Estetika Medispa – Bukan Pusat Rawatan Kecantikan Biasa

ESTETIKA MEDISPA – Rakan Usahawan PUNB

Wanita sememangnya sinonim dengan kecantikan. Malah, kini lelaki juga turut menjaga keterampilan agar kelihatan kemas dan menarik. Namun, adakah mencukupi dengan menjaga wajah saja? Adakah perlu juga menjalani rawatan terutama bagi yang ingin sentiasa kelihatan muda? Pelbagai servis rawatan kecantikan semakin banyak ditawarkan di pasaran dan pemilihan menggunakan perkhidmatan spa merupakan salah satu alternatif untuk menghilangkan tekanan melalui kaedah rawatan dan urutan kerana ia dapat meredakan ketegangan urat dan wajah juga akan kembali segar.

Bagi Abdul Haq bin Ab Wasa, pengasas Estetika Medispa, idea untuk menubuhkan spa ini timbul apabila melihat pasaran spa yang sangat meluas di sekitar tahun 2015. Hasil daripada itu, beliau telah membuka pusat rawatan dan kecantikan berstatus spa perubatan wajah yang mula beroperasi sejak 5 tahun lalu pada Ogos 2015.

Melihat kepada industri kecantikan yang berkembang pesat, beliau semakin fokus menceburi bidang ini demi membantu orang ramai yang mempunyai masalah kulit wajah seperti jerawat, jeragat, kulit kusam dan sebagainya. Tidak hanya menyediakan rawatan kulit, Estetika Medispa turut mengeluarkan produk jenama sendiri iaitu Mesoceutical yang membawa maksud perantaraan kulit selain memberi khidmat nasihat untuk pelangsingan badan pada mereka yang memerlukan.

Sudah pasti Estetika Medispa memiliki keistimewaan yang tersendiri di mana pihaknya optimis menawarkan konsultasi wajah yang dilakukan menggunakan Face Analyser khas secara percuma bagi mengenal pasti masalah pada kulit. Setelah itu, para pelanggan akan diberi rawatan khusus secara intensif. Spa ini turut menawarkan beberapa pakej berpatutan serendah RM50 hingga RM3,000 dan ia bergantung kepada masalah kulit yang dialami oleh pelanggan itu sendiri. Di antara rawatan yang disediakan ialah Dermo Expert, Diamond Glow, Estetika PDRN Skin, OMEGA Rejuvenation Light, K-Light Whitening Pro dan beberapa lagi rawatan terapi.

Apabila ditanya mengenai mobil spa atau spa bergerak yang kini semakin tular, Abdul Haq sama sekali tidak bersetuju dengan konsep sedemikian. Ini kerana baginya, walaupun mobil spa menawarkan perkhidmatan terus ke rumah atau di lokasi pilihan pelanggan dengan hanya perlu membuat temu janji, para pelanggan yang berkunjung ke spa sebenarnya mahukan pengalaman dan suasana ketika berada di spa yang tidak dapat dirasai jika menggunakan khidmat mobil spa. Beliau turut menjelaskan, sebenarnya, terapi di spa hanya sebahagian daripada proses pembaikan kulit wajah. Peranan yang lebih besar ialah penjagaan kulit wajah ketika berada di rumah. Oleh itu, pelanggan perlu memiliki set penjagaan kulit wajah dan kosmetik yang baik tanpa mengandungi bahan-bahan terlarang. Penghasilan penjagaan kulit wajah daripada Estetika Medispa adalah berasaskan bahan-bahan premium yang selamat dan berkesan untuk digunakan.

Selain itu, teknik pemasaran juga memainkan peranan penting. Spa kecantikan ini mengggunakan teknik pemasaran kos rendah namun mempunyai impak yang besar iaitu melalui media sosial seperti Facebook Ads. Pemilihan teknik ini sebagai medium pemasaran adalah kerana pasaran globalnya yang sangat luas, tertumpu berdasarkan demografik data, mudah viral dan kos pengiklanan yang lebih murah.

Abdul Haq yang memiliki latar belakang pendidikan perubatan dari Universiti Alexandria, Mesir ini mengakui setiap perniagaan tidak dapat lari daripada masalah. Pihak Estetika Medispa pernah berhadapan dengan masalah aliran tunai yang menyukarkan spa ini untuk terus berkembang. Walau bagaimanapun, dengan bantuan pembiayaan daripada PUNB, Abdul Haq telah berjaya melebarkan sayap perniagaannya. Baginya, perniagaan ini sentiasa mendapat tempat walaupun dalam ekonomi yang tidak menentu kerana masalah kulit wajah bukanlah masalah bermusim memandangkan ia telah wujud sejak dulu, apatah lagi dengan keadaan iklim negara Asia yang lembab dan panas sepanjang tahun.

“Ilmu dan pengalaman adalah senjata utama untuk berjaya,” Abdul Haq bin AB Wasa.

Tekad Abdul Haq, pihak Estetika Medispa akan sentiasa berinovasi dan memperbaharui teknologi serta rawatan seiring dengan peredaran zaman agar ia kekal relevan. Permintaan dalam pasaran akan sentiasa ada dan akan terus meningkat termasuklah persaingan dalam bidang ini. Justeru, penambahbaikan dari segi teknologi dan perkhidmatan amatlah penting agar Estetika Medispa akan terus kekal berdaya tahan dan berdaya saing.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *