik. Bapanya merupakan seorang anggota bomba manakala ibunya bekerja sebagai jururawat. Setelah tamat pendidikan menengah, Erna melanjutkan pelajaran ke peringkat Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Matematik di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi. Walau bagaimanapun, beliau meninggalkan pengajiannya bagi mengejar cita-cita untuk menceburi bidang perniagaan.
Fokus Pada Wangian
Erna memulakan langkah pertamanya sebagai seorang usahawan dengan sebuah perniagaan berkonsepkan Multilevel Marketing atau MLM. Hampir 3 tahun beliau bertungkus-lumus mengusahakan perniagaannya itu, namun nasib tidak menyebelahinya apabila beliau akhirnya dibebani dengan hutang dan hampir diisytiharkan muflis akibat tersalah percaturan. Natijah daripada ini, beliau terpaksa menjadi seorang pemandu bas kilang dengan kadar caj hanya RM1 seorang dan mengambil upah menyanyi di majlis-majlis perkahwinan Melayu dengan bayaran RM50 sahaja. “Itulah masa yang paling sukar bagi saya, namun, demi meneruskan kehidupan, saya harus melakukannya,” ujar Erna penuh kesal.
Walaupun berhadapan dengan pelbagai cabaran, Erna sedikit pun tidak terjejas dengan apa yang telah dihadapinya. Pada 2010 merupakan titik perubahan dalam kehidupannya. Daripada gaya hidup sehinggalah pemilihan rakan-rakan sokongan, semuanya berubah sedikit demi sedikit. “Saya percaya bahawa jika ingin berjaya, haruslah bergaul dengan orang yang berjaya juga, barulah kita akan belajar untuk berjaya seperti mereka,” jelasnya.
Pada 2012, Erna telah membuka buku barunya dalam perniagaan dengan menjadi stokis minyak wangi secara dalam talian. Erna memilih untuk menumpukan perhatian kepada industri wangian setelah melakukan kajian asas tentang keperluan dan kepentingan minyak wangi dalam kehidupan seharian.
Berbekalkan pengalaman yang ada dan sokongan daripada suami yang juga merupakan seorang peniaga serta rakan-rakan usahawannya, Erna kemudiannya mengambil langkah berani memasarkan produk jenamanya sendiri yang dikenali sebagai De’Xandra.
“Sewaktu saya melakukan kajian mengenai industri ini, saya dapati permintaan terhadap minyak wangi amat tinggi.
“Saya memilih nama Alexander sempena Alexander The Great dan mengubahnya menjadi entiti yang lebih feminin untuk perniagaan saya, lalu menghasilkan nama Xandra, yang kemudian menjadi De’Xandra,” jelas Erna.
Bauan Memikat, Menambat Hati
Minyak wangi De’Xandra dikeluarkan untuk lelaki dan wanita, dengan lima siri wangian iaitu Classic, Elegant, Intense, Luscious dan Dynamic. Setiap aroma yang dihasilkan adalah eksklusif dan melambangkan kemewahan bagi menyerlahkan lagi gaya si pemakai.
De’Xandra Eau De Parfum kini mempunyai lebih daripada 19,000 penjual berdaftar di seluruh Malaysia. Malah, jenama ini juga telah menjalinkan kerjasama dengan Air Asia pada November 2017 dalam mempromosikan jenama De’Xandra dengan mempamerkan rekabentuk minyak wangi ini di dalam dan luar badan pesawat Air Asia A320.
“Visi kami adalah untuk menjadi tonggak utama dalam industri wangian di pasaran Asia dan saya merancang untuk memperkenalkan lebih banyak produk yang berasaskan wangian dalam tempoh 10 tahun akan datang,” ujar ibu kepada 5 orang anak ini.
Bagi mencapai hasrat itu, De’Xandra kini sudah merancang untuk mempelbagaikan produk wangiannya dengan mengeluarkan koleksi haruman losyen badan dan pewangi kenderaan pada 2019.
Ramuan Rahsia Kejayaan De’Xandra
Meskipun diulit dengan kejayaan, wanita berusia 33 tahun ini mengakui dirinya masih mempunyai kelemahan dan memerlukan masa untuk memperbaiki diri terutama sebagai seorang usahawan wanita.
“Saya sentiasa mencari ilmu perniagaan dengan menyertai pelbagai seminar, kelas dan bengkel. Namun, apa yang paling penting dalam perniagaan adalah fokus. Jika kata kunci ini sentiasa bermain di fikiran, apa jua perkara yang anda lakukan pasti berjaya.
“Selain itu, kita juga harus lebih bijak mengurus masa dan perlu belajar mempercayai individu lain untuk mengendalikan perkara yang diluar kemampuan diri sendiri. Pergantungan kita hanya kepada Allah, dan yakinlah anda sebenarnya mampu melakukan lebih banyak perkara jika anda mahukannya,” akhiri Erna.