Inflasi Diunjur Kekal Tinggi Hingga Jun

Profesor Ekonomi di Fakulti Perniagaan Universiti Sunway, Dr. Yeah Kim Leng berkata, inflasi keseluruhan yang meningkat ke paras 4.5% pada Februari 2017 diunjur kekal pada paras itu selama beberapa bulan yang akan datang.

Ia hanya dijangka menyusut secara berperingkat pada separuh kedua 2017 jika harga minyak mentah kekal stabil atau menurun pada bulan-bulan yang mendatang.

“Sentimen pengguna dan perbelanjaan mungkin terjejas sedikit ekoran kenaikan harga minyak mentah dan makanan.
“Bagaimanapun, memandangkan pertumbuhan guna tenaga dan pendapatan adalah kukuh, kami menjangkakan perbelanjaan pengguna akan terus berada pada kadar sederhana,” kata beliau.

Affin Hwang Capital Research pula berpendapat bahawa tahun ke tahun, bagi separuh pertama 2017, inflasi keseluruhan akan berada pada paras anggaran 4.0–4.2%, manakala pada separuh kedua 2017, ia diunjur akan menurun ke paras 3.0–3.2%.

Secara keseluruhan, firma itu menjangkakan purata inflasi sekitar 3.5% pada 2017, 0.8% lebih tinggi daripada unjuran awalnya, 2.7%.

“Kami yakin inflasi keseluruhan negara dijangka masih boleh dikawal memandangkan harga minyak mentah global diunjur bergerak antara paras ASD 50 dan ASD 55 setong, mengehadkan sebarang kenaikan lagi bagi harga bahan api runcit domestik.

“Begitu juga, penyusutan ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat mungkin berkurangan dan mengukuh secara berperingkat menjelang separuh kedua 2017 susulan pelaksanaan langkah tukaran asing Bank Negara Malaysia yang berkuat kuasa dan mengehadkan kesan pindahan ke atas harga domestik,” kata firma penyelidikan itu dalam satu kenyataan.

Sumber: BERNAMA

2 Ulasan

  1. Inflasi makin tinggi. Nampaknya kena kerja keras mulai sekarang!

  2. The rules of supply and demand.. don’t waste resources and practice prudent spending

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *